Saya
memang suka membeli buku termasuk buku travelog. Saya tidak berpeluang untuk
pergi mengembara jadi dengan membacanya saya dapat merasai perjalanan
ketempat-tempat yang penulis pergi. Biasanya gaya penulisan penulis ada yang
menarik perhatian ada yang tidak begitu menarik sehingga kita tidak membacanya
atau kalau membaca biasanya hanya separuh jalan sahaja. Banyak buku travelog
yang saya baca tidak begitu memberi kenikmatan membacanya.
Sehinggalah
saya bertemu satu buku travelog. Buku travelog ini ditulis dalam 2 jilid, ketebalannya menyebabkan mungkin ramai yang
rasa tak akan dapat menghabiskan bacaan. Jilid 1 setebal 712 muka surat
manakala jilid 2 setebal 1018 muka surat. Buku travelog ini menjadi menarik kerana
kembara penulis adalah perjalanan ke Mekah melangkaui 14 negara dengan
berbasikal bersama isteri. Menariknya kisah perjalanan kembara penulis menyebabkan
saya merasa rugi tidak kongsikan dengan orang lain.
Walaupun
buku kisah pengembaraan hanya tentang perjalanan suami isteri merentas 14
negara dengan destinasinya Mekah. Buku ini menceritakan manusia sebenar
berhadapan dengan kasih sayang Tuhannya. Bagaimana pertolongan Allah sentiasa
datang ketika mereka memerlukan. Malah semasa mereka tidak tahu bahawa mereka
memerlukan pertolongan Allah maka pertolongan Allah tetap datang.
Cara
penulisannya santai. Penulisnya menulis apa yang berlaku tanpa banyak ulasan.
Penulis pandai memilih cerita yang memberi impak. Saya percaya penulis dan
isteri berhadapan cerita yang menarik setiap
hari.
Ada
cerita yang mengundang air mata, bukan kerana kisah sedih yang berlaku pada
penulis tetapi kisah-kisah kasih sayang
Allah.
Banyak
kisah yang mengkagumkan ini berlaku di India dan Pakistan. Seorang pakcik yang
rumahnya tak ada bilik, sanggup membenarkan penulis dan isterinya tidur di rumahnya,
sedangkan dia tidur diluar dengan isterinya hanya beratapkan langit.
Selepas
solat tarawih berlaku pula perbincangan hangat antara pakcik itu dengaan seseorang
yang juga mengajak penulis dan isteri tidur di rumahnya. Pakcik itu tidak mahu
melepaskan tetamunya. Benar-benar nilai Islam hidup dalam kehidupan mereka, berebut
untuk menerima tetamu, walaupun mereka bukanlah orang senang dan tidak ada
apa-apa kepentingan pun.
Menyentuh
hati bila membaca pertemuan penulis dengan tok siak masjid bernama Shaukat Ali.
Beliau mengajak penulis dan isteri makan di rumahnya. Sebelum itu mereka singgah
di sebuah rumah, mengambil lauk dan membawa kerumahnya. Isterinya menyediakan
nasi dan capati serta lauk kari ayam yang dibawa dari rumah kakak iparnya. Mereka
mempelawa penulis dan isteri makan. Mereka tidak makan bersama dengan penulis
dan isteri, malah mereka menyuruh penulis dan isterinya habiskan makanan
tersebut. Baki makanan barulah dimakan oleh Shaukat Ali, selepas itu anak
lelakinya, akhir sekali baru isterinya. Bayangkan terkejutnya penulis dan
isteri. Mereka menyangka tuan rumah sudah makan kerana mereka menyuruh penulis
dan isteri habiskan semua makanan.
Bagaimana
terkejutnya penulis apabila seorang pak cik berbangsa Pakistan boleh bertanya dengan
selambanya, berapa duit penulis perlukan. Memang terkejutlah. Akhirnya dia
tolong bayarkan sewa hotel untuk mereka dan esoknya memberi mereka sampul yang
berisi duit.
Sikap
menghormati tetamu dapat kita baca kisahnya dalam sirah para sahabat. Kita
mungkin merasakan bahawa kita tidak dapat berjumpa peribadi seperti para sahabat
pada masa sekarang. Pengembaraan penulis dan isteri menunjukkan bahawa peribadi
sebagaimana para sahabat Rasulullah saw sememangnya wujud pada zaman ini. Kita
tidak nampak mereka ini hebat tetapi hakikatnya dalam hati mereka penuh iman. Terasa
benar betapa rendahnya jiwa kita, yang merasa serba cukup kononnya.
Lebih
menarik lagi adalah peristiwa isteri penulis diserang penyakit AMS semasa berkayuh
ke tanah tinggi. Ketika sakit mereka dipertemukan dengan seorang doktor di tempat
yang tidak ada orang. Kebanyakan pengunjung tanah tinggi itu telah pun turun ke
bawah dan juga kerana kawasan itu kurang pengunjung kerana sudah sampai musim
sejuk.
Doktor
tersebut adalah seorang tentera yang sengaja berjalan untuk mengambil angin
bersama seorang tentera lain. Mereka adalah tentera yang bertugas menjaga kem
yang jaraknya 3 km dari tempat tersebut. Isteri penulis dirawat dikem tersebut.
Apabila
isteri penulis tidak sembuh, mereka turun kekaki bukit tempat hotel mereka menginap
sebelum ini. Mereka berjumpa dengan 7 doktor pakar yang sedang makan tengahari
di hotel tempat mereka tinggal. Hospital mereka
jaraknya ke hotel itu 10 km. Mereka membantu membawa isteri penulis ke
hospital.
Buku
ini membantu kita memahami bahawa Allah sentiasa mendengar doa kita. Mungkin bagi
setengah orang ini hanya kebetulan sahaja. Siapa yang menjadikan kebetulan ini,
bukankah Allah Yang Maha Kuasa.
Ada
yang menarik untuk diketahui keadaan dalam negara Afghanistan dan Iran. Selama
ini kita hanya mengetahui dengan membaca apa yang tertulis dalam media massa. Kita
dapat menyelami sendiri keadaan dalam negara tersebut dari rakyat mereka melalui
pengalaman penulis dengan rakyat kedua negara. Penulis hanya menulis apa yang
dialami tanpa memberi komen peribadi.
Sekiranya
kita mahu mengetahui perkara yang jujur, bacalah buku Ustazah Basikal Jilid 1
dan 2.
No comments:
Post a Comment