Sepanjang tempoh saya di UKM Bangi, mungkin kerana sibuk dengan pelajaran maka saya tidaklah mencari guru mengaji. Setelah tamat belajar, saya telah ditugaskan di Cawangan Syarikat Kuala Lumpur. Pada masa ini saya pun telah membeli rumah di Kajang. Pada masa mula saya tinggal di Taman Kajang Utama, surau belum dibina. Kami hanya ada surau sementara. Apabila surau tetap dibina ia berhampiran rumah saya.
Surau ini surau Jumaat. Maka dari segi kewangan, ia lebih
baik. Kuliah diadakan setiap malam. Kelas mengaji Quran juga diadakan. Tenaga
pengajar adalah Ustaz Wan Nuh guru di Sekolah
Menengah Agama Persekutuan Kajang. Kelas bermula selepas solat Isyak. Biasalah kelas
mengaji Quran tidak ramai yang mengikutinya. Anak muridnya tidak sampai 10
orang. Ada yang tetap hadir setiap kelas dan ada yang kadang-kadang datang.
Ustaz ada cara untuk membuatkan pelajar-pelajarnya selesa
belajar dengannya. Ada juga yang rasa malu-malu dan tidak selesa. Kaedah ustaz, beliau baca kita ikut. Ustaz
sentiasa dapat mengesan bacaan yang salah tajwidnya. Ustaz tidak membuat saya rasa
gentar, kerana cara beliau mengajar. Ada masa beliau membaca dengan cara lagu Hindustan.
Kami rasa selesa. Cara beliau menegur juga mudah, terus menegur semasa kita membaca
dengan cara membacakan dengan betul dan kita ikuti bacaannya.
Kami tidak belajar teori tajwid tetapi kami belajar praktikal
tajwid. Tempoh saya belajar dengan Ustaz Wan lama juga, 4 atau 5 tahun. Kami
diajar dengan tidak secara langsung untuk membaca dengan suara yang nyaring dan
jelas supaya ustaz dapat membetulkan bacaan kami. Saya tidak lagi
menyembunyikan suara kerana malu ditegur. Banyak yang saya pelajari dari Ustaz
Wan.
Tahun 2000 saya bersama seorang ahli kariah di Taman Kajang
Utama telah mendaftarkan diri dalam Kursus Asas Quran yang diadakan di Masjid Negara.
Pengajar kelas saya yang seramai hampir 20 orang adalah Ustaz Mohsin. Kami mula
belajar asas Quran dari buku Iqra’. Sungguhpun saya sudah boleh membaca Quran, tapi
saya sangat seronok belajar dari asas. Saya berpeluang membetulkan bacaan saya
dari peringkat makhraj huruf.
Kelas kami ada berbagai-bagai kemampuan pelajar. Saya
terkejut kerana ada yang tidak tahu menyebut huruf hijaiyah walau pun umurnya sudah
mencapai 60 tahun. Semangat belajarnya menyebabkan saya pun seronok belajar.
Kami rakan sekelas tidak pernah memandang rendah pada satu sama lain. Malah
kami berusaha membantu satu sama lain.
Majlis Penyampaian Sijil |
Selepas
tamat kursus asas, saya dan kawan saya mendaftar pula Kursus Lanjutan Quran. Bekas
rakan sekelas ada yang tidak mendaftar kerana tidak cukup syarat untuk
mendaftar. Ada yang mengulang Kursus Asas Quran kerana mereka ingin betul-betul
boleh membaca Quran.
Kelas kursus lanjutan ini kami mempelajari bacaan Quran sepenuhnya
dan mempelajari tajwid lanjutan juga. Kami juga diberi tugasan untuk menghafal surah-surah Yasiin, As Sajadah
dan Al Insan. Waktu kelas masanya selepas solat Isyak, kerana kebanyakan tenaga
pengajar mempunyai tugas masing-masing di waktu siang. Kelas ini memberi
peluang setiap pelajar membaca di depan guru.
Ustaz yang mengajar kelas kami adalah Ustaz Abdul Jabar, yang
juga merupakan tenaga pengajar Quran di Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Baru.
Kelas berjalan selama 2 tahun. Selepas tamat kelas, di akhir kursus kami wajib
menduduki peperiksaan juga. Kami menduduki ujian bertulis, ujian talaqi dan
juga hafazan 3 surah yang tugasannya telah diberi pada awal kursus. Alhamdulillah
kami berjaya dengan jayanya.
Selepas itu lama juga saya meninggalkan mengaji Quran di hadapan
guru, kerana kesibukan kerja yang kadang-kadang bertugas di luar kawasan. Saya pernah
mendapat kesempatan belajar dengan Imam Masjid Sultan Mizan Putrajaya. Kebetulan
abangnya imam surau kariah kami. Beliau ada mengajar Quran di surau kami. Itu
pun setelah didesak oleh kawan-kawan
yang biasa mengaji Quran bersama saya.
Kekok juga setelah sekian lama tidak membaca di hadapan
guru. Saya masih ingat, beliau menegur tentang sebutan Fa saya. Hanya sekali
itu sahaja saya membaca di hadapan beliau, saya tetap menganggap beliau guru Quran
saya.
Sepanjang mempelajari bacaan quran saya mempunyai 10
orang guru, banyak juga guru-guru yang saya tidak ingat seperti dalam tadarus
quran. Saya anggap mereka guru, apabila ada yang menegur bacaan saya.
Tetapi saya masih merasakan bahawa saya tidak fasih membaca Quran.
No comments:
Post a Comment