Hari Keluarga Waris Tok Razak Opah Sawiyah (WTROS) |
Hari Keluarga adalah
perkataan yang dikaitkan dengan organisasi perniagaan. Ianya adalah nama bagi
satu program organisasi yang melibatkan semua kakitangan. Pelik juga, mereka
menamakannya Hari Keluarga kerana mereka bukan keluarga sedarah sedaging.
Biasanya yang di katakan keluarga adalah adik beradik sedarah daging.
Hari Keluarga adalah
hari di mana semua kakitangan dari bawah
ke atas akan pergi bercuti ke sesuatu tempat yang di persetujui oleh pengurusan
atasan. Program Hari Keluarga dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti seperti
permainan untuk anak-anak, ibu bapa dan sebagainya . Malamnya selalunya ada jamuan
secara bakar-bakar ala-ala BBQ. Tujuan program
ini adalah untuk merapatkan hubungan kakitangan supaya mereka dapat bekerjasama
di dalam melaksanakan pekerjaan mereka. Hari Keluarga telah menjadi budaya
dalam banyak organisasi perniagaan.
Program Hari Keluarga
ini kemudiannya telah diikuti oleh organisasi kerajaan. Banyak organisasi kerajaan
menjadikannya program tahunan. Malah organisasi memperuntukkan bajet tahunan untuk
program Hari Keluarga. Penyusunan program yang efektif akan memberikan kebaikan
kepada organisasi.
Budaya Hari keluarga
sudah lama ada dalam perhubungan kekeluargaan, tetapi ia di luar dari makna Hari
Keluarga sebagaimana di dalam organisasi. Ia adalah perhubungan dalam bentuk perjumpaan
saudara mara, setelah lama tidak berjumpa. Selalunya perjumpaan ini berlaku
pada Hari Raya atau hari majlis perkahwinan.
Perjumpaan paling
meriah adalah pada hari majlis perkahwinan. Pada hari tersebut hampir semua
saudara mara, kecil besar akan hadir. Pada hari tersebut ada berbagai-bagai
aktiviti seperti memasak, menyiapkan balai/khemah, pelamin, menghias rumah dan
bilik pengantin. Semua ahli keluarga dan saudara mara akan bekerjasama membuat
persiapan sebelum majlis. Aktiviti ini berlaku seminggu sebelum hari majlis, malah
semakin meriah apabila sampai pada satu hari sebelum majlis. Aktiviti-aktiviti
ini umpama program yang di susun untuk dimainkan sesama keluarga. Aktiviti-aktiviti
inilah yang mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Perjumpaan sesama
ahli keluarga boleh berlaku kerana majlis perkahwinan kebiasaannya diadakan
pada musim cuti sekolah. Ramai saudara mara dapat hadir dalam majlis
perkahwinan. Hari ini sudah berbeza. Majlis perkahwinan tidak lagi diadakan
semata-mata pada musim cuti sekolah. Majlis diadakan pada bila-bila masa yang
ada hari cuti termasuk hari sabtu dan ahad. Zaman dulu-dulu saudara mara
tinggal berhampiran sekurang-kurangnya dalam negeri yang sama. Maka tidaklah
menjadi masalah untuk menghadiri majlis perkahwinan terutama hari sabtu atau
ahad. Majlis perkahwinan tidak lagi dapat
mengumpul saudara mara untuk saling berkenalan dan bermesra. Kita sudah tidak
begitu mengenali siapa saudara mara kita.
Hari ini kita
memerlukan program lain untuk mengumpulkan
saudara mara. Program Hari Keluarga adalah cara yang terbaik untuk bertemu dan
mengenali saudara mara. Hari Keluarga “keluarga” telah menjadi satu fenomena. Setiap
kali cuti sekolah kita akan dapat melihat perjumpaan Hari Keluarga diadakan di
pusat-pusat peranginan. Program disusun oleh AJK, ada kewangannya dan aturcaranya
juga disusun supaya ada aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua ahli keluarga.
Program Hari Keluarga menjadi pengganti perjumpaan keluarga dalam majlis-majlis
keluarga yang tidak boleh dihadiri.
Hari Keluarga “keluarga”
mempunyai banyak kategori. Hari Keluarga peringkat ibubapa. Hari Keluarga
peringkat datuknenek. Hari Keluarga peringkat moyang. Semakin jauh susur jalur
keturunan, semakin ramailah ahli keluarga yang akan hadir. Program akan disusun
mengikut kategori Hari Keluarga. Hari Keluarga peringkat moyang, programnya
tidak boleh sama peringkat ibubapa atau datuknenek.
Ahli-ahli keluarga
yang hadir sahaja yang dapat menikmati erti hubungan kerabat yang akrab. Mereka
yang mahu menghubungkan silaturrahim dengan kerabat sahaja memenuhi pesan
Rasulullah saw sebagaimana di dalam Al Quran dan Hadis. Semuga berbahagia semua.
No comments:
Post a Comment