Showing posts with label KIsah dulu-dulu. Show all posts
Showing posts with label KIsah dulu-dulu. Show all posts

Thursday, February 10, 2022

BERAPA RAMAI GURU AL QURAN KITA SIRI 3

           Sepanjang tempoh saya di UKM Bangi, mungkin kerana sibuk dengan pelajaran maka saya tidaklah mencari guru mengaji. Setelah tamat belajar, saya telah ditugaskan di Cawangan Syarikat Kuala Lumpur. Pada masa ini saya pun telah membeli rumah di Kajang. Pada masa mula saya tinggal di Taman Kajang Utama, surau belum dibina. Kami hanya ada surau sementara. Apabila surau tetap dibina ia berhampiran rumah saya.

Surau ini surau Jumaat. Maka dari segi kewangan, ia lebih baik. Kuliah diadakan setiap malam. Kelas mengaji Quran juga diadakan. Tenaga pengajar  adalah Ustaz Wan Nuh guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang. Kelas bermula selepas solat Isyak. Biasalah kelas mengaji Quran tidak ramai yang mengikutinya. Anak muridnya tidak sampai 10 orang. Ada yang tetap hadir setiap kelas dan ada yang kadang-kadang datang.

Ustaz ada cara untuk membuatkan pelajar-pelajarnya selesa belajar dengannya. Ada juga yang rasa malu-malu dan tidak selesa.  Kaedah ustaz, beliau baca kita ikut. Ustaz sentiasa dapat mengesan bacaan yang salah tajwidnya. Ustaz tidak membuat saya rasa gentar, kerana cara beliau mengajar. Ada masa beliau membaca dengan cara lagu Hindustan. Kami rasa selesa. Cara beliau menegur juga mudah, terus menegur semasa kita membaca dengan cara membacakan dengan betul dan kita ikuti bacaannya.

Kami tidak belajar teori tajwid tetapi kami belajar praktikal tajwid. Tempoh saya belajar dengan Ustaz Wan lama juga, 4 atau 5 tahun. Kami diajar dengan tidak secara langsung untuk membaca dengan suara yang nyaring dan jelas supaya ustaz dapat membetulkan bacaan kami. Saya tidak lagi menyembunyikan suara kerana malu ditegur. Banyak yang saya pelajari dari Ustaz Wan.

Tahun 2000 saya bersama seorang ahli kariah di Taman Kajang Utama telah mendaftarkan diri dalam Kursus Asas Quran yang diadakan di Masjid Negara. Pengajar kelas saya yang seramai hampir 20 orang adalah Ustaz Mohsin. Kami mula belajar asas Quran dari buku Iqra’. Sungguhpun saya sudah boleh membaca Quran, tapi saya sangat seronok belajar dari asas. Saya berpeluang membetulkan bacaan saya dari peringkat makhraj huruf.

Kelas kami ada berbagai-bagai kemampuan pelajar. Saya terkejut kerana ada yang tidak tahu menyebut huruf hijaiyah walau pun umurnya sudah mencapai 60 tahun. Semangat belajarnya menyebabkan saya pun seronok belajar. Kami rakan sekelas tidak pernah memandang rendah pada satu sama lain. Malah kami berusaha membantu satu sama lain.

Majlis Penyampaian Sijil
Kelas kami bermula selepas solat isyak. Kami juga mempelajari hukum-hukum tajwid. Pertama kali saya mengenal ilmu tajwid secara formal. Kelas ini berjalan selama 2 tahun. Selepas kelas berakhir, kami wajib menduduki peperiksaan iaitu ujian bertulis dan ujian talaqi. Pelajar yang lulus akan hadir majlis tamat belajar di mana sijil diberikan. Keluarga pun akan hadir bersama pada hari penganugerahan. 

        Selepas tamat kursus asas, saya dan kawan saya mendaftar pula Kursus Lanjutan Quran. Bekas rakan sekelas ada yang tidak mendaftar kerana tidak cukup syarat untuk mendaftar. Ada yang mengulang Kursus Asas Quran kerana mereka ingin betul-betul boleh membaca Quran.

Kelas kursus lanjutan ini kami mempelajari bacaan Quran sepenuhnya dan mempelajari tajwid lanjutan juga. Kami juga diberi tugasan  untuk menghafal surah-surah Yasiin, As Sajadah dan Al Insan. Waktu kelas masanya selepas solat Isyak, kerana kebanyakan tenaga pengajar mempunyai tugas masing-masing di waktu siang. Kelas ini memberi peluang setiap pelajar membaca di depan guru.

Ustaz yang mengajar kelas kami adalah Ustaz Abdul Jabar, yang juga merupakan tenaga pengajar Quran di Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Baru. Kelas berjalan selama 2 tahun. Selepas tamat kelas, di akhir kursus kami wajib menduduki peperiksaan juga. Kami menduduki ujian bertulis, ujian talaqi dan juga hafazan 3 surah yang tugasannya telah diberi pada awal kursus. Alhamdulillah kami berjaya dengan jayanya.

Selepas itu lama juga saya meninggalkan mengaji Quran di hadapan guru, kerana kesibukan kerja yang kadang-kadang bertugas di luar kawasan. Saya pernah mendapat kesempatan belajar dengan Imam Masjid Sultan Mizan Putrajaya. Kebetulan abangnya imam surau kariah kami. Beliau ada mengajar Quran di surau kami. Itu pun setelah  didesak oleh kawan-kawan yang biasa mengaji Quran bersama saya.

Kekok juga setelah sekian lama tidak membaca di hadapan guru. Saya masih ingat, beliau menegur tentang sebutan Fa saya. Hanya sekali itu sahaja saya membaca di hadapan beliau, saya tetap menganggap beliau guru Quran saya.

Sepanjang mempelajari bacaan quran saya mempunyai 10 orang guru, banyak juga guru-guru yang saya tidak ingat seperti dalam tadarus quran. Saya anggap mereka guru, apabila ada yang menegur bacaan saya.

Tetapi saya masih merasakan bahawa saya tidak fasih membaca Quran.

Sunday, January 23, 2022

TUMBANGNYA SEBUAH PAPAN HITAM

Tahun 1968 adalah tahun pertama saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II, Kuala Kangsar, Perak. Sebelum ini saya bersekolah di sebuah sekolah rendah di Pantai Remis. Mungkin ada yang tidak tahu di mana Pantai Remis. Pekan ini terletak di antara pekan Beruas dan pekan Ayer Tawar di Perak.

Depan sekolah
Apak (ayah) saya bekerja sebagai anggota Polis yang bekerja di Balai Polis Pantai Remis, tahun 1968 Apak saya ditukarkan ke Balai Polis Kuala Kangsar. Saya pun ikut bertukar sekolah.

Sekolah saya ini adalah sebuah bangunan 2 tingkat. Bangunan ini ada banyak pintu tanpa tingkap. Setiap kelas ada 3 pintu di setiap sisi, jumlah pintunya ada 6. Bila waktu berangin atau hujan kami akan merasa sangat sejuk.

Meja murid disusun dalam bentuk U, kawasan tengahnya disusun meja menghadap ke papan hitam. Bentuk U mudah disusun kerana murid-murid yang duduk meja berkenaan senang masuk ke meja mereka kerana ia membelakangkan pintu. Masuk melalui pintu yang banyak itu. Susunan itu dibuat mungkin supaya kelas kami boleh memuatkan lebih ramai murid.

Saya masuk ke sekolah ini mulai darjah 2 tahun 1968. Saya ingat lagi yang saya ditempatkan di meja yang membelakangkan pintu.

Hari itu menjadi hari yang saya sangat ingati sehingga sekarang. Pagi itu guru perempuan yang masuk kelas kami. Guru ini rasanya sudah berumur mungkin 50an. Seorang guru yang baik. Sifat keibu-ibuan. Dia umpama emak kami. Nama guru ini kalau saya tidak lupa adalah cikgu Aishah.

Kelas tanpa tingkap

Hari itu cikgu masuk ke kelas kami. Kami cukup gembira. Maklumlah cikgu baik.

Semasa itu cikgu sedang mengagihkan buku-buku Latihan. Sambil itu kami pelajar lelaki yang nakal dan tidak boleh duduk diam, bermain kejar-kejar dan bertolakan. Berlarianlah kami dalam kelas.

“Hei jangan berlari, duduk” tegur cikgu.

Kami ini jenis degil, cikgu pun tak boleh kawal kami.  

Sambil berlarian kami bertolakan sesama sendiri. Biasalah, terlanggar meja, terlanggar kawan-kawan. Pada masa itu saya berlari di depan papan hitam. Seorang kawan menolak saya, lalu saya terlanggar papan hitam.

Duummm....

Semua orang terkejut, agaknya satu sekolah boleh dengar. Papan hitam jatuh dan tersandar ke dinding, tidaklah tumbang ke lantai.

Biasalah budak-budak nakal, masing-masing menyalahkan kawan-kawan.

“Kau tolak aku pasal apa?”

“Mana ada, aku tidak tolak, kau yang langgar papan hitam itu.”

“Haahaa ... kena marah,”ada yang menambah, menghangatkan suasana.

Baru kami tahu hendak duduk diam dan balik kemeja masing-masing. Masing-masing menunggu untuk kena marah, terutama saya, kerana saya yang langgar papan hitam sehingga jatuh. Akibat ditolak oleh seorang kawan.

Seingat saya cikgu Aishah tidak memarahi kami dan tidak juga tidak ada sesiapa yang datang memarahi kami. Saya masih ingat samar-samar, seorang guru lelaki datang ke meja saya melalui pintu di belakang meja saya.

“Dekat mana cedera?” tanyanya sambil memegang bahu saya dengan lembut. Tidak ada bunyi marah dalam suaranya.

“Ini” kata saya sambil menunjukkan ibu jari saya. Sebenarnya tidak ada apa-apa kecederaan, tapi lebih disebabkan takut dan rasa bersalah.

Beliau memegang jari saya dan tidak berkata apa-apa.

Sehingga akhir kelas hari itu tiada sesiapa yang kena marah. Saya rasa mungkin sebab kami berumur 8 tahun, jadi tidak berguna untuk menunjukkan kemarahan pada kami.

 

 

 

Friday, January 14, 2022

Petik Di Tepi Tengah Menyala

 Hujung tahun 1967 keluarga saya berpindah dari Pantai Remis ke Kuala Kangsar mengikut Apak (ayah) kami yang menjadi anggota Polis. Masih saya ingat keterujaan saya apabila sampai di Berek Polis berhampiran bandar Kuala Kangsar. Masa itu saya berumur 7 tahun. Waktu kami sampai hari hampir malam, saya tidak tahu kenapa, kerana jarak Pantai Remis ke Kuala Kangsar bukanlah jauh. Barang-barang belum diturunkan, kami masuk untuk melihat rumah baru kami.

Pemetik lampu elektrik
Ruang dalam rumah kelihatan gelap kerana di luar sudah semakin gelap. Tiba-tiba ruang dalam rumah terang benderang. Saya tidak pernah melihat suasana terang benderang begini. Rupanya Apak saya memetik satu benda hitam di dinding. Saya teruja apabila memetik satu benda hitam di dinding yang berwarna hitam, tiba-tiba lampu menyala di siling. Itulah pertama kali saya melihat lampu elektrik.

Semasa di Pantai Remis kami tidak duduk di Berek Polis. Saya tidak pasti ada atau tidak Berek Polis di Pantai Remis. Apak saya hanya menyewa sebuah rumah kampung. Rumah sewa kami tidak ada yang di namakan lampu elektrik. Saya tidak pernah tahu adanya lampu elektrik.

Pelita kaca
Apabila malam kami menggunakan pelita kaca beberapa buah. Pelita kaca ini terdiri bekas kaca untuk mengisi minyak, bentuk berlekuk sikit seperti botol berbentuk. Penutup bekas minyak sama macam penutup botol tetapi ditengah tutup terdapat lubang untuk sumbu yang merupakan tali guni. Sumbu di mana api menyala ditutup dengan penutup kaca yang terbuka atas dan bawahnya. Belakang pelita dilekat sekeping zin yang ada gambar, dilekatkan pada lingkaran besi yang memegang pada botol pelita.


Kami juga ada jenis pelita minyak tanah yang lain. Pelita ini seperti pelita kaca juga. Ada bekas isi minyak di bawah yang dibuat dari zin yang penutupnya ada sumbu. Ada juga satu pemegang bekas minyak dan ditengah-tengahnya ada penutup kaca.

Pelita kaca

Kami memerlukan pelita kaca yang banyak, sebab rumah sewa kami besar juga. Abang kakak saya perlu melakukan kerja sekolah. Emak saya memasak pun memerlukan lampu juga. Lampu diperlukan untuk ke perigi.

Ada satu lagi jenis lampu yang kami gunakan. Lampu ini boleh menerangi kawasan yang luas dalam rumah kami berbanding pelita kaca. Lampu gasoline ini ada cara untuk memasangnya. Setiap senja saya akan duduk dekat Apak saya, kerana masa ini Apak akan menyediakan lampu gasoline. Bentuk lampu gasoline besar. Ada bekas minyak berbentuk cerek, terdapat dua lubang yang bertutup di tepi bekas. Satu lubang untuk mengisi minyak dan satu lagi untuk mengepam. Saya suka tengok Apak saya mengepam lampu gasoline kerana beberapa saat  kemudian lampu akan menyala tanpa mengguna api. Lampunya berbentuk mentol lampu elektrik.

Lampu Gasoline

Sehingga sekarang saya tidak tahu bagaimana lampu ini berfungsi. Selepas kami berpindah ke Kuala Kangsar, saya tidak pernah melihat lampu ini.

Bayangkan seorang budak berumur 7 tahun yang selama ini hanya mengenali pelita kaca dan lampu gasoline, tiba-tiba melihat lampu yang begitu terang benderang tanpa menggunakan api. Hendak terang benderang, petik sahaja suatu benda hitam di dinding. Tidak perlu bersusah payah mengisi minyak dan menggunakan gores api.

Lampu telah membawa perubahan pada kehidupan budak berumur 7 tahun. Tahun 1968 saya masuk ke darjah 2 Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II. Saya merasai suasana membuat kerja sekolah berdekatan pelita kaca, dan dibawah lampu elektrik. Memang sangat berbeza.

 

 

Sunday, January 9, 2022

Berapa Ramai Guru al Quran Kita Siri 2

Selepas tamat belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya mendapat pekerjaan di Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN). Saya tinggal bersama dengan rakan-rakan sepejabat di sebuah rumah sewa belakang masjid Segambut. Rakan-rakan saya memang suka mengaji. Rahman suka menghadiri kuliah dan beliau juga menguruskan kuliah agama di pejabat. Bahar suka belajar mengaji Quran, beliau sanggup pergi belajar mengaji Quran walaupun jauh dan lewat malam. Beliau belajar sehingga boleh mengajar. Bahar sentiasa menekankan perlunya kita membaca Quran dengan betul  supaya tidak dilaknat oleh Quran.

Akhirnya mereka mendapat seorang ustaz untuk mengajar kami membaca Quran di rumah kami. Kami mengumpul rakan-rakan yang berminat belajar membaca Quran. Ustaz Nur Amin, berasal dari Indonesia. Beliau mengajar waktu malam kerana waktu siang kami semua bekerja.

Kami belajar membaca Quran secara individu dan mempelajari tajwid dari asas. Pertama kali saya belajar membaca Quran dengan tajwid. Pelajaran Quran saya sebelum ini hanya  menekankan kepada membaca dengan betul berdasarkan teguran dari guru mengaji. Saya tidak mengetahui sebelum ini apa yang dinamakan tajwid. Saya belajar dengan ustaz Amin dari penghujung tahun 1983 sehingga saya bertukar ke cawangan JHDN Ipoh pada awal tahun 1985.

Saya masih berpeluang belajar membaca Quran di Ipoh. Cawangan Ipoh ini kebetulan salah seorang senior adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Izzuddin, sebuah sekolah agama yang terkenal di negeri Perak. Beliau juga adalah Yang di Pertua Persatuan Kebajikan Islam JHDN Ipoh. Beliau sanggup mengendalikan kelas membaca Quran untuk staf. Kebanyakan yang hadir hanyalah pegawai baru termasuk saya. Maka bergurulah pula saya dengan rakan sekerja senior Tuan Haji Yaakob.

Semasa di Ipoh saya ada menghadiri usrah mingguan pada waktu malam. Salah seorang rakan usrah, berasal dari Terengganu dan beliau fasih membaca Quran. Beliau menegur tentang bacaan Quran kami dan bersedia untuk mengajar kami membaca Quran dengan cara yang betul. Setiap minggu waktu malam kami akan ke rumahnya untuk belajar membaca Quran. Saya menghadiri kedua-dua kelas ini sehingga penghujung tahun 1986. Disember 1986 saya telah ditukarkan pula ke JHDN cawangan Teluk Intan. Sayangnya saya sudah tidak ingat nama guru Quran yang terakhir. Seingat saya namanya Ismail.

Walaupun sudah berpindah ke Teluk Intan, hati sentiasa rasa rindu untuk membaca Quran di depan guru. Saya dan rakan-rakan berusaha juga mencari guru mengaji Quran. Akhirnya kami bertemu dengan Tok Siak Masjid Jamek bandar Teluk Intan yang sudi mengajar kami membaca Quran. Kami belajar membaca Quran di rumahnya waktu malam seminggu sekali. Kelas ini berterusan saya hadir sehinggalah saya berpindah ke Bangi, Selangor kerana menyambung pelajaran di UKM Bangi pada tahun 1995. Setiap kali selesai mengaji kami dijamu makan. Ada masanya kami bawa makanan. Sayangnya saya sudah tidak ingat nama guru Quran ini. 

Wednesday, January 5, 2022

Berapa Ramai Guru al Quran Kita Siri 1

Quran adalah sumber rujukan bagi orang Islam. Quran adalah wahyu yang diturunkan oleh Alllah swt kepada Rasulullah saw melalui malaikat Jibril. Itu sebab buku ini tidak ada nama penulis kerana ia benar-benar daripada Allah swt kepada Nabi Muhammad saw. Kita tidak akan dapati nama penulis al Quran. Kalau membaca sejarah Islam, hanya ada nama-nama pengumpul al Quran. Quran diturunkan dalam bahasa Arab.

Membacanya dengan kaedah yang betul mendapat pahala. Maka kita perlu mempelajarinya supaya mampu membaca dengan betul. Walau pun Quran diturun dalam bahasa Arab, orang Arab juga perlu belajar membacanya dengan kaedah yang betul kerana ia berbeza dengan bahasa Arab sehari-hari. Membacanya dengan betul walaupun tidak memahami maknanya masih mendapat pahala. Pahala diberi kepada setiap huruf. Orang Islam mestilah belajar membaca Quran dengan betul supaya tidak dilaknat oleh Quran.

Orang Islam telah dikenalkan dengan al Quran mula mengenal huruf. Saya mula belajar membaca Quran sejak berumur 8 tahun iaitu semasa saya dalam darjah 2 sekolah rendah. Saya belajar dengan 2 orang guru Quran. Mereka adalah pasangan suami isteri. Mereka ini tinggal di rumah pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR). Suami bekerja sebagai buruh JKR. Kebanyakan dari masa belajar, kami diajar oleh isteri. Suaminya kadang-kadang sahaja mengajar. Semua takut belajar dengan suaminya kerana suaranya kuat. Nampak macam garang, walaupun sebenarnya tidak.

Ramai yang datang belajar dengan pasangan suami isteri ini. Kadang-kadang rumahnya penuh sehingga ada pelajar yang terpaksa menunggu di luar rumah. Apabila seorang pelajar selesai mengaji, akan ada ruang kosong untuk pelajar yang menunggu di luar masuk.

Kami selalu berebut untuk menjadi orang pertama sampai supaya mendapat tempat duduk pertama. Orang pertama yang akan belajar mengaji dengan guru, akan menjadi orang pertama boleh balik awal. Pelajar pertama sampai akan terus mengambil tempat di hadapan guru mengaji. Walaupun pertama sampai, biasanya pelajar perlu menunggu sehingga guru habis melakukan tugasan rumahnya. Pelajar kedua dan seterusnya akan duduk tempat berikutnya. Selalunya kami dari berek polis  akan kalah dengan pelajar dari balai bomba dan yang tinggal di rumah JKR.

Saya mula belajar ketika berumur 8 tahun kerana kami mengikut ayah kami berpindah dari Balai Polis Pantai Remis ke Balai Polis Kuala Kangsar. Saya belajar dengan guru ini dari Muqaddam sehingga boleh membaca al Quran. Selalunya kami akan berusaha untuk dapat membaca Quran dengan segera. Terutama apabila pelajar perempuan telah dapat membaca al Quran lebih awal daripada kami pelajar lelaki. Menjadi motivasi kepada kami untuk berusaha agar dapat membaca Quran.

Perjalanan ke kelas mengaji memerlukan saya berjalan menyusur jalan besar Kuala Kangsar - Taiping. Ibu bapa tidak risau kami berjalan berseorangan kerana zaman 60an mana ada banyak kereta di atas jalan raya. Kami perlu melalui Berek Bomba untuk ke rumah JKR. Berek polis terletak bersebelahan Berek Bomba, rumah JKR terletak bersebelahan Berek Bomba.

Masa di sekolah rendah, saya pergi belajar mengaji di waktu petang kerana sekolah rendah saya hanya ada sesi pagi sahaja. Semasa di sekolah menengah sewaktu tingkatan 1 saya belajar mengaji waktu pagi. Masa tingkatan 2 dan 3 saya belajar mengaji di waktu petang kerana kelas sekolah menengah saya sesi pagi.

Semasa tingkatan 3 saya sudah boleh membaca Quran, lebih dari separuh Quran saya belajar dengan guru. Tahun 1975, tahun saya menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Saya belum habis membaca Quran seluruhnya dengan guru. Saya meminta kebenaran dengan mak saya untuk berhenti mengaji Quran dan menumpukan perhatian kepada peperiksaan SRP. Mak saya membenarkan, mungkin sebab saya sudah boleh membaca Quran. Saya tidak ingat sama ada saya ada memberitahu guru mengaji yang saya hendak berhenti mengaji Quran. Rasanya saya terus tidak datang mengaji apabila mendapat kebenaran dari mak saya.

Selepas itu, saya lama tidak membaca Quran. Semasa belajar Matrikulasi UKM di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah tahun 1978, saya ada membawa Quran terjemahan. Seorang kawan bertanya, bila melihat Quran tersebut dalam almari saya,”selalu baca ke?” Saya jawap, “kalau ada masa.” Terkedu beliau mendengar jawapan saya.

Tuesday, November 16, 2021

Meraung Hari Pertama “Kindergarten”

Tadika di Pantai Remis

Mengenangkan kembali zaman kecil, sejauh yang saya boleh ingat, adalah zaman saya masuk belajar ke tadika pada hari pertama. Tahun 1966, saya berumur 6 tahun. Saya hanya ingat pada hari pertama saya ke tadika di hantar oleh kakak sulung saya.  Kakak saya diberi tugas untuk menghantar saya ke tadika pada hari pertama.

Tadika tersebut tidaklah jauh dari rumah sewa keluarga kami. Apak (ayah) saya seorang konstabel polis, tapi tinggal di rumah sewa sahaja. Saya tidak pernah tahu dan tidak pulak pernah bertanya kepada Apak atau Mak saya, kenapa tidak tinggal diberek polis. Pantai Remis di mana kami menetap adalah sebuah pekan kecil. Kakak saya menghantar saya dengan berjalan kaki sahaja.

Setelah melalui proses pendaftaran, kami pelajar-pelajar baru tadika dibawa ke kelas masing-masing. Pada masa itu kakak saya masih ada mengikut saya bersama penjaga lain. Kelas kami nampaknya hanya mempunyai satu pintu seingat saya. Dindingnya separuh batu, separuh lagi jaring besi. Tujuan jaring ini adalah sebagai tingkap dan pusingan angin masuk untuk menyejuk kelas. Selepas kami ditempatkan di meja masing-masing, penjaga diminta keluar kerana tidak boleh berada dalam kelas. Penjaga hanya boleh mengintai melalui jaring besi yang cukup rendah untuk orang dewasa memerhati ke dalam kelas. Saya dapat melihat muka kakak saya melalaui jaring besi.

Semua murid kemudian memandang kehadapan kelas kerana cikgu sedang bercakap.

Saya memandang ke tingkap di mana kakak saya berada, saya tidak melihat kakak saya di situ. Apa lagi, saya pun meraung sambil berlari keluar. Cikgu pun terus mengejar saya, menangkap dan menutup pintu kelas. Saya di hantar ke kerusi saya. Cikgu berjalan ke depan kelas, saya dengan segera berlari ke pintu dan cuba menarik selak pintu, sambil meraung-raung. Cikgu memujuk saya dan membawa saya ke kerusi saya. Memang cikgu mempunyai kemahiran untuk berhadapan dengan pelajar mempunyai kerenah serupa saya, akhirnya diamlah saya.

Hampir tengahari  kakak saya menunggu saya untuk pulang. Kami berjalan kaki balik rumah. Hari-hari berikut saya pergi ke tadika seperti biasa, kadangkala dihantar oleh kakak saya dengan berjalan kaki dan diambil oleh abang saya dengan berbasikal. Kenangan belajar di tadika tidak banyak yang saya ingati. Apa yang saya tahu kami banyak belajar menggunakan bahasa Inggeris. Kelebihannya apabila saya memasuki darjah satu, semasa kelas bahasa Inggeris saya akan termasuk golongan yang pandai berbahasa Inggeris.

Saya pernah bertanya kepada emak saya, kenapa saya seorang sahaja yang dihantar belajar ke tadika daripada seramai 9 orang adik beradik saya. Emak saya berkata “Kamu menung sahaja apabila yang lain pergi sekolah, kasihan tengok kamu. Apak kamu masukkan kamu ke tadika.”

 

Monday, November 15, 2021

Kenapa “gulaitempoyak” Namanya

Gulai tempoyak adalah makanan kegemaran saya, tidak kiralah dimasak dengan jenis ikan apa, tetapi yang paling sedap adalah gulaitempoyak ikan keli. Gulai ini sungguh sedap sehingga saya sentiasa hendak mengulanginya dan tidak pernah rasa jemu memakannya. Ada masanya kuah gulai tempoyak saya hirup begitu saja. Pantang bagi saya bertemu dengan gulai tempoyak, memang tidak akan melepaskan peluang memakannya.

Sekarang ini bila kita memperkatakan tentang gulai tempoyak, maka kita akan teringat Temerloh yang terkenal dengan gulai tempoyak ikan patin. Saya mengenali gulai tempoyak ini sejak saya kecil. Saya di lahirkan dan dibesarkan di Perak dalam daerah Parit dan Kuala Kangsar. Rumah saya apabila musim durian memang selalu ada menyimpan tempoyak yang digunakan untuk membuat gulai tempoyak. Apak saya suka makan gulai tempoyak. Mungkin ada yang tidak biasa atau tidak tahu, gulai tempoyak ini dinamakan gulai tempoyak kerana masakannya selalu dicampurkan dengan tempoyak yang terhasil dari isi durian yang diperam. Lagi masam lagi sedap. Tambahan pula apabila digabungkan dengan pelbagai bahan lagi, maka menambahkan lagi keenakannya.

Campuran  semua bahan istimewa ini membuat makanan ini semakin sedap. Itulah harapan saya, tulisan saya yang akan dipelbagaikan seperti kisah dulu-dulu dan kisah kehidupan sehari-hari dapat saya sampaikan dengan cara yang akan membuat para pembaca enak membacanya sebagaimana enaknya menikmati gulai tempoyak.

Bagaimana pula pembaca yang tidak makan gulai tempoyak dan tidak minat pun dan tidak selera pun. Cuba bayangkan makanan kegemaran masing-masing, seperti masak pedas. Itulah bayangannya.

Kenapa saya namakan blog saya “gulaitempoyak”? Selain dari nama yang menarik perhatian, ia mudah diingati oleh saya dan juga peminat blog. Memudahkan pencariannya.

Saya akan berusaha menghasilkan tulisan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh pembaca. Harapan saya  pembaca sentiasa merasa nikmat membaca tulisan  saya. Sentiasa  ketagih menantinya.

Saya ucapkan selamat berkenalan dan menikmati apa yang akan dihidangkan oleh blog, sebagaimana menikmati makanan kegemaran kita.