Friday, April 15, 2022

KITA BENAR-BENAR KENALKAH RAKAN KITA

             “Aku dapat tawaran menyambung pelajaran ke universiti, tapi aku tidak pergi, aku tidak ada duit”. Itulah kata-kata rakan saya yang telah lama tidak berjumpa, hampir 40 tahun. Kami pernah juga berjumpa sebenarnya tetapi berselang masa puluhan tahun, dan sekejap sahaja, tidak dapat hendak bercerita panjang.

Selepas bersara, saya berpeluang menziarahi rakan baik saya. Kebetulan saya pulang ke kampung halaman, rumahnya berada di jalan yang saya lalui, maka saya ambil kesempatan untuk singgah ke rumahnya.

            Beliau adalah antara rakan baik saya semasa zaman persekolahan. Saya belajar dalam satu kelas dengannya sejak darjah 3 hingga 6 di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Idris ll, Kuala Kangsar. Kemudian kami belajar juga dalam satu kelas semasa tingkatan 1 hingga 5 di Sekolah Menengah Bukit Merchu, Kuala Kangsar. Kami sama-sama dilantik sebagai pengawas sekolah semasa tingkatan 4 dan 5. Selepas tingkatan 5 kami berpisah kerana mengikut haluan masing-masing.

            Saya meneruskan pelajaran ke tingkatan 6 sains selama 2 minggu sahaja di Sekolah Menengah Sri Perak, Teluk Intan dan kemudian mendapat tawaran meneruskan pengajian Matrikulasi UKM di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra. Rakan saya menyambung pelajaran ke tingkatan 6 sastera di sekolah lama.

Setelah tamat persekolahan, kami hanya pernah bertemu 2 atau 3 kali sahaja. Paling akhir saya bertemunya sebelum saya bersara. Beliau datang ke pejabat saya bersama beberapa orang pegawai bawahannya untuk berbincang tentang kerja. Selepas itu kami berjumpa setelah masing-masing bersara, di rumahnya.

Biasalah apabila sudah lama sangat tidak berjumpa, mulalah timbul cerita-cerita lama sepanjang kami tidak bersama. Selepas SPM/STPM pergi mana, buat apa, berbagai-bagai kisah lama diungkit semula.

Beliau bercerita,  selepas STPM, beliau ada mendapat tawaran menyambungkan pelajaran ke universiti.  Beliau pernah memberitahu saya, beliau menyambung pelajaran ke universiti semasa bekerja. Beliau tidak menerima tawaran  pada masa itu kerana masalah kewangan.

Saya cukup terkesan mendengar ceritanya. Saya tidak pernah terfikir apa yang beliau hadapi. Pada masa saya mendapat tawaran  menyambung pelajaran ke universiti, tiga orang abang dan seorang adik saya sudah bekerja. Ayah saya juga masih bekerja sebagai Polis. Dua  orang sahaja adik saya yang sedang bersekolah.  Segi kewangan, saya tidaklah menghadapi masalah sangat, di tambah pula saya penerima biasiswa.

Saya berfikir selama ini, sepanjang saya berkawan dengannya, benarkah saya mengenalinya. Saya hanya tahu keseronokan berkawan sahaja. Rasa macam kami setara sahaja, tanpa ada apa-apa masalah kehidupan. Ini bukan persoalan makan dan pakaian, tapi persoalan kelangsungan perjalanan kehidupan, seperti meneruskan pelajaran ke universiti, yang mana pada zaman kami bukanlah senang untuk mendapat tempat di universiti. Melepaskannya adalah kerugian yang besar. Memang ada yang melepaskan peluang ke universiti disebabkan masalah kewangan, tetapi saya tidak terfikir rakan saya juga berada dalam situasi itu.

Sepanjang kita berkawan, adakah kita pernah cuba untuk mengenali keluarga dan kehidupan kawan-kawan kita. Pernah kita ambil tahu siapa ibu bapanya. Apa pekerjaan mereka. Berapa ramai adik beradiknya. Kawan kita anak ke berapa. Pernahkah kita rasa hendak ambiltahu. Rakan-rakan kita tidak pernah bercerita tentang keluarga mereka, begitu juga kita. Kita pun jarang hendak berkongsi tentang keluarga kita. Memang budaya kitakah, tidak mahu mengambiltahu akan diri rakan-rakan kita.

Nampak seperti perkara remeh sahaja. Apalah sangat hanya mengenali keluarga. Sebenarnya kesan yang dibawa adalah amat besar. Kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Inilah yang merapatkan kita dan akan saling sokong menyokong, saling bantu membantu.

Saya biasa mengendalikan aktiviti kumpulan dinamik. Para peserta didedahkan dengan aktiviti yang di dalamnya mereka akan mendedahkan kisah masing-masing tanpa disedari. Kisah suka dan duka. Kelebihan dan kekurangan. Kekuatan dan kelemahan.  Kisah kesedihan dan kegembiraan. Mereka semakin rapat apabila semakin mengenali rakan-rakan dengan lebih intim.

Saya uji keakraban mereka dengan aktiviti bersaing secara kumpulan, untuk melepasinya mereka mestilah saling bekerjasama. Kita akan kagum melihat bagaimana mereka saling bantu membantu kerana mereka telah lebih memahami satu sama lain. Saya difahamkan keakraban peserta-peserta ini masih kekal. Mereka masih saling bantu membantu dalam pekerjaan dan kehidupan mereka.

 Memperkukuhkan persahabatan adalah dengan mengenali dengan lebih rapat rakan-rakan kita. Bila kita kenal rapat barulah ada rasa empati dan simpati. Maka timbullah perasaan saling bantu membantu.

Thursday, March 17, 2022

BIBIT-BIBIT KEMEROSOTAN UMAT ISLAM DALAM PRN MELAKA DAN JOHOR

 Pilihanraya Kecil Negeri (PRN) Johor sudah pun berlalu yang memberi kemenangan kerusi majoriti kepada BN/UMNO. Kerana tamakkan kuasa pemimpin Islam sanggup berbuat apa sahaja walau pun suasana wabak penyakit Covid19 sedang melanda seluruh dunia dan negara kita. Mereka pemimpin Islam ini sanggup mengambil risiko yang boleh menyebabkan wabak ini tidak terkawal. Sebenarnya baru sahaja mereka melakukan perkara yang sama di negeri Melaka, mereka menang dengan undi yang tipis walau pun menang majoriti kerusi.

Umat Islam kini di Malaysia sedang cukup diuji. Bukan sahaja segelintir orang bukan Islam yang sedang menggugat keutuhan umat Islam, tetapi ada di kalangan umat Islam sendiri yang mempunyai kefahaman Islam yang berbeza, datang dengan pemikiran mereka yang sebenarnya menggugat Islam tanpa mereka sedari. Mereka mengaku mereka faham Islam, tidak tahulah sejauh mana kefahaman Islam mereka. Mereka inilah yang menyebabkan orang bukan Islam berani untuk mencabar apa sahaja yang namanya Islam.

Kini datang pula pemimpin yang mengaku diri Islam, tanpa memikirkan kebajikan rakyat, mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan mereka mempunyai kuasa mutlak, tidak digugat oleh sesiapa pun. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan kehendak mereka diperolehi. Mereka mengaku lebih Islam daripada orang lain atau golongan lain. Mereka mengutuk orang lain sebagai tidak Islam dalam keadaan mereka berhadapan dengan tuduhan rasuah di mahkamah. Umpama pencuri yang menjerit pencuri pada orang lain.

Islam dicabar, tetapi umat Islam tidak berani untuk melawan semula. Hanya segelintir sahaja umat Islam yang berani melawan, tetapi mereka ini dikutuk oleh umat Islam sendiri. Malah mereka yang mahu memperjuangkan Islam ini tidak diundi oleh pengundi Islam yang berbangga dengan banyak sekolah ugama dinegeri mereka.

Salah siapakah ini? Salah pemimpin Islam atau salah orang Islam, sebagai pengundi yang memilih mereka menjadi pemimpin. Mereka ini tidak akan menjadi pemimpin sekiranya tidak diundi oleh rakyat. Sebagai pemimpin mereka berpeluang untuk menerima rasuah atau menyalahgunakan kuasa. Adalah sukar untuk mereka melakukan perbuatan itu tanpa mempunyai kuasa. Pengundilah sebenarnya yang memberi kuasa kepada mereka untuk meneruskan kerja mungkar mereka.

Tanggungjawab memilih pemimpin dalam negera demokrasi adalah rakyat. Undi rakyat menentukan mereka boleh menjadi pemimpin atau tidak. Janganlah salahkan pemimpin, kenapa tidak tanya diri kita sendiri, kenapa kita mengundi mereka-mereka ini.

Orang Islam memang pelik. Mereka umpama orang Islam dalam kisah perjalanan IsrakMikraj. Rasulullah saw menceritakan, dalam perjalanannya, Baginda saw melihat orang yang dihidangkan dengan dua daging. Satu daging busuk dan satu lagi daging elok sempurna, tapi mereka memilih untuk makan daging busuk. Ini adalah gambaran orang Islam yang mempunyai isteri tetapi masih memilih wanita yang bukan isteri.

Begitulah keadaan yang dihadapi oleh pengundi. Mereka diberi pilihan untuk memilih pemimpin. Umpama segolongan manusia yang diminta memilih hidangan makanan.

Satu majlis makan diadakan di dalam sebuah dewan. Banyak meja disusun di dalamnya. Di atas meja itu terdapat hidangan makanan. Ada meja yang dipenuhi dengan makanan yang baik dan enak bercampur dengan makanan yang sudah basi dan rosak.

Kuantiti makanan baik enak dan basi rosak, berbeza-beza untuk setiap meja. Ada yang sama banyak makanan basi rosak dan baik enak. Ada meja yang lebih banyak makanan baik enak, ada meja yang makanan basi rosak lebih banyak. Meja-meja ini dihiaskan dengan cantik untuk menarik perhatian mereka memilih meja ini. Hiasannya begitu menonjol, yang terus dapat menarik perhatian.

Hanya ada satu meja sahaja yang di atasnya semua makanan yang baik bercampur dengan makanan enak. Meja ini disediakan dengan hiasan yang biasa-biasa sahaja.

Mereka diberitahu bahawa meja-meja di dalam diletakkan pelbagai jenis makanan yang elok dan tidak elok. Kemudian mereka dipanggil masuk dan diberi kebebasan untuk memilih meja  untuk mereka duduki. Majoriti mereka memilih terus meja yang dihiaskan dengan cantik.  Mereka tidak berebut untuk duduk di meja yang dihias biasa-biasa sahaja. Mereka duduk sahaja, yang penting ada makanan.

Inilah sikap orang yang tidak berfikir. Inilah perbuatan bodoh. Naluri manusia pasti akan memilih makanan bukan meja yang menarik, kerana mereka telah diberitahu keadaan makanannya. Pilihan di tangan mereka.

Analogi ini mungkin tidak sepenuhnya dapat menggambarkan pengundi Islam, tetapi situasinya sama kerana pengundi di hadapkan dengan pelbagai calon yang perlu mereka pilih untuk memimpin mereka. Mereka tahu calun atau parti yang bersih dari rasuah atau apa sahaja penyalahgunaan kuasa. Mereka tahu golongan yang calun dan partinya terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka pasti tahu, kerana ia disiarkan dengan meluas di dalam media massa.

Sungguh menghairankan sebagaimana analogi pemilihan makanan, mereka mengundi calun mereka tanpa memikirkannya dengan serius. Mereka memilih calun dan parti yang banyak rasuah dan menyalahguna kuasa. Mereka digula-gulakan dengan kisah lalu yang menarik. Itulah yang berlaku di kedua-dua PRN.

Apabila ditanya, mereka menjawab sebagaimana umat jahiliyah dahulu menjawab, kami ikut nenek moyang kami kerana itu yang kami nampak dan terima dari mereka.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar):Turutlah apa yang telah diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: (Tidak) bahkan kami hanya menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?’  

(Surah Luqman Ayat 21).

Mereka berkata kami sudah biasa dengan pemerintahan ini, kami tidak mahu mengubahnya, sejak dahulu lagi kami mengundi mereka. Nampaknya perubahan adalah sesuatu yang menakutkan bagi pengundi. Mereka mahu kekal pada keadaan sedia ada. Kalau boleh mereka tidak mahu berubah.

Menarik untuk kita lihat bagaimana majoriti pengundi-pengundi di Malaysia tidak mahu berubah. Majoriti mereka mengundi parti yang sama. Walau pun parti itu telah terlalu rosak. Adakah mereka takut untuk membuat perubahan kerana mereka takut pada perubahan yang tidak nampak.

Kita memahami sikap pemimpin memang ada yang penuh dengan kepentingan diri. Masalahnya pengundi, apakah yang menghalang mereka untuk mengubah keadaan kepada yang lebih baik. Layakkah pemimpin korup mendapat undi dari pengundi.

Undi yang mereka buat menyebabkan satu negara tidak dapat menafaat. Mereka sendiri tidak mendapat apa-apa manafaat. Inilah The Stupid seperti yang dikatakan oleh Carlo M. Cipolla dalam bukunya The Basic Laws Of Human Stupidity.

Apakah sebenarnya yang berlaku. Kenapa umat Islam bertindak tanpa berfikir atau mereka memang tidak suka berfikir. Apakah yang menyebabkan mereka bertindak sebegitu. Sikap dan tindakan mereka membawa kemerosotan kepada umat Islam amnya, kepimpinan Islam khususnya. Mereka sebagai pengundi Islam yang memilih pemimpin-pemimpin buruk ini.

Saya cuba memahami kenapa pengundi di kalangan umat Islam masih mempertahankan pemimpin korup ini. Saya temui isu ini dibincang oleh Syaikh Syakib Arslan.

Syaikh Syakib Arslan membincangkan kemerosotan umat Islam dalam bukunya Kenapa Umat Islam Tertinggal, terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan umat Islam ketinggalan. Buku ini walau pun diterbitkan dalam tahun 1940, tetapi isu-isu yang dibawanya masih lagi relevan dalam mencari sebab-sebab umat Islam ketinggalan dan takut untuk berhadapan dengan kemungkaran.


Apakah umat Islam  di Malaysia amnya, Persekutuan Tanah Melayu khususnya sedang memasuki fasa umat yang tertinggal. Sedang menuju kearah kemerosotan dan akhirnya dikalahkan dalam negeri sendiri. Adakah faktor-faktor ini ada dalam diri umat Islam di Malaysia.

Kebodohan dalam kalangan umat Islam adalah antara isunya, tetapi bukan maksudnya kebodohan akademik. Kebodohan ini adalah kebodohan yang berlaku juga kepada orang yang di anggap bijak dan waras. Orang-orang yang bodoh ini pasrah sahaja menerima permasalahan yang dihadapi tanpa tahu cara menolaknya. Mereka tidak ada kesedaran atau hilang kesedaran.

Abul Hasan Aliy Al Hasaniy Al Nadwiy juga membincangkan kemerosotan umat Islam dalam bukunya Kerugian Apa Yang Dideritai DUNIA Akibat Kemerosotan Kaum MUSLIMIN, pertama kali terbit pada tahun 1950 dalam bahasa Arab. Perkara yang paling dikhuatiri beliau, hilangnya kesedaran di kalangan umat Islam. Akibatnya mereka mudah terpengaruh dengan ajakan, mudah tunduk kepada orang yang berkuasa, tidak kisah pada kemungkaran, membiarkan sahaja kezaliman.


 Penyakit hilang kesedaran ini boleh melarat kepada tidak mahu memikirkan banyak urusan, tidak mahu menempatkan sesuatu pada tempatnya, tidak dapat membezakan antara kawan dan lawan, tidak dapat membezakan yang baik daripada tipu muslihat yang jahat, tidak mampu mentafsir pengertian dari berbagai kejadian dan peristiwa, tidak mahu belajar dari pengalaman, tidak dapat mengambil manfaat dari terjadinya pelbagai macam bencana.  

Inilah yamg berlaku kepada pengundi, mereka sedar akan sikap buruk pemimpin tetapi mereka tidak kisah langsung, tidak berbuat apa-apa. Mereka tetap memilih pemimpin-pemimpin yang buruk ini. Inilah yang dikatakan oleh Abul Hassan, umat yang hilang kesedaran akan tetap mahu menyerahkan pimpinan kepada orang yang melakukan pengelapan, penipuan, pengkhianatan, egois dan mementingkan diri.  Mereka cepat lupa kepada kerugian dan bencana yang pernah di alaminya sendiri.

Umat Islam yang berpengetahuan cetek. Orang bodoh lebih senang diajar. Orang yang pengetahuannya cetek, tidak mahu mengakui yang dia tidak tahu. Ini yang berlaku kepada para pengundi secara peribadi.

Saya pernah dengar seorang tua, kerana cintanya pada Islam, mereka hantar anak mereka untuk belajar Islam. Anak mereka belajar dan mendapatkan ijazah tinggi sehingga ke universiti Islam di tanah Arab. Apabila anak mereka mencadangkan mengundi pemimpin yang mempunyai sifat-sifat Islam, iaitu anak mereka yang dihantar untuk belajar Islam yang diharap akan mengajar mereka Islam, tetapi mereka tidak boleh terima saranan anak mereka.

Inilah yang berlaku apabila tidak ada kesedaran dan digabungkan dengan ilmu pengetahuan yang cetek. Mereka fikir mereka betul sehingga saranan anak yang belajar Islam tidak diendahkan.

Kerusakan akhlak di kalangan umat Islam. Hilangnya nilai-nilai yang digalakkan al Quran. Membangunkan sesuatu bangsa peranan akhlak lebih besar daripada peranan intelektual. Kata-kata Asy Syauqi: “Setiap bangsa hanya tetap ada selama masih berbudi pekerti. Apabila budi bangsa sudah lenyap, selamanya mereka pergi”.

Akhlaq apa yang tinggal sekiranya mereka memilih calun atau parti yang banyak melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Manusia normal, tidak akan memilih orang yang mempunyai akhlaq yang buruk.

Memilih menantu pun kita akan memilih yang berakhlaq baik. Hanya pencuri yag tidak kisah memilih pencuri. Inilah gambaran kerosakan akhlaq umat Islam.

Kerosakan moral di kalangan para pemimpin umat Islam. Pemimpin ini menganggap rakyat diciptakan bagi mereka, sehingga mereka bisa berbuat apa sahaja terhadap rakyat. Jika ada yang berani meluruskan, pastilah mereka bertindak dengan keras, agar menjadi pelajaran bagi yang lain.

Mereka melakukan rasuah, menyalahguna kuasa. Perkara ini berlaku terang-terangan. Malah mereka tidak ada rasa bersalah walaupun telah diambil tindakan pendakwaan di mahkamah. Kerosakan moral mereka menyebabkan mereka sanggup memperjudikan kesihatan rakyat untuk memenuhi kehendak mereka.

Pemimpin yang ada ilmu Islam sama rosak akhlaq mereka. Mereka tidak mampu untuk menentang pemimpin mereka yang rasuah. Mereka mungkin ada alasan masing-masing, tapi adakah itu benar. Islam telah mengamanatkan kepada para ulama agar mereka meluruskan penyimpangan para pemimpin.

Memetik apa yang dikatakan oleh penulis “sayangnya, seiring perjalanan waktu, generasi ulama berikutnya menjadikan ilmu sebagai ladang penghidupan. Mereka menjadikan agama sebagai alat pancing dunia. Mereka pun menjilat para pemimpin yang fasik. Atas nama agama, mereka memperbolehkan penguasa melanggar batasan agama.

Benarlah seperti yang dikatakan oleh Dr Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti dalam bukunya Dosa Tersembunyi Bahaya Terbesar Dalam kehidupan Kaum Muslimin, “perkara paling berbahaya yang merosakkan masyarakat Islam ialah kemunafikkan ramai ilmuwannya, bukan kejahilan sebahagian anggota masyarakat tersebut”.


Sifat pengecut dan penakut di kalangan umat Islam. Mereka sudah takut mati, kecuali segelintir sahaja. Penulis membincangkannya dengan panjang lebar tentang pengecut dan penakut. Saya suka melihat tentang pengecut dan penakut ini sebagaimana yang di katakan dalam satu hadis.

Hadis yang diriwayatkan daripada Thawban R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Umat-umat lain akan mengelilingi kamu (iaitu musuh-musuh Islam akan menyerbu untuk membinasakan kamu) sepertimana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan yang lazat.” Maka seseorang bertanya, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu seperti buih air bah yang banyak. Dan sesungguhnya Allah mencabut kehebatan kamu yang ada di dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan. Lalu seseorang bertanya, apakah al-wahan itu, wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: “Terlalu kasihkan dunia dan takutkan mati.”

Riwayat Abu Daud (4297) dan Ahmad (4/111)

Cintakan dunia dan takutkan mati inilah yang menyebabkan timbulnya sifat pengecut dan penakut. Takutkan hilang dunia yang selama ini dinikmati, maka mereka sanggup membiarkan negara ini dipimpin oleh orang yang rosak akhlaq.

Hilangnya kepercayaan diri dalam kalangan umat Islam. Ini adalah satu penyakit sosial yang paling parah, sekaligus kerusakan rohani yang terburuk. Apabila penyakit ini ada pada seseorang, ia membinasakannya. Apabila ada pada sesuatu umat, ia akan mengiringinya kepada keruntuhan.  Umat yang hilang kepercayaan diri sangat berkeyakinan bahawa mereka tidak akan berjaya.

Hilangnya kepercayaan diri beriringan dengan sifat rendah diri. Umat Islam yang rendah diri akan bersikap selalu meminta maaf apa sahaja berkenaan Islam. Mereka terima sahaja penghinaan terhadap Islam yang dibandingkan dengan kehidupan bukan Islam. Mereka tidak memahami Islam dan tidak cuba untuk memahami agama Islam yang menjadi pegangannya. Rasa rendah diri berpegang pada Islam walaupun masih berugama Islam. Sedangkan al Quran sendiri telah menyatakan,

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” – Al Imran ayat 139.

Mereka kurang yakin untuk mempertahankan kebenaran Islam, disebabkan pengetahuan yang cetek dan rasa rendah diri. Kadang kala mereka sendiri yang menentang Islam.

Semua faktor ini ada dalam diri pengundi Islam sama ada yang keluar mengundi atau tidak. Pengundi yang tidak turun mengundi, bagaimana hendak kita simpulkan. Adakah protes terhadap kepimpinan atau kebodohan yang ada dalam diri mereka. Kebaikan dan keburukan jelas di hadapan mata, kenapa tidak memilih. Pengetahuan yang cetek dan kebodohan menyebabkan mereka fikir sedang berada di jalan yang betul. Rosaklah akhlaq mereka kerana tidak kisah kalau pemimpin yang rosak akhlaq memimpin mereka.

Adakah umat Islam di Malaysia amnya sedang menuju kemerosotan. Mungkinkah sikap ini akan menyebab kepimpinan negara ini akan berpindah kepada bukan Islam.

Sejarah tidak pernah berbohong. Lihatlah sejarah Andalusia. Kemerosotan kepimpinan dan umat menyumbang kepada kejatuhannya. Dr. Raghib As-Sirajani dalam bukunya Bangkit Dan Runtuhnya Andalusia membincangkan faktor-faktor keruntuhan Andalusia.


Kecintaan pada dunia, di mana tersebarnya gaya hidup mewah dan berlebihan.

Meninggalkan jihad.

 Kehidupan penuh dengan maksiat dan merebaknya dosa meskipun masih banyak ulama.

 Munculnya fanatik kesukuan dan merebak kepada perpecahan umat Islam.

Menyerahkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya, malah menyerah kepada pemimpin yang akhlaq buruk. Pemimpin ini menjadi pemimpin yang zalim.

 Kebodohan terhadap agama di kalangan umat.

 Ulama tidak berperanan menegur pemimpin yang menyeleweng, ada yang mengasingkan diri, tidak mahu terlibat dalam soal kepimpinan umat.

Akibatnya Andalusia telah hilang dari peta islam.

Kalau kita perhatikan faktor-faktornya sama sahaja sepanjang zaman. Umat Islam sepatutnya belajar dari sejarah. Pertentangan baik dan buruk akan sentiasa berlaku sepanjang zaman.

Jangan kita jadi umat Islam yang hanya berbangga dengan banyaknya sekolah ugama, pusat tahfiz, busana muslim dan songkok hitam sebagai simbol Islam. Kemudian kita membiarkan kepimpinan ini kepada pemimpin-pemimpin yang rosak akhlaqnya.

Menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk memastikan kepimpinan yang kita pilih adalah kepimpinan Islam supaya kita tidak berkata di akhirat nanti:

“Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata ( dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebasar-besarnya!” (Surah Al-Ahzab Ayat 66 – 68)

Thursday, February 17, 2022

KUASA RAKYAT YANG TIDAK DIGUNAKAN

        Sistem pemerintahan demokrasi, pemilihan pemimpin sesuatu negara adalah berdasarkan undian dari rakyat. Seseorang calun pilihanraya yang mendapat undian majoriti dari rakyat akan menjadi Ahli Dewan. Calun-calun yang menang daripada parti majoriti boleh membentuk kerajaan.

Kerajaan yang memerintah dalam demokrasi sebenarnya bergantung kepada rakyat untuk melantik mereka. Kuasa sebenarnya yang melantik kerajaan adalah rakyat. Apakah rakyat dan calun faham hakikat ini.

          Rakyat mungkin faham tetapi akibat dari pengaruh calun, mereka tidak menyedari akan kuasa mereka. Apabila ditakut-takutkan, mereka tidak menggunakan kuasa mengundi dengan saksama. Mereka tidak dididik dengan jujur oleh kerajaan yang memerintah untuk menggunakan kuasa mengundi mereka dengan rasa tanggungjawab.

          Calun juga faham tetapi kerana mereka lebih tahu akan hak itu, maka mereka memanipulasi rakyat, dengan menakut-nakutkan rakyat.

Majoriti calun pada masa kini rasanya tidak memahami hak mengundi pada rakyat. Mereka hanya tahu undi adalah hak mutlak mereka. Mereka tidak berusaha meyakinkan rakyat untuk mengundi mereka. Mereka hanya tahu rakyat mesti mengundi mereka, sekiranya tidak, ada akibatnya.

          Inilah yang berlaku dengan politik Johor. Ada segolongan calun yang merasakan mereka boleh memanipulasi rakyat untuk mendapatkan suara majoriti teguh, supaya mereka boleh berbuat sekehendak mereka. Mereka telah berjaya melakukannya di Melaka. Mereka merasakan mereka boleh berjaya di Johor.

          Rakyat dan kehendak rakyat sudah tidak dipedulikan. Rakyat telah di manipulasi dengan menakut-nakutkan mereka daripada mendengar hujah calun-calun lain. Dengan cara yang tidak beretika mereka memfitnah lawan mereka. Rakyat di asak dengan maklumat yang akhirnya mereka tidak tahu benar atau tidak. Akhirnya mereka memberi undi kepada golongan yang ramai daripadanya di dakwa di mahkamah.

          Rakyat muda, walaupun nampak macam boleh berfikir, sebenarnya tidak juga. Mereka juga terpengaruh dengan calun-calun. Mereka tidak sedar calunlah, sebenarnya memerlukan mereka.

          Sangat menarik untuk membincangkan kenapa ramai rakyat bertindak secara bodoh, tidak menggunakan kuasa mengundi mereka, untuk memilih pemimpin yang berintegriti. Adakah mereka yang jahil atau suasana menyebabkan mereka bertindak secara bodoh.

          Hipotesis awal, saya fikir rakyat tahu hak mereka untuk memilih dengan bijak bakal-bakal pemerintah negara mereka, tetapi di sebabkan asakkan maklumat yang tidak terkawal dan melimpah, mereka mengundi mengikut emosi yang terbentuk, akibat daripada asakkan maklumat tersebut. Rakyat sebenarnya dibentuk oleh maklumat-maklumat ini. Bukan salah mereka, tetapi salah calun-calun yang memberi maklumat yang tidak bertanggungjawab dan penuh dengan fitnah.

          Hipotesis saya tercabar apabila membaca sebuah buku The Basic Laws Of Human Stupidity yang ditulis oleh Carlo M. Cipolla. Beliau menyatakan kita akan terkejut dengan fakta bahawa (a) seseorang yang kita anggap sebagai rasional dan bijak sebenarnya adalah bodoh (b) setiap hari seseorang diganggu oleh individu bodoh.

          Kebarangkalian untuk seseorang itu bodoh tidaklah bergantung kepada sifat-sifatnya, tetapi kerana memang mereka bodoh. Bodoh disini bukan bermaksud orang bodoh dari segi akademi, tetapi seseorang yang melakukan sesuatu dan tindakannya menyebabkan kerugian kepada orang lain sedangkan dirinya tidak mendapat apa-apa manafaat dan mungkin mengalami kerugian. Penulis kategorikan manusia kepada empat, the helpless, the intelligent, the bandit dan the stupid.

The stupid adalah orang yang membuat kerugian pada semua orang termasuk dirinya. Mereka juga kadang-kadang masuk dalam kategori helpless, di mana di sebabkan tindakan mereka, orang lain mendapat manafaat tetapi diri mereka sendiri tidak mendapat manafaat. Ada masanya di sebabkan tindakan mereka, akhirnya majoriti orang lain juga tidak mendapat manafaat. Lagi bodoh, apabila mereka merasakan diri bijak. Menyesal kemudian, akibat tindakan sendiri.

Menggunakan teori Cipolla, rakyat bukanlah bertindak mengikut emosi dalam memilih calun, akibat asakkan maklumat-maklumat, tetapi adalah disebabkan kebodohan mereka. Mereka seharusnya tahu hukum sebab akibat dalam kehidupan.

Pilihanraya sepatutnya membawa manafaat kepada rakyat, tetapi setiap kali selepas pembentukan kerajaan, ada sahaja suara-suara tidak puashati. Kalau suara dari golongan yang tidak terpilih membentuk kerajaan, atau rakyat yang mengundi bukan calun yang membentuk kerajaan, itu adalah perkara biasa.

Bagaimana kalau suara tidak puashati datang dari rakyat yang mengundi calun yang membentuk pemerintah, ini luar dari kebiasaan. Mereka adalah rakyat yang memberi manfaat pada orang lain yakni pemerintah, tetapi diri mereka sendiri tidak mendapat apa-apa manfaat, sebab itu mereka menyuarakan rasa tidak puashati mereka. Maka keluarlah perkataan “menyesal aku undi mereka”. Inilah kategori The Helpless.

Sebenarnya kalau direnungkan mereka adalah The Stupid kerana tindakan mereka hanya memberi manafaat kepada segolongan kecil sahaja, majoriti rakyat tidak mendapat apa-apa manfaat termasuk mereka sendiri.

Kalau kita mengkaji hujjah-hujjah cerdik pandai dikalangan manusia sudah tentu sentiasa ada kelemahannya. Sesungguhnya yang lebih mengetahui adalah Allah swt yang mencipta manusia. Apa kata al Quran, adakah perbuatan manusia datang dari perbuatan mereka sendiri. Akibatnya mereka tanggung sendiri.

Menarik untuk dibincangkan lagi.

Thursday, February 10, 2022

BERAPA RAMAI GURU AL QURAN KITA SIRI 3

           Sepanjang tempoh saya di UKM Bangi, mungkin kerana sibuk dengan pelajaran maka saya tidaklah mencari guru mengaji. Setelah tamat belajar, saya telah ditugaskan di Cawangan Syarikat Kuala Lumpur. Pada masa ini saya pun telah membeli rumah di Kajang. Pada masa mula saya tinggal di Taman Kajang Utama, surau belum dibina. Kami hanya ada surau sementara. Apabila surau tetap dibina ia berhampiran rumah saya.

Surau ini surau Jumaat. Maka dari segi kewangan, ia lebih baik. Kuliah diadakan setiap malam. Kelas mengaji Quran juga diadakan. Tenaga pengajar  adalah Ustaz Wan Nuh guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang. Kelas bermula selepas solat Isyak. Biasalah kelas mengaji Quran tidak ramai yang mengikutinya. Anak muridnya tidak sampai 10 orang. Ada yang tetap hadir setiap kelas dan ada yang kadang-kadang datang.

Ustaz ada cara untuk membuatkan pelajar-pelajarnya selesa belajar dengannya. Ada juga yang rasa malu-malu dan tidak selesa.  Kaedah ustaz, beliau baca kita ikut. Ustaz sentiasa dapat mengesan bacaan yang salah tajwidnya. Ustaz tidak membuat saya rasa gentar, kerana cara beliau mengajar. Ada masa beliau membaca dengan cara lagu Hindustan. Kami rasa selesa. Cara beliau menegur juga mudah, terus menegur semasa kita membaca dengan cara membacakan dengan betul dan kita ikuti bacaannya.

Kami tidak belajar teori tajwid tetapi kami belajar praktikal tajwid. Tempoh saya belajar dengan Ustaz Wan lama juga, 4 atau 5 tahun. Kami diajar dengan tidak secara langsung untuk membaca dengan suara yang nyaring dan jelas supaya ustaz dapat membetulkan bacaan kami. Saya tidak lagi menyembunyikan suara kerana malu ditegur. Banyak yang saya pelajari dari Ustaz Wan.

Tahun 2000 saya bersama seorang ahli kariah di Taman Kajang Utama telah mendaftarkan diri dalam Kursus Asas Quran yang diadakan di Masjid Negara. Pengajar kelas saya yang seramai hampir 20 orang adalah Ustaz Mohsin. Kami mula belajar asas Quran dari buku Iqra’. Sungguhpun saya sudah boleh membaca Quran, tapi saya sangat seronok belajar dari asas. Saya berpeluang membetulkan bacaan saya dari peringkat makhraj huruf.

Kelas kami ada berbagai-bagai kemampuan pelajar. Saya terkejut kerana ada yang tidak tahu menyebut huruf hijaiyah walau pun umurnya sudah mencapai 60 tahun. Semangat belajarnya menyebabkan saya pun seronok belajar. Kami rakan sekelas tidak pernah memandang rendah pada satu sama lain. Malah kami berusaha membantu satu sama lain.

Majlis Penyampaian Sijil
Kelas kami bermula selepas solat isyak. Kami juga mempelajari hukum-hukum tajwid. Pertama kali saya mengenal ilmu tajwid secara formal. Kelas ini berjalan selama 2 tahun. Selepas kelas berakhir, kami wajib menduduki peperiksaan iaitu ujian bertulis dan ujian talaqi. Pelajar yang lulus akan hadir majlis tamat belajar di mana sijil diberikan. Keluarga pun akan hadir bersama pada hari penganugerahan. 

        Selepas tamat kursus asas, saya dan kawan saya mendaftar pula Kursus Lanjutan Quran. Bekas rakan sekelas ada yang tidak mendaftar kerana tidak cukup syarat untuk mendaftar. Ada yang mengulang Kursus Asas Quran kerana mereka ingin betul-betul boleh membaca Quran.

Kelas kursus lanjutan ini kami mempelajari bacaan Quran sepenuhnya dan mempelajari tajwid lanjutan juga. Kami juga diberi tugasan  untuk menghafal surah-surah Yasiin, As Sajadah dan Al Insan. Waktu kelas masanya selepas solat Isyak, kerana kebanyakan tenaga pengajar mempunyai tugas masing-masing di waktu siang. Kelas ini memberi peluang setiap pelajar membaca di depan guru.

Ustaz yang mengajar kelas kami adalah Ustaz Abdul Jabar, yang juga merupakan tenaga pengajar Quran di Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Baru. Kelas berjalan selama 2 tahun. Selepas tamat kelas, di akhir kursus kami wajib menduduki peperiksaan juga. Kami menduduki ujian bertulis, ujian talaqi dan juga hafazan 3 surah yang tugasannya telah diberi pada awal kursus. Alhamdulillah kami berjaya dengan jayanya.

Selepas itu lama juga saya meninggalkan mengaji Quran di hadapan guru, kerana kesibukan kerja yang kadang-kadang bertugas di luar kawasan. Saya pernah mendapat kesempatan belajar dengan Imam Masjid Sultan Mizan Putrajaya. Kebetulan abangnya imam surau kariah kami. Beliau ada mengajar Quran di surau kami. Itu pun setelah  didesak oleh kawan-kawan yang biasa mengaji Quran bersama saya.

Kekok juga setelah sekian lama tidak membaca di hadapan guru. Saya masih ingat, beliau menegur tentang sebutan Fa saya. Hanya sekali itu sahaja saya membaca di hadapan beliau, saya tetap menganggap beliau guru Quran saya.

Sepanjang mempelajari bacaan quran saya mempunyai 10 orang guru, banyak juga guru-guru yang saya tidak ingat seperti dalam tadarus quran. Saya anggap mereka guru, apabila ada yang menegur bacaan saya.

Tetapi saya masih merasakan bahawa saya tidak fasih membaca Quran.

Tuesday, February 8, 2022

AMANAH DALAM PEKERJAAN

Ada sebuah kisah, di katakan kisah ini adalah kisah bapa Abdullah bin Mubarak, banyak diceritakan dalam buku-buku motivasi tetapi tidak menyatakan siapakah manusia ini. Abdullah bin Mubarak adalah seorang ulama yang amat terkenal.

Pakar-pakar motivasi ramai menggunakan kisah ini dalam program-program motivasi mereka. Mungkin sebab mereka hanya hendak mengambil pengajaran dari kisah ini maka mereka tidak mengambil tahu benarkah kisah ini. Mereka tidak mengambil tahu siapakah manusia yang hebat ini, benarkah manusia seperti ini boleh wujud.

Saya ceritakan kisah ini mengikut versi saya. Saya pun ingin memetik pengajarannya. Kisah ini adalah tentang seorang penjaga kebun buah delima milik seorang kaya. Namanya Mubarak. Suatu hari orang kaya tersebut datang ke kebun untuk merasa buah delima di kebunnya.

“Mubarak, tolong petik buah yang manis, saya hendak memakannya.”

“Baik tuan,” sahut Mubarak dan berjalan menuju ke satu pohon.

Beliau memetik beberapa biji buah delima, membelah sebiji dan meletakkan dalam sebiji pinggan. Beliau meletak pinggan itu di hadapan tuannya.

Tuannya mengambil beberapa biji isi delima, meletak dalam tapak tangan dan memakannya. Mukanya berkerut.

“Mubarak, masam ......... pergi ambil yang lain,” perintah tuannya.

Dengan setia Mubarak pun pergi ke pokok yang lain dan memetik buahnya. Beliau membelah sebiji buah delima dan meletaknya dalam pinggan yang kemudiannya meletakkan di hadapan tuannya.

Tuannya mengambil beberapa biji isi delima dan memakannya. Mukanya sekali lagi berkerut.

Tuannya membentak,”Mubarak, tak faham ke, saya suruh petik buah yang manis, kenapa diberi yang masam. Pergi ambil lagi, kali ini saya mahu yang manis.”

Mubarak pun bergerak menuju kepada pokok yang lain pula. Memetik buah yang masak. Menyediakannya dan menyerahkan kepada tuannya.

Tuannya mengambil beberapa biji isi buah delima dan memakannya.

Tuannya berdiri dan sambil menuding jarinya ke arah Mubarak, “Saya melantik awak sebagai pekerja untuk menjaga kebun ini, betul?”

“Betul tuan.”

“Kenapa awak tidak memberi saya buah yang manis, tiga kali awak memetik, semuanya rasa masam, sia-sia sahaja saya memberi awak pekerjaan ini.”

Mubarak diam, sambil menundukkan kepalanya.

“Kenapa diam, jawap!”

Sambil mengangkat kepalanya, “tuan, maafkan saya. Boleh saya bertanya?”

“Ya, boleh,” jawap tuannya. Nampaknya marah tuannya sudah berkurang.

“Tuan masih ingat lagikah kata-kata tuan kepada saya apabila melantik saya menjadi penjaga kebun tuan?”

“Ya, saya beri tugas untuk menjaga kebun saya supaya pokok-pokok ini terus dapat menghasilkan buahnya”

“Tuan hanya mengamanahkan saya untuk menjaga pokok-pokok di kebun tuan, tetapi tuan tidak memberi kebenaran untuk saya memakan buah-buahan yang ada di dalam kebun tuan.”

“Apa! ...... kamu tidak pernah memakan buah-buah yang ada dalam kebun ini?”

“Tidak tuan, ....... saya takut makan makanan yang haram bagi saya.”

Tuannya terus memeluknya, “sesungguhnya kamulah pekerja yang benar-benar amanah, saya tidak pernah sangka saya akan berjumpa pekerja seperti kamu. Kebanyakan pekerja saya sebelum ini semuanya biasa memakan buah-buahan dalam kebun saya. Sebenarnya saya tidaklah kisah sekiranya sedikit sahaja yang dimakan.”

Kisah ini nampaknya macam terlalu ideal. Mana mungkin ada pekerja sebegini. Ini manusia beramanah luarbiasa. Saya pun fikir, mungkinkah ada manusia sehebat ini amanahnya.

Ini pula sebuah kisah benar, berlaku masa kini yang saya baca dalam sebuah buku bertajuk Ustazah Basikal. Kisah pengembaran suami isteri berbasikal dari Kuala Lumpur ke Arab saudi. Semasa mereka di India mereka berjumpa dengan Tok Siak masjid namanya Shaukat Ali. Beliau telah membawa mereka ke rumahnya untuk makan malam. Lauk kari diambil dari rumah kakaknya, makanan lain disediakan oleh isterinya.

Sambil memerhatikan mereka makan, Shaukat Ali menyuruh mereka memakan habis makanan tersebut. Mereka berdua memang lapar dan memikirkan tuan rumah mungkin sudah makan, maka mereka makan sampai kenyang. Semasa mereka berhenti makan, tinggal sedikit lagi lauk kari.

Isteri Shaukat mengambil lauk kari lebihan itu dan menyediakan pinggan yang berisi capati. Isterinya meletakkan pinggan itu di hadapan suaminya. Shaukat Ali memakan baki lauk kari bersama capati. Selepas Shaukat selesai makan, isteri beliau memanggil anak-anaknya untuk makan. Akhir sekali barulah isteri beliau makan baki makanan. Rupa-rupanya mereka sekeluarga belum. Mereka mendahulukan tetamu.

Ini adalah kisah benar yang berlaku pada abad ini. Kisah ini pernah berlaku dahulu di kalangan sahabat Rasulullah saw sehingga diabadikan di dalam Quran.

Saya petik langsung hadisnya yang menjadi asbabun nuzul ayat Quran berkenaan.

“Ya’qub bin Ibrahim bin Katsir ................... bahwa Abu Hurairah berkata, “Seseorang datang kepada rasulullah saw lalu berkata, “Whai Rasulullah, aku mengalami kesulitan.” Beliau lalu mengutus seseorang kepada para istri beliau (untuk meminta makanan mereka), namun ternyata para istri beliau tidak memiliki apa-apa. Maka Rasulullah saw bersabda, “Siapa yang mahu menjamunya malam ini, (aku doakan) semoga Allah merahmatinya.” kemudian berdirilah seorang laki-laki Anshar, dia berkata, “Aku, wahai Rasulullah.” Laki-laki itu pun pergi menemui keluarganya, dia berkata kepada istrinya, “Ini adalah tamu Rasulullah saw, jangan engkau simpan makanan sedikit pun (hidangkan semua untuknya).” Sang istri pun berkata, “Demi Allah, aku tidak punya apa-apa, yang ada cuma makanan untuk anak-anak kita.” Laki-laki itu berkata, “ Jika anak-anak meminta makan malam, maka tidurkanlah mereka. Lalu kemarilah dan matikanlah lampu. Malam ini kita biarkan perut-perut kita lapar.” Lalu sang istri pun melakukannya. Keesokan harinya, laki-laki itu menemui Rasulullah saw, beliau pun berkata, “Sungguh, Allah merasa kagum atau tertawa dengan apa yang diperbuat si fulan dan si fulanah.” Lalu Allah swt menurunkan ayat, “Mereka mengutamakan (Muhajirin) daripada dirinya sendiri, meskipun mereka juga memerlukan.”

Kisah ini menjadi asbabun nuzul surah al-Hasyr ayat 9. Sahabat yang diceritakan adalah Abu Thalhah al-Anshari dan istrinya Ummu Sulaim.

Ini adalah kisah daripada dua zaman dan tempat yang berlainan. Sikap Shaukat Ali adalah sama dengan sikap Abu Thalhah. Mengutamakan orang lain. Manusia-manusia seperti ini boleh dididik sebenarnya. Islam mendidik mereka menjadi berintegriti.

Kembali kepada kisah Mubarak, pekerja seperti ini boleh dididik sebenarnya. Adalah tidak mustahil untuk kita memiliki pekerja sebegini. Kebanyakan kisah-kisah ini adalah dari dunia Islam. Islam berperanan membentuk jati diri insan.

Kenapa pada masa kini tidak kita temui pekerja yang amanah sehingga tahap ini. Sedangkan kursus-kursus yang dijalankan oleh organisasi adalah untuk membentuk sikap pekerja yang amanah dalam pekerjaan. Berapa ramai yang dapat dibentuk melalui program-program ini. Adakah program ini dapat melahirkan pekerja seperti kisah di atas.

Manusia seperti ini hanya lahir dalam dunia Islam. Islam membentuk jati diri mereka. Menghairankan apabila ramai tidak percaya Islam dapat membentuk pekerja yang berintegriti. Mereka-mereka ini orang yang mengaku berugama Islam. Mereka berpegang, Islam tidak ada kena mengena dengan soal dunia.

Walaupun kita menyusun program membentuk pekerja berintegriti menggunakan acuan Islam, mereka masih beranggapan apabila berkait dengan Islam ia hanyalah ugama. Walaupun ceramah ugama yang kita susun berkaitan dengan pembentukkan pekerja berintegriti, mereka masih melihatnya sebagai perkara ugama yang tidak ada kena mengena dengan pekerjaan.

Mereka tidak menyokong sangat program ugama dalam pengurusan sumber manusia, kerana mereka tetap melihat ia sebagai program ugama. Sampai sekarang organisasi sibuk bercakap soal integriti tapi tidak pernah berjaya membentuk pekerja berintegriti.