Pilihanraya Kecil Negeri (PRN) Johor sudah pun berlalu yang memberi kemenangan kerusi majoriti kepada BN/UMNO. Kerana tamakkan kuasa pemimpin Islam sanggup berbuat apa sahaja walau pun suasana wabak penyakit Covid19 sedang melanda seluruh dunia dan negara kita. Mereka pemimpin Islam ini sanggup mengambil risiko yang boleh menyebabkan wabak ini tidak terkawal. Sebenarnya baru sahaja mereka melakukan perkara yang sama di negeri Melaka, mereka menang dengan undi yang tipis walau pun menang majoriti kerusi.
Umat Islam kini di
Malaysia sedang cukup diuji. Bukan sahaja segelintir orang bukan Islam yang
sedang menggugat keutuhan umat Islam, tetapi ada di kalangan umat Islam sendiri
yang mempunyai kefahaman Islam yang berbeza, datang dengan pemikiran mereka yang
sebenarnya menggugat Islam tanpa mereka sedari. Mereka mengaku mereka faham
Islam, tidak tahulah sejauh mana kefahaman Islam mereka. Mereka inilah yang
menyebabkan orang bukan Islam berani untuk mencabar apa sahaja yang namanya
Islam.
Kini datang pula
pemimpin yang mengaku diri Islam, tanpa memikirkan kebajikan rakyat, mereka
sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan mereka mempunyai kuasa mutlak,
tidak digugat oleh sesiapa pun. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan
kehendak mereka diperolehi. Mereka mengaku lebih Islam daripada orang lain atau
golongan lain. Mereka mengutuk orang lain sebagai tidak Islam dalam keadaan
mereka berhadapan dengan tuduhan rasuah di mahkamah. Umpama pencuri yang
menjerit pencuri pada orang lain.
Islam dicabar, tetapi
umat Islam tidak berani untuk melawan semula. Hanya segelintir sahaja umat Islam
yang berani melawan, tetapi mereka ini dikutuk oleh umat Islam sendiri. Malah mereka
yang mahu memperjuangkan Islam ini tidak diundi oleh pengundi Islam yang
berbangga dengan banyak sekolah ugama dinegeri mereka.
Salah siapakah ini?
Salah pemimpin Islam atau salah orang Islam, sebagai pengundi yang memilih
mereka menjadi pemimpin. Mereka ini tidak akan menjadi pemimpin sekiranya tidak
diundi oleh rakyat. Sebagai pemimpin mereka berpeluang untuk menerima rasuah
atau menyalahgunakan kuasa. Adalah sukar untuk mereka melakukan perbuatan itu
tanpa mempunyai kuasa. Pengundilah sebenarnya yang memberi kuasa kepada mereka untuk
meneruskan kerja mungkar mereka.
Tanggungjawab memilih
pemimpin dalam negera demokrasi adalah rakyat. Undi rakyat menentukan mereka
boleh menjadi pemimpin atau tidak. Janganlah salahkan pemimpin, kenapa tidak tanya
diri kita sendiri, kenapa kita mengundi mereka-mereka ini.
Orang Islam memang
pelik. Mereka umpama orang Islam dalam kisah perjalanan IsrakMikraj. Rasulullah
saw menceritakan, dalam perjalanannya, Baginda saw melihat orang yang
dihidangkan dengan dua daging. Satu daging busuk dan satu lagi daging elok
sempurna, tapi mereka memilih untuk makan daging busuk. Ini adalah gambaran
orang Islam yang mempunyai isteri tetapi masih memilih wanita yang bukan
isteri.
Begitulah keadaan yang
dihadapi oleh pengundi. Mereka diberi pilihan untuk memilih pemimpin. Umpama
segolongan manusia yang diminta memilih hidangan makanan.
Satu majlis makan
diadakan di dalam sebuah dewan. Banyak meja disusun di dalamnya. Di atas meja
itu terdapat hidangan makanan. Ada meja yang dipenuhi dengan makanan yang baik
dan enak bercampur dengan makanan yang sudah basi dan rosak.
Kuantiti makanan baik enak
dan basi rosak, berbeza-beza untuk setiap meja. Ada yang sama banyak makanan
basi rosak dan baik enak. Ada meja yang lebih banyak makanan baik enak, ada meja
yang makanan basi rosak lebih banyak. Meja-meja ini dihiaskan dengan cantik
untuk menarik perhatian mereka memilih meja ini. Hiasannya begitu menonjol, yang
terus dapat menarik perhatian.
Hanya ada satu meja
sahaja yang di atasnya semua makanan yang baik bercampur dengan makanan enak. Meja
ini disediakan dengan hiasan yang biasa-biasa sahaja.
Mereka diberitahu
bahawa meja-meja di dalam diletakkan pelbagai jenis makanan yang elok dan tidak
elok. Kemudian mereka dipanggil masuk dan diberi kebebasan untuk memilih meja untuk mereka duduki. Majoriti mereka memilih
terus meja yang dihiaskan dengan cantik. Mereka tidak berebut untuk duduk di meja yang dihias
biasa-biasa sahaja. Mereka duduk sahaja, yang penting ada makanan.
Inilah sikap orang yang
tidak berfikir. Inilah perbuatan bodoh. Naluri manusia pasti akan memilih
makanan bukan meja yang menarik, kerana mereka telah diberitahu keadaan
makanannya. Pilihan di tangan mereka.
Analogi ini mungkin
tidak sepenuhnya dapat menggambarkan pengundi Islam, tetapi situasinya sama
kerana pengundi di hadapkan dengan pelbagai calon yang perlu mereka pilih untuk
memimpin mereka. Mereka tahu calun atau parti yang bersih dari rasuah atau apa
sahaja penyalahgunaan kuasa. Mereka tahu golongan yang calun dan partinya
terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka pasti tahu, kerana ia
disiarkan dengan meluas di dalam media massa.
Sungguh menghairankan
sebagaimana analogi pemilihan makanan, mereka mengundi calun mereka tanpa memikirkannya
dengan serius. Mereka memilih calun dan parti yang banyak rasuah dan menyalahguna
kuasa. Mereka digula-gulakan dengan kisah lalu yang menarik. Itulah yang
berlaku di kedua-dua PRN.
Apabila ditanya, mereka
menjawab sebagaimana umat jahiliyah dahulu menjawab, kami ikut nenek moyang
kami kerana itu yang kami nampak dan terima dari mereka.
“Dan
apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar):Turutlah apa yang telah
diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: (Tidak) bahkan kami hanya menurut apa
yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah mereka (menurut datuk
neneknya) sekalipun syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan
mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?’
(Surah Luqman Ayat 21).
Mereka berkata kami
sudah biasa dengan pemerintahan ini, kami tidak mahu mengubahnya, sejak dahulu
lagi kami mengundi mereka. Nampaknya perubahan adalah sesuatu yang menakutkan
bagi pengundi. Mereka mahu kekal pada keadaan sedia ada. Kalau boleh mereka tidak
mahu berubah.
Menarik untuk kita
lihat bagaimana majoriti pengundi-pengundi di Malaysia tidak mahu berubah.
Majoriti mereka mengundi parti yang sama. Walau pun parti itu telah terlalu
rosak. Adakah mereka takut untuk membuat perubahan kerana mereka takut pada
perubahan yang tidak nampak.
Kita memahami sikap
pemimpin memang ada yang penuh dengan kepentingan diri. Masalahnya pengundi, apakah
yang menghalang mereka untuk mengubah keadaan kepada yang lebih baik. Layakkah
pemimpin korup mendapat undi dari pengundi.
Undi yang mereka buat
menyebabkan satu negara tidak dapat menafaat. Mereka sendiri tidak mendapat
apa-apa manafaat. Inilah The Stupid seperti yang dikatakan oleh Carlo
M. Cipolla dalam bukunya The Basic Laws Of Human Stupidity.
Apakah sebenarnya yang
berlaku. Kenapa umat Islam bertindak tanpa berfikir atau mereka memang tidak
suka berfikir. Apakah yang menyebabkan mereka bertindak sebegitu. Sikap dan
tindakan mereka membawa kemerosotan kepada umat Islam amnya, kepimpinan Islam
khususnya. Mereka sebagai pengundi Islam yang memilih pemimpin-pemimpin buruk
ini.
Saya cuba memahami
kenapa pengundi di kalangan umat Islam masih mempertahankan pemimpin korup ini.
Saya temui isu ini dibincang oleh Syaikh Syakib Arslan.
Syaikh Syakib Arslan membincangkan kemerosotan umat Islam dalam bukunya Kenapa Umat Islam Tertinggal, terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan umat Islam ketinggalan. Buku ini walau pun diterbitkan dalam tahun 1940, tetapi isu-isu yang dibawanya masih lagi relevan dalam mencari sebab-sebab umat Islam ketinggalan dan takut untuk berhadapan dengan kemungkaran.
Apakah umat Islam di Malaysia amnya, Persekutuan Tanah Melayu
khususnya sedang memasuki fasa umat yang tertinggal. Sedang menuju kearah
kemerosotan dan akhirnya dikalahkan dalam negeri sendiri. Adakah faktor-faktor
ini ada dalam diri umat Islam di Malaysia.
Kebodohan
dalam kalangan umat Islam adalah antara isunya, tetapi bukan maksudnya kebodohan
akademik. Kebodohan ini adalah kebodohan yang berlaku juga kepada orang yang di
anggap bijak dan waras. Orang-orang yang bodoh ini pasrah sahaja menerima
permasalahan yang dihadapi tanpa tahu cara menolaknya. Mereka tidak ada kesedaran
atau hilang kesedaran.
Abul Hasan Aliy Al Hasaniy Al Nadwiy juga membincangkan kemerosotan umat Islam dalam bukunya Kerugian Apa Yang Dideritai DUNIA Akibat Kemerosotan Kaum MUSLIMIN, pertama kali terbit pada tahun 1950 dalam bahasa Arab. Perkara yang paling dikhuatiri beliau, hilangnya kesedaran di kalangan umat Islam. Akibatnya mereka mudah terpengaruh dengan ajakan, mudah tunduk kepada orang yang berkuasa, tidak kisah pada kemungkaran, membiarkan sahaja kezaliman.
Penyakit hilang kesedaran ini boleh melarat
kepada tidak mahu memikirkan banyak urusan, tidak mahu menempatkan sesuatu pada
tempatnya, tidak dapat membezakan antara kawan dan lawan, tidak dapat
membezakan yang baik daripada tipu muslihat yang jahat, tidak mampu mentafsir
pengertian dari berbagai kejadian dan peristiwa, tidak mahu belajar dari
pengalaman, tidak dapat mengambil manfaat dari terjadinya pelbagai macam
bencana.
Inilah yamg berlaku
kepada pengundi, mereka sedar akan sikap buruk pemimpin tetapi mereka tidak kisah
langsung, tidak berbuat apa-apa. Mereka tetap memilih pemimpin-pemimpin yang
buruk ini. Inilah yang dikatakan oleh Abul Hassan, umat yang hilang kesedaran akan
tetap mahu menyerahkan pimpinan kepada orang yang melakukan pengelapan, penipuan,
pengkhianatan, egois dan mementingkan diri. Mereka cepat lupa kepada kerugian dan bencana yang
pernah di alaminya sendiri.
Umat Islam yang berpengetahuan
cetek. Orang bodoh lebih senang diajar. Orang yang pengetahuannya cetek,
tidak mahu mengakui yang dia tidak tahu. Ini yang berlaku kepada para pengundi
secara peribadi.
Saya pernah dengar
seorang tua, kerana cintanya pada Islam, mereka hantar anak mereka untuk
belajar Islam. Anak mereka belajar dan mendapatkan ijazah tinggi sehingga ke universiti
Islam di tanah Arab. Apabila anak mereka mencadangkan mengundi pemimpin yang
mempunyai sifat-sifat Islam, iaitu anak mereka yang dihantar untuk belajar
Islam yang diharap akan mengajar mereka Islam, tetapi mereka tidak boleh terima
saranan anak mereka.
Inilah yang berlaku
apabila tidak ada kesedaran dan digabungkan dengan ilmu pengetahuan yang cetek.
Mereka fikir mereka betul sehingga saranan anak yang belajar Islam tidak diendahkan.
Kerusakan
akhlak di kalangan umat Islam. Hilangnya nilai-nilai
yang digalakkan al Quran. Membangunkan sesuatu bangsa peranan akhlak lebih
besar daripada peranan intelektual. Kata-kata Asy Syauqi: “Setiap bangsa
hanya tetap ada selama masih berbudi pekerti. Apabila budi bangsa sudah lenyap,
selamanya mereka pergi”.
Akhlaq apa yang tinggal
sekiranya mereka memilih calun atau parti yang banyak melakukan rasuah dan
penyalahgunaan kuasa. Manusia normal, tidak akan memilih orang yang mempunyai
akhlaq yang buruk.
Memilih menantu pun
kita akan memilih yang berakhlaq baik. Hanya pencuri yag tidak kisah memilih
pencuri. Inilah gambaran kerosakan akhlaq umat Islam.
Kerosakan
moral di kalangan para pemimpin umat Islam. Pemimpin
ini menganggap rakyat diciptakan bagi mereka, sehingga mereka bisa berbuat apa
sahaja terhadap rakyat. Jika ada yang berani meluruskan, pastilah mereka
bertindak dengan keras, agar menjadi pelajaran bagi yang lain.
Mereka melakukan
rasuah, menyalahguna kuasa. Perkara ini berlaku terang-terangan. Malah mereka
tidak ada rasa bersalah walaupun telah diambil tindakan pendakwaan di mahkamah.
Kerosakan moral mereka menyebabkan mereka sanggup memperjudikan kesihatan
rakyat untuk memenuhi kehendak mereka.
Pemimpin yang ada ilmu
Islam sama rosak akhlaq mereka. Mereka tidak mampu untuk menentang pemimpin
mereka yang rasuah. Mereka mungkin ada alasan masing-masing, tapi adakah itu benar.
Islam telah mengamanatkan kepada para ulama agar mereka meluruskan penyimpangan
para pemimpin.
Memetik apa yang
dikatakan oleh penulis “sayangnya, seiring perjalanan waktu, generasi ulama berikutnya
menjadikan ilmu sebagai ladang penghidupan. Mereka menjadikan agama sebagai
alat pancing dunia. Mereka pun menjilat para pemimpin yang fasik. Atas nama agama,
mereka memperbolehkan penguasa melanggar batasan agama.
Benarlah seperti yang dikatakan oleh Dr Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti dalam bukunya Dosa Tersembunyi Bahaya Terbesar Dalam kehidupan Kaum Muslimin, “perkara paling berbahaya yang merosakkan masyarakat Islam ialah kemunafikkan ramai ilmuwannya, bukan kejahilan sebahagian anggota masyarakat tersebut”.
Sifat
pengecut dan penakut di kalangan umat Islam.
Mereka sudah takut mati, kecuali segelintir sahaja. Penulis membincangkannya
dengan panjang lebar tentang pengecut dan penakut. Saya suka melihat tentang
pengecut dan penakut ini sebagaimana yang di katakan dalam satu hadis.
Hadis yang diriwayatkan
daripada Thawban R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Umat-umat lain akan
mengelilingi kamu (iaitu musuh-musuh Islam akan menyerbu untuk membinasakan
kamu) sepertimana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan yang lazat.” Maka
seseorang bertanya, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah
SAW: “Tidak, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu seperti buih air bah yang
banyak. Dan sesungguhnya Allah mencabut kehebatan kamu yang ada di dalam hati
musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan.
Lalu seseorang bertanya, apakah al-wahan itu, wahai Rasulullah? Jawab
Rasulullah: “Terlalu kasihkan dunia dan takutkan mati.”
Riwayat Abu Daud (4297)
dan Ahmad (4/111)
Cintakan dunia dan
takutkan mati inilah yang menyebabkan timbulnya sifat pengecut dan penakut.
Takutkan hilang dunia yang selama ini dinikmati, maka mereka sanggup membiarkan
negara ini dipimpin oleh orang yang rosak akhlaq.
Hilangnya
kepercayaan diri dalam kalangan umat Islam. Ini adalah
satu penyakit sosial yang paling parah, sekaligus kerusakan rohani yang
terburuk. Apabila penyakit ini ada pada seseorang, ia membinasakannya. Apabila
ada pada sesuatu umat, ia akan mengiringinya kepada keruntuhan. Umat yang hilang kepercayaan diri sangat
berkeyakinan bahawa mereka tidak akan berjaya.
Hilangnya kepercayaan diri
beriringan dengan sifat rendah diri. Umat Islam yang rendah diri akan bersikap selalu
meminta maaf apa sahaja berkenaan Islam. Mereka terima sahaja penghinaan
terhadap Islam yang dibandingkan dengan kehidupan bukan Islam. Mereka tidak
memahami Islam dan tidak cuba untuk memahami agama Islam yang menjadi pegangannya.
Rasa rendah diri berpegang pada Islam walaupun masih berugama Islam. Sedangkan
al Quran sendiri telah menyatakan,
“Dan
janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam),
dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal
kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan)
jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” – Al Imran ayat 139.
Mereka kurang yakin untuk
mempertahankan kebenaran Islam, disebabkan pengetahuan yang cetek dan rasa
rendah diri. Kadang kala mereka sendiri yang menentang Islam.
Semua faktor ini ada
dalam diri pengundi Islam sama ada yang keluar mengundi atau tidak. Pengundi
yang tidak turun mengundi, bagaimana hendak kita simpulkan. Adakah protes
terhadap kepimpinan atau kebodohan yang ada dalam diri mereka. Kebaikan dan
keburukan jelas di hadapan mata, kenapa tidak memilih. Pengetahuan yang cetek dan
kebodohan menyebabkan mereka fikir sedang berada di jalan yang betul. Rosaklah
akhlaq mereka kerana tidak kisah kalau pemimpin yang rosak akhlaq memimpin
mereka.
Adakah umat Islam di
Malaysia amnya sedang menuju kemerosotan. Mungkinkah sikap ini akan menyebab
kepimpinan negara ini akan berpindah kepada bukan Islam.
Sejarah tidak pernah berbohong. Lihatlah sejarah Andalusia. Kemerosotan kepimpinan dan umat menyumbang kepada kejatuhannya. Dr. Raghib As-Sirajani dalam bukunya Bangkit Dan Runtuhnya Andalusia membincangkan faktor-faktor keruntuhan Andalusia.
Kecintaan pada dunia, di
mana tersebarnya gaya hidup mewah dan berlebihan.
Meninggalkan jihad.
Kehidupan penuh dengan maksiat dan merebaknya dosa
meskipun masih banyak ulama.
Munculnya fanatik kesukuan dan merebak kepada
perpecahan umat Islam.
Menyerahkan urusan
kepada orang yang bukan ahlinya, malah menyerah kepada pemimpin yang akhlaq
buruk. Pemimpin ini menjadi pemimpin yang zalim.
Kebodohan terhadap agama di kalangan umat.
Ulama tidak berperanan menegur pemimpin yang
menyeleweng, ada yang mengasingkan diri, tidak mahu terlibat dalam soal
kepimpinan umat.
Akibatnya Andalusia
telah hilang dari peta islam.
Kalau kita perhatikan
faktor-faktornya sama sahaja sepanjang zaman. Umat Islam sepatutnya belajar
dari sejarah. Pertentangan baik dan buruk akan sentiasa berlaku sepanjang zaman.
Jangan kita jadi umat
Islam yang hanya berbangga dengan banyaknya sekolah ugama, pusat tahfiz, busana
muslim dan songkok hitam sebagai simbol Islam. Kemudian kita membiarkan
kepimpinan ini kepada pemimpin-pemimpin yang rosak akhlaqnya.
Menjadi tanggungjawab
setiap muslim untuk memastikan kepimpinan yang kita pilih adalah kepimpinan
Islam supaya kita tidak berkata di akhirat nanti:
“Pada
masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata ( dengan
sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada
Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai tuhan
kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang
besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai tuhan
kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka
dengan laknat yang sebasar-besarnya!” (Surah Al-Ahzab Ayat 66 – 68)