“Aku dapat tawaran menyambung pelajaran ke universiti, tapi aku tidak pergi, aku tidak ada duit”. Itulah kata-kata rakan saya yang telah lama tidak berjumpa, hampir 40 tahun. Kami pernah juga berjumpa sebenarnya tetapi berselang masa puluhan tahun, dan sekejap sahaja, tidak dapat hendak bercerita panjang.
Selepas bersara, saya
berpeluang menziarahi rakan baik saya. Kebetulan saya pulang ke kampung halaman,
rumahnya berada di jalan yang saya lalui, maka saya ambil kesempatan untuk
singgah ke rumahnya.
Beliau
adalah antara rakan baik saya semasa zaman persekolahan. Saya belajar dalam satu
kelas dengannya sejak darjah 3 hingga 6 di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Idris
ll, Kuala Kangsar. Kemudian kami belajar juga dalam satu kelas semasa tingkatan
1 hingga 5 di Sekolah Menengah Bukit Merchu, Kuala Kangsar. Kami sama-sama dilantik
sebagai pengawas sekolah semasa tingkatan 4 dan 5. Selepas tingkatan 5 kami
berpisah kerana mengikut haluan masing-masing.
Saya
meneruskan pelajaran ke tingkatan 6 sains selama 2 minggu sahaja di Sekolah Menengah
Sri Perak, Teluk Intan dan kemudian mendapat tawaran meneruskan pengajian
Matrikulasi UKM di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra. Rakan saya menyambung
pelajaran ke tingkatan 6 sastera di sekolah lama.
Setelah tamat persekolahan,
kami hanya pernah bertemu 2 atau 3 kali sahaja. Paling akhir saya bertemunya
sebelum saya bersara. Beliau datang ke pejabat saya bersama beberapa orang
pegawai bawahannya untuk berbincang tentang kerja. Selepas itu kami berjumpa
setelah masing-masing bersara, di rumahnya.
Biasalah apabila sudah
lama sangat tidak berjumpa, mulalah timbul cerita-cerita lama sepanjang kami
tidak bersama. Selepas SPM/STPM pergi mana, buat apa, berbagai-bagai kisah lama
diungkit semula.
Beliau bercerita, selepas STPM, beliau ada mendapat tawaran menyambungkan
pelajaran ke universiti. Beliau pernah memberitahu
saya, beliau menyambung pelajaran ke universiti semasa bekerja. Beliau tidak menerima
tawaran pada masa itu kerana masalah
kewangan.
Saya cukup terkesan mendengar
ceritanya. Saya tidak pernah terfikir apa yang beliau hadapi. Pada masa saya mendapat
tawaran menyambung pelajaran ke universiti,
tiga orang abang dan seorang adik saya sudah bekerja. Ayah saya juga masih bekerja
sebagai Polis. Dua orang sahaja adik saya
yang sedang bersekolah. Segi kewangan, saya
tidaklah menghadapi masalah sangat, di tambah pula saya penerima biasiswa.
Saya berfikir selama
ini, sepanjang saya berkawan dengannya, benarkah saya mengenalinya. Saya hanya
tahu keseronokan berkawan sahaja. Rasa macam kami setara sahaja, tanpa ada
apa-apa masalah kehidupan. Ini bukan persoalan makan dan pakaian, tapi
persoalan kelangsungan perjalanan kehidupan, seperti meneruskan pelajaran ke
universiti, yang mana pada zaman kami bukanlah senang untuk mendapat tempat di
universiti. Melepaskannya adalah kerugian yang besar. Memang ada yang
melepaskan peluang ke universiti disebabkan masalah kewangan, tetapi saya tidak
terfikir rakan saya juga berada dalam situasi itu.
Sepanjang kita berkawan,
adakah kita pernah cuba untuk mengenali keluarga dan kehidupan kawan-kawan
kita. Pernah kita ambil tahu siapa ibu bapanya. Apa pekerjaan mereka. Berapa ramai
adik beradiknya. Kawan kita anak ke berapa. Pernahkah kita rasa hendak
ambiltahu. Rakan-rakan kita tidak pernah bercerita tentang keluarga mereka,
begitu juga kita. Kita pun jarang hendak berkongsi tentang keluarga kita. Memang
budaya kitakah, tidak mahu mengambiltahu akan diri rakan-rakan kita.
Nampak seperti perkara
remeh sahaja. Apalah sangat hanya mengenali keluarga. Sebenarnya kesan yang
dibawa adalah amat besar. Kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Inilah yang
merapatkan kita dan akan saling sokong menyokong, saling bantu membantu.
Saya biasa
mengendalikan aktiviti kumpulan dinamik. Para peserta didedahkan dengan
aktiviti yang di dalamnya mereka akan mendedahkan kisah masing-masing tanpa
disedari. Kisah suka dan duka. Kelebihan dan kekurangan. Kekuatan dan
kelemahan. Kisah kesedihan dan
kegembiraan. Mereka semakin rapat apabila semakin mengenali rakan-rakan dengan
lebih intim.
Saya uji keakraban
mereka dengan aktiviti bersaing secara kumpulan, untuk melepasinya mereka mestilah
saling bekerjasama. Kita akan kagum melihat bagaimana mereka saling bantu
membantu kerana mereka telah lebih memahami satu sama lain. Saya difahamkan keakraban
peserta-peserta ini masih kekal. Mereka masih saling bantu membantu dalam
pekerjaan dan kehidupan mereka.
Memperkukuhkan persahabatan adalah dengan mengenali
dengan lebih rapat rakan-rakan kita. Bila kita kenal rapat barulah ada rasa
empati dan simpati. Maka timbullah perasaan saling bantu membantu.
No comments:
Post a Comment