Sunday, November 28, 2021

“Takdir” dan seterusnya

Saya mengenali penulis Hilal Asyraf melalui bukunya “Takdir”. Kemudian saya mengikutinya sehinggalah buku terbaru “Nirnama”. Kenapa saya yang berumur lebih 50 tahun pada masa itu, berminat dengan sebuah novel fantasi trilogi “Takdir”.

Saya berminat dengan penyampaian ilmu Islam dalam penulisan kreatif. Pada saya media penulisan kreatif sepatutnya digunakan untuk menyampaikan perkara yang membawa kebaikan. Pertama kali saya membaca novel “Takdir”, saya kagum kerana pengolahan ilmu Islam yang tidak berbentuk khutbah. Saya membacanya tanpa merasa dikhutbahkan. Saya membaca ilmu Islam yang boleh dipraktikkan. Pemahaman Islam disampaikan melalui dailog dan perlakuan watak, sehingga saya dapat membayangkan bagaimana Islam itu dipraktikkan dalam kehidupan kita.

Novel ini memberi saya kefahaman makna takdir, qada dan qadar, aqidah dan lain-lain ilmu Islam. Bagaimana mempraktikkan Islam dalam kehidupan kita. Saya amat terkesan apabila membaca novel “Takdir”. Kefahaman Islam saya bertambah kerana ianya disampaikan secara praktikal dalam watak-wataknya.

Kita masih dapat melihat gabungan ilmu Islam dalam novel-novel Hilal Asyraf seterusnya, tetapi tidaklah sehebat trilogi “Takdir”. Saya masih dapat merasakan keseronokkan membaca buku-bukunya yang lain, tetapi tidak dapat merasakan keseronokkan membaca subjek Islam yang dibincangkan dalam dailog dan perlakuan watak. Ianya tidak sehebat novel “Takdir”.

Namun novel “Takdir” dan novel-novel lain hasil kreativiti Hilal Asyraf masih lagi menarik untuk dibaca kerana ilmu Islam yang dibincang dalam watak-watak dan dialog.

Kehidupan kita sentiasa dipenuhi dengan ujian, ada masanya kita lupa bahawa semua itu daripada Allah swt. Saya sentiasa mengulangi membaca novel trilogi “takdir”, kerana saya memerlukan kefahaman Islam yang ada dalam dailog dan perlakuan watak, untuk menghadapi ujian-ujian ini. 

Thursday, November 25, 2021

Hari Keluarga “Keluarga”

Hari Keluarga Waris Tok Razak Opah Sawiyah (WTROS)

Hari Keluarga adalah perkataan yang dikaitkan dengan organisasi perniagaan. Ianya adalah nama bagi satu program organisasi yang melibatkan semua kakitangan. Pelik juga, mereka menamakannya Hari Keluarga kerana mereka bukan keluarga sedarah sedaging. Biasanya yang di katakan keluarga adalah adik beradik sedarah daging.

Hari Keluarga adalah hari di mana semua kakitangan dari bawah  ke atas akan pergi bercuti ke sesuatu tempat yang di persetujui oleh pengurusan atasan. Program Hari Keluarga dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti seperti permainan untuk anak-anak, ibu bapa dan sebagainya . Malamnya selalunya ada jamuan secara bakar-bakar ala-ala BBQ.  Tujuan program ini adalah untuk merapatkan hubungan kakitangan supaya mereka dapat bekerjasama di dalam melaksanakan pekerjaan mereka. Hari Keluarga telah menjadi budaya dalam banyak organisasi perniagaan.

Program Hari Keluarga ini kemudiannya telah diikuti oleh organisasi kerajaan. Banyak organisasi kerajaan menjadikannya program tahunan. Malah organisasi memperuntukkan bajet tahunan untuk program Hari Keluarga. Penyusunan program yang efektif akan memberikan kebaikan kepada organisasi.

Budaya Hari keluarga sudah lama ada dalam perhubungan kekeluargaan, tetapi ia di luar dari makna Hari Keluarga sebagaimana di dalam organisasi. Ia adalah perhubungan dalam bentuk perjumpaan saudara mara, setelah lama tidak berjumpa. Selalunya perjumpaan ini berlaku pada Hari Raya atau hari majlis perkahwinan.

Perjumpaan paling meriah adalah pada hari majlis perkahwinan. Pada hari tersebut hampir semua saudara mara, kecil besar akan hadir. Pada hari tersebut ada berbagai-bagai aktiviti seperti memasak, menyiapkan balai/khemah, pelamin, menghias rumah dan bilik pengantin. Semua ahli keluarga dan saudara mara akan bekerjasama membuat persiapan sebelum majlis. Aktiviti ini berlaku seminggu sebelum hari majlis, malah semakin meriah apabila sampai pada satu hari sebelum majlis. Aktiviti-aktiviti ini umpama program yang di susun untuk dimainkan sesama keluarga. Aktiviti-aktiviti inilah yang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Perjumpaan sesama ahli keluarga boleh berlaku kerana majlis perkahwinan kebiasaannya diadakan pada musim cuti sekolah. Ramai saudara mara dapat hadir dalam majlis perkahwinan. Hari ini sudah berbeza. Majlis perkahwinan tidak lagi diadakan semata-mata pada musim cuti sekolah. Majlis diadakan pada bila-bila masa yang ada hari cuti termasuk hari sabtu dan ahad. Zaman dulu-dulu saudara mara tinggal berhampiran sekurang-kurangnya dalam negeri yang sama. Maka tidaklah menjadi masalah untuk menghadiri majlis perkahwinan terutama hari sabtu atau ahad.  Majlis perkahwinan tidak lagi dapat mengumpul saudara mara untuk saling berkenalan dan bermesra. Kita sudah tidak begitu mengenali siapa saudara mara kita.

Hari ini kita memerlukan program  lain untuk mengumpulkan saudara mara. Program Hari Keluarga adalah cara yang terbaik untuk bertemu dan mengenali saudara mara. Hari Keluarga “keluarga” telah menjadi satu fenomena. Setiap kali cuti sekolah kita akan dapat melihat perjumpaan Hari Keluarga diadakan di pusat-pusat peranginan. Program disusun oleh AJK, ada kewangannya dan aturcaranya juga disusun supaya ada aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua ahli keluarga. Program Hari Keluarga menjadi pengganti perjumpaan keluarga dalam majlis-majlis keluarga yang tidak boleh dihadiri.

Hari Keluarga “keluarga” mempunyai banyak kategori. Hari Keluarga peringkat ibubapa. Hari Keluarga peringkat datuknenek. Hari Keluarga peringkat moyang. Semakin jauh susur jalur keturunan, semakin ramailah ahli keluarga yang akan hadir. Program akan disusun mengikut kategori Hari Keluarga. Hari Keluarga peringkat moyang, programnya tidak boleh sama peringkat ibubapa atau datuknenek.

Ahli-ahli keluarga yang hadir sahaja yang dapat menikmati erti hubungan kerabat yang akrab. Mereka yang mahu menghubungkan silaturrahim dengan kerabat sahaja memenuhi pesan Rasulullah saw sebagaimana di dalam Al Quran dan Hadis. Semuga berbahagia semua.

 

Tuesday, November 16, 2021

Meraung Hari Pertama “Kindergarten”

Tadika di Pantai Remis

Mengenangkan kembali zaman kecil, sejauh yang saya boleh ingat, adalah zaman saya masuk belajar ke tadika pada hari pertama. Tahun 1966, saya berumur 6 tahun. Saya hanya ingat pada hari pertama saya ke tadika di hantar oleh kakak sulung saya.  Kakak saya diberi tugas untuk menghantar saya ke tadika pada hari pertama.

Tadika tersebut tidaklah jauh dari rumah sewa keluarga kami. Apak (ayah) saya seorang konstabel polis, tapi tinggal di rumah sewa sahaja. Saya tidak pernah tahu dan tidak pulak pernah bertanya kepada Apak atau Mak saya, kenapa tidak tinggal diberek polis. Pantai Remis di mana kami menetap adalah sebuah pekan kecil. Kakak saya menghantar saya dengan berjalan kaki sahaja.

Setelah melalui proses pendaftaran, kami pelajar-pelajar baru tadika dibawa ke kelas masing-masing. Pada masa itu kakak saya masih ada mengikut saya bersama penjaga lain. Kelas kami nampaknya hanya mempunyai satu pintu seingat saya. Dindingnya separuh batu, separuh lagi jaring besi. Tujuan jaring ini adalah sebagai tingkap dan pusingan angin masuk untuk menyejuk kelas. Selepas kami ditempatkan di meja masing-masing, penjaga diminta keluar kerana tidak boleh berada dalam kelas. Penjaga hanya boleh mengintai melalui jaring besi yang cukup rendah untuk orang dewasa memerhati ke dalam kelas. Saya dapat melihat muka kakak saya melalaui jaring besi.

Semua murid kemudian memandang kehadapan kelas kerana cikgu sedang bercakap.

Saya memandang ke tingkap di mana kakak saya berada, saya tidak melihat kakak saya di situ. Apa lagi, saya pun meraung sambil berlari keluar. Cikgu pun terus mengejar saya, menangkap dan menutup pintu kelas. Saya di hantar ke kerusi saya. Cikgu berjalan ke depan kelas, saya dengan segera berlari ke pintu dan cuba menarik selak pintu, sambil meraung-raung. Cikgu memujuk saya dan membawa saya ke kerusi saya. Memang cikgu mempunyai kemahiran untuk berhadapan dengan pelajar mempunyai kerenah serupa saya, akhirnya diamlah saya.

Hampir tengahari  kakak saya menunggu saya untuk pulang. Kami berjalan kaki balik rumah. Hari-hari berikut saya pergi ke tadika seperti biasa, kadangkala dihantar oleh kakak saya dengan berjalan kaki dan diambil oleh abang saya dengan berbasikal. Kenangan belajar di tadika tidak banyak yang saya ingati. Apa yang saya tahu kami banyak belajar menggunakan bahasa Inggeris. Kelebihannya apabila saya memasuki darjah satu, semasa kelas bahasa Inggeris saya akan termasuk golongan yang pandai berbahasa Inggeris.

Saya pernah bertanya kepada emak saya, kenapa saya seorang sahaja yang dihantar belajar ke tadika daripada seramai 9 orang adik beradik saya. Emak saya berkata “Kamu menung sahaja apabila yang lain pergi sekolah, kasihan tengok kamu. Apak kamu masukkan kamu ke tadika.”

 

Monday, November 15, 2021

Kenapa “gulaitempoyak” Namanya

Gulai tempoyak adalah makanan kegemaran saya, tidak kiralah dimasak dengan jenis ikan apa, tetapi yang paling sedap adalah gulaitempoyak ikan keli. Gulai ini sungguh sedap sehingga saya sentiasa hendak mengulanginya dan tidak pernah rasa jemu memakannya. Ada masanya kuah gulai tempoyak saya hirup begitu saja. Pantang bagi saya bertemu dengan gulai tempoyak, memang tidak akan melepaskan peluang memakannya.

Sekarang ini bila kita memperkatakan tentang gulai tempoyak, maka kita akan teringat Temerloh yang terkenal dengan gulai tempoyak ikan patin. Saya mengenali gulai tempoyak ini sejak saya kecil. Saya di lahirkan dan dibesarkan di Perak dalam daerah Parit dan Kuala Kangsar. Rumah saya apabila musim durian memang selalu ada menyimpan tempoyak yang digunakan untuk membuat gulai tempoyak. Apak saya suka makan gulai tempoyak. Mungkin ada yang tidak biasa atau tidak tahu, gulai tempoyak ini dinamakan gulai tempoyak kerana masakannya selalu dicampurkan dengan tempoyak yang terhasil dari isi durian yang diperam. Lagi masam lagi sedap. Tambahan pula apabila digabungkan dengan pelbagai bahan lagi, maka menambahkan lagi keenakannya.

Campuran  semua bahan istimewa ini membuat makanan ini semakin sedap. Itulah harapan saya, tulisan saya yang akan dipelbagaikan seperti kisah dulu-dulu dan kisah kehidupan sehari-hari dapat saya sampaikan dengan cara yang akan membuat para pembaca enak membacanya sebagaimana enaknya menikmati gulai tempoyak.

Bagaimana pula pembaca yang tidak makan gulai tempoyak dan tidak minat pun dan tidak selera pun. Cuba bayangkan makanan kegemaran masing-masing, seperti masak pedas. Itulah bayangannya.

Kenapa saya namakan blog saya “gulaitempoyak”? Selain dari nama yang menarik perhatian, ia mudah diingati oleh saya dan juga peminat blog. Memudahkan pencariannya.

Saya akan berusaha menghasilkan tulisan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh pembaca. Harapan saya  pembaca sentiasa merasa nikmat membaca tulisan  saya. Sentiasa  ketagih menantinya.

Saya ucapkan selamat berkenalan dan menikmati apa yang akan dihidangkan oleh blog, sebagaimana menikmati makanan kegemaran kita.