Isteri saya berasal dari Segamat. Apabila balik ke Segamat dari Kajang kami biasanya melalui Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) atau Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS). Sama ada melalui PLUS atau LEKAS, biasanya kami akan berhenti di sebuah medan selera di Kota, Negeri Sembilan.
Lapan puluh peratus gerai-gerai dalam medan
selera itu dibuka, sebahagian lagi saya tidak tahu di buka waktu bila. Kami
biasa sampai di medan selera waktu makan tengahari.
Kami melalui jalan ini sejak zaman kami
berkahwin sehinggalah sudah bercucu. Sebelum ini tidak ada medan selera dan
barisan kedai. Pada masa itu hanya ada gerai kayu yang semua penjajanya menjual
lemang. Setiap hari mereka menjual lemang.
Mungkin atas dasar membangunkan kawasan itu supaya
menjadi lebih tarikan pengunjung, pihak berkuasa tempatan telah membina deretan
kedai di belakang gerai lemang. Apabila baris kedai disiapkan, penjaja lemang
tidak dibenarkan untuk membuka gerai di tempat lama. Mungkin kerajaan berharap
mereka akan menyewa kedai baru. Nampaknya mereka tidak mampu menyewa kedai
kerana lama-kelamaan tidak ada lagi penjual lemang di kawasan itu. Kawasan itu
sudah tidak meriah lagi dan tidak lagi boleh dikaitkan dengan tempat membeli
lemang.
Penjaja lemang masih lagi ada tetapi bukan di kawasan
lamanya. Jika kita teringin hendak membeli lemang, melalui jalan lama dari
Seremban kita akan berjumpa beberapa gerai menjual lemang sebelum sampai ke kawasan
penjaja lama. Kalau melalui PLUS dan keluar dari tol kita boleh melihat beberapa
gerai penjaja lemang dari bulatan selepas tol, menghalakan ke arah Masjid Taboh Naning atau juga dikenali sebagai Masjid Dato' Dol Said.
Kerajaan membina juga medan selera sebaris
dengan barisan kedai. Saya suka singgah di medan selera ini, sama ada untuk
makan tengahari atau hanya membeli lauk pauk untuk dibawa balik ke
Segamat. Mereka menjual lauk pauk
masakan Negeri Sembilan. Masakannya adalah masak lemak kuning berbagai-bagai
lauk pauk dan berbagai-bagai sayur-sayuran. Saya memang suka masak lemak
kuning. Memang sangat sedap masakannya. Saya memang tidak melepaskan peluang
untuk singgah di medan selera ini setiap kali melaluinya.
Apabila singgah di medan selera ini, memang saya
akan mengguna bilik air di sini. Ada sesuatu yang saya perhatikan dalam
perjalanan ke bilik air, di satu sudut saya ada melihat kumpulan botol yang
telah digunakan terletak di situ.
Baru-baru ini pada bulan Disember 2021 saya singgah
untuk mengguna bilik air, saya masih lagi melihat botol-botol tersebut.
Seolah-olah tidak ada sesiapa yang sedar adanya botol-botol yang tidak
digunakan dan bertahun-tahun berada di sudut itu.
Persoalannya bukanlah botol-botol yang tersadai
di sudut itu sudah bertahun-tahun, tetapi mengapa tidak ada peniaga-peniaga yang
berniaga di medan selera itu yang merasakan kawasan botol itu perlu dibuangkan
supaya nampak lebih menyenangkan mata memandangnya.
Bagaimana pula bilik airnya, tidak dinafikan
bersih, tetapi masih tidak mencukupi kerana peralatan dalamnya seperti singki
dan paip air tidak begitu dijaga.
Manakala kawasan makan medan selera saya pernah
melihat pekerja menyapu dan mop lantai.
Apabila singgah di medan selera saya selalu
membandingkan dengan medan selera lain, terutama medan selera di lebuhraya.
Semua pengguna lebuhraya tahu betapa bersihnya medan selera di lebuhraya.
Sentiasa ada pekerja pembersihan samada di bilik air dan kawasan makan.
Kebersihan sesebuah medan selera akan menarik lagi
ramai pelanggan. Bukankah sesuatu perniagaan itu fungsinya untuk menarik lebih
ramai pelanggan supaya perniagaan mereka lebih maju.
Saya tertanya-tanya tidakkah peniaga-peniaga di
medan selera ini, ingin supaya tempat mereka bersih umpama medan selera
lebuhraya. Keselesaan bukan sahaja dirasai oleh pelanggan tetapi peniaga dan
pekerja-pekerjanya juga.
Biasanya medan selera sebegini adalah di bawah bidang
kuasa pihak berkuasa tempatan, tetapi saya tidak pernah melihat ada pekerja yang
datang mencuci secara berkala. Mungkin ada, tetapi semasa saya singgah, saya
tidak melihat mereka.
Bagaimana kalau tiada tindakan dari pihak berkuasa.
Apakah mereka hanya akan berdiam diri dan berserah sahaja, tidakkah mereka
ingin berbuat sesuatu. Mereka sendiri akan dapat manafaat juga.
Kita kalau berharap sangat kepada pihak lain,
dan mereka tidak mengambil apa-apa tindakan, akhirnya kita juga yang rugi.
Adalah lebih baik mereka mengambil tindakan lain sementara menunggu pihak
berkuasa bertindak.
Mereka boleh menubuhkan jawatankuasa untuk
menjaga kebersihan medan selera. Masing-masing gerai boleh memberi sumbangan. Carilah
orang kampung berdekatan yang tidak ada pekerjaan, upah mereka sebagai pekerja
kebersihan, sekurang-kurangnya boleh membantu orang kampung di sekitar.
Pengurusannya boleh mengambil contoh pengurusan
kediaman strata, mereka ada undang-undang untuk mengadakan badan pengurusan
strata, yang bertanggungjawab menguruskan kediaman mereka dari segi kebersihan
dan sebagainya. Sumbangan kewangan wajib diberikan oleh pemilik kediaman strata
berdasarkan keluasan kediaman masing-masing. Badan pengurusan ini dianggotai
oleh pemilik strata dan entiti pengurusan yang dilantik oleh penduduk melalui
badan pengurusan mereka.
Pihak berkuasa boleh membantu dengan menyumbang
amaun tertentu untuk badan pengurusan yang terbentuk atau boleh sahaja
mengurangkan kadar sewa gerai. Pihak berkuasa boleh membuat pemantauan
pengurusan medan selera.
Medan selera banyak juga dikunjungi oleh
pelancung luar negara, kebersihan akan memberi imej yang baik atau tidak baik.
Saya cuba membuka laman sesawang Majlis Daerah,
saya dapati pihak berkuasa tiada perkhidmatan penyelenggaraan harian. Mereka
hanya ada perkhidmatan penyelenggaraan ikut keperluan atau hanya pembaikan
besar-besaran. Maka ini lebih menunjukkan bahawa peniaga di medan selera mestilah
bergerak sendiri supaya pelanggan mereka bertambah.
Tidak teringin ke?
No comments:
Post a Comment