Ada sebuah kisah, di katakan kisah ini adalah kisah
bapa Abdullah bin Mubarak, banyak diceritakan dalam buku-buku motivasi tetapi tidak
menyatakan siapakah manusia ini. Abdullah bin Mubarak adalah seorang ulama yang
amat terkenal.
Pakar-pakar motivasi ramai menggunakan kisah ini dalam
program-program motivasi mereka. Mungkin sebab mereka hanya hendak mengambil
pengajaran dari kisah ini maka mereka tidak mengambil tahu benarkah kisah ini. Mereka
tidak mengambil tahu siapakah manusia yang hebat ini, benarkah manusia seperti ini
boleh wujud.
Saya ceritakan kisah ini mengikut versi saya. Saya pun
ingin memetik pengajarannya. Kisah ini adalah tentang seorang penjaga kebun buah
delima milik seorang kaya. Namanya Mubarak. Suatu hari orang kaya tersebut
datang ke kebun untuk merasa buah delima di kebunnya.
“Mubarak,
tolong petik buah yang manis, saya hendak memakannya.”
“Baik
tuan,” sahut Mubarak dan berjalan menuju ke satu pohon.
Beliau memetik beberapa biji buah delima, membelah
sebiji dan meletakkan dalam sebiji pinggan. Beliau meletak pinggan itu di
hadapan tuannya.
Tuannya mengambil beberapa biji isi delima, meletak dalam
tapak tangan dan memakannya. Mukanya berkerut.
“Mubarak,
masam ......... pergi ambil yang lain,” perintah tuannya.
Dengan setia Mubarak pun pergi ke pokok yang lain dan
memetik buahnya. Beliau membelah sebiji buah delima dan meletaknya dalam pinggan
yang kemudiannya meletakkan di hadapan tuannya.
Tuannya mengambil beberapa biji isi delima dan
memakannya. Mukanya sekali lagi berkerut.
Tuannya membentak,”Mubarak, tak faham ke, saya suruh
petik buah yang manis, kenapa diberi yang masam. Pergi ambil lagi, kali ini saya
mahu yang manis.”
Mubarak pun bergerak menuju kepada pokok yang lain
pula. Memetik buah yang masak. Menyediakannya dan menyerahkan kepada tuannya.
Tuannya mengambil beberapa biji isi buah delima dan
memakannya.
Tuannya berdiri dan sambil menuding jarinya ke arah Mubarak,
“Saya melantik awak sebagai pekerja untuk menjaga kebun ini, betul?”
“Betul
tuan.”
“Kenapa
awak tidak memberi saya buah yang manis, tiga kali awak memetik, semuanya rasa
masam, sia-sia sahaja saya memberi awak pekerjaan ini.”
Mubarak diam, sambil menundukkan kepalanya.
“Kenapa
diam, jawap!”
Sambil mengangkat kepalanya, “tuan, maafkan saya. Boleh
saya bertanya?”
“Ya,
boleh,” jawap tuannya. Nampaknya marah tuannya sudah berkurang.
“Tuan
masih ingat lagikah kata-kata tuan kepada saya apabila melantik saya menjadi
penjaga kebun tuan?”
“Ya,
saya beri tugas untuk menjaga kebun saya supaya pokok-pokok ini terus dapat
menghasilkan buahnya”
“Tuan
hanya mengamanahkan saya untuk menjaga pokok-pokok di kebun tuan, tetapi tuan
tidak memberi kebenaran untuk saya memakan buah-buahan yang ada di dalam kebun
tuan.”
“Apa!
...... kamu tidak pernah memakan buah-buah yang ada dalam kebun ini?”
“Tidak
tuan, ....... saya takut makan makanan yang haram bagi saya.”
Tuannya terus memeluknya, “sesungguhnya kamulah
pekerja yang benar-benar amanah, saya tidak pernah sangka saya akan berjumpa
pekerja seperti kamu. Kebanyakan pekerja saya sebelum ini semuanya biasa
memakan buah-buahan dalam kebun saya. Sebenarnya saya tidaklah kisah sekiranya
sedikit sahaja yang dimakan.”
Kisah ini nampaknya macam terlalu ideal. Mana mungkin
ada pekerja sebegini. Ini manusia beramanah luarbiasa. Saya pun fikir,
mungkinkah ada manusia sehebat ini amanahnya.
Ini pula sebuah kisah benar, berlaku masa kini yang
saya baca dalam sebuah buku bertajuk Ustazah Basikal. Kisah pengembaran suami
isteri berbasikal dari Kuala Lumpur ke Arab saudi. Semasa mereka di India
mereka berjumpa dengan Tok Siak masjid namanya Shaukat Ali. Beliau telah membawa
mereka ke rumahnya untuk makan malam. Lauk kari diambil dari rumah kakaknya, makanan
lain disediakan oleh isterinya.
Sambil memerhatikan mereka makan, Shaukat Ali menyuruh
mereka memakan habis makanan tersebut. Mereka berdua memang lapar dan
memikirkan tuan rumah mungkin sudah makan, maka mereka makan sampai kenyang. Semasa
mereka berhenti makan, tinggal sedikit lagi lauk kari.
Isteri Shaukat mengambil lauk kari lebihan itu dan menyediakan
pinggan yang berisi capati. Isterinya meletakkan pinggan itu di hadapan
suaminya. Shaukat Ali memakan baki lauk kari bersama capati. Selepas Shaukat
selesai makan, isteri beliau memanggil anak-anaknya untuk makan. Akhir sekali barulah
isteri beliau makan baki makanan. Rupa-rupanya mereka sekeluarga belum. Mereka
mendahulukan tetamu.
Ini adalah kisah benar yang berlaku pada abad ini. Kisah
ini pernah berlaku dahulu di kalangan sahabat Rasulullah saw sehingga
diabadikan di dalam Quran.
Saya petik langsung hadisnya yang menjadi asbabun
nuzul ayat Quran berkenaan.
“Ya’qub bin Ibrahim bin Katsir ...................
bahwa Abu Hurairah berkata, “Seseorang datang kepada rasulullah saw lalu
berkata, “Whai Rasulullah, aku mengalami kesulitan.” Beliau lalu mengutus
seseorang kepada para istri beliau (untuk meminta makanan mereka), namun ternyata
para istri beliau tidak memiliki apa-apa. Maka Rasulullah saw bersabda, “Siapa
yang mahu menjamunya malam ini, (aku doakan) semoga Allah merahmatinya.” kemudian
berdirilah seorang laki-laki Anshar, dia berkata, “Aku, wahai Rasulullah.”
Laki-laki itu pun pergi menemui keluarganya, dia berkata kepada istrinya, “Ini
adalah tamu Rasulullah saw, jangan engkau simpan makanan sedikit pun (hidangkan
semua untuknya).” Sang istri pun berkata, “Demi Allah, aku tidak punya apa-apa,
yang ada cuma makanan untuk anak-anak kita.” Laki-laki itu berkata, “ Jika
anak-anak meminta makan malam, maka tidurkanlah mereka. Lalu kemarilah dan
matikanlah lampu. Malam ini kita biarkan perut-perut kita lapar.” Lalu sang
istri pun melakukannya. Keesokan harinya, laki-laki itu menemui Rasulullah saw,
beliau pun berkata, “Sungguh, Allah merasa kagum atau tertawa dengan apa yang
diperbuat si fulan dan si fulanah.” Lalu Allah swt menurunkan ayat, “Mereka
mengutamakan (Muhajirin) daripada dirinya sendiri, meskipun mereka juga memerlukan.”
Kisah ini menjadi asbabun nuzul surah al-Hasyr
ayat 9. Sahabat yang diceritakan adalah Abu Thalhah al-Anshari dan
istrinya Ummu Sulaim.
Ini adalah kisah daripada dua zaman dan
tempat yang berlainan. Sikap Shaukat Ali adalah sama dengan sikap Abu Thalhah. Mengutamakan
orang lain. Manusia-manusia seperti ini boleh dididik sebenarnya. Islam
mendidik mereka menjadi berintegriti.
Kembali kepada kisah Mubarak, pekerja
seperti ini boleh dididik sebenarnya. Adalah tidak mustahil untuk kita memiliki
pekerja sebegini. Kebanyakan kisah-kisah ini adalah dari dunia Islam. Islam
berperanan membentuk jati diri insan.
Kenapa pada masa kini tidak kita
temui pekerja yang amanah sehingga tahap ini. Sedangkan kursus-kursus yang
dijalankan oleh organisasi adalah untuk membentuk sikap pekerja yang amanah
dalam pekerjaan. Berapa ramai yang dapat dibentuk melalui program-program ini.
Adakah program ini dapat melahirkan pekerja seperti kisah di atas.
Manusia seperti ini hanya lahir dalam
dunia Islam. Islam membentuk jati diri mereka. Menghairankan apabila ramai tidak
percaya Islam dapat membentuk pekerja yang berintegriti. Mereka-mereka ini
orang yang mengaku berugama Islam. Mereka berpegang, Islam tidak ada kena
mengena dengan soal dunia.
Walaupun kita menyusun program membentuk
pekerja berintegriti menggunakan acuan Islam, mereka masih beranggapan apabila
berkait dengan Islam ia hanyalah ugama. Walaupun ceramah ugama yang kita susun
berkaitan dengan pembentukkan pekerja berintegriti, mereka masih melihatnya
sebagai perkara ugama yang tidak ada kena mengena dengan pekerjaan.
Mereka tidak menyokong sangat program
ugama dalam pengurusan sumber manusia, kerana mereka tetap melihat ia sebagai
program ugama. Sampai sekarang organisasi sibuk bercakap soal integriti tapi
tidak pernah berjaya membentuk pekerja berintegriti.
No comments:
Post a Comment