Tadika di Pantai Remis |
Mengenangkan kembali
zaman kecil, sejauh yang saya boleh ingat, adalah zaman saya masuk belajar ke tadika
pada hari pertama. Tahun 1966, saya berumur 6 tahun. Saya hanya ingat pada hari
pertama saya ke tadika di hantar oleh kakak sulung saya. Kakak saya diberi tugas untuk menghantar saya
ke tadika pada hari pertama.
Tadika tersebut
tidaklah jauh dari rumah sewa keluarga kami. Apak (ayah) saya seorang konstabel
polis, tapi tinggal di rumah sewa sahaja. Saya tidak pernah tahu dan tidak
pulak pernah bertanya kepada Apak atau Mak saya, kenapa tidak tinggal diberek
polis. Pantai Remis di mana kami menetap adalah sebuah pekan kecil. Kakak saya
menghantar saya dengan berjalan kaki sahaja.
Setelah melalui
proses pendaftaran, kami pelajar-pelajar baru tadika dibawa ke kelas
masing-masing. Pada masa itu kakak saya masih ada mengikut saya bersama penjaga
lain. Kelas kami nampaknya hanya mempunyai satu pintu seingat saya. Dindingnya
separuh batu, separuh lagi jaring besi. Tujuan jaring ini adalah sebagai
tingkap dan pusingan angin masuk untuk menyejuk kelas. Selepas kami ditempatkan
di meja masing-masing, penjaga diminta keluar kerana tidak boleh berada dalam
kelas. Penjaga hanya boleh mengintai melalui jaring besi yang cukup rendah
untuk orang dewasa memerhati ke dalam kelas. Saya dapat melihat muka kakak saya
melalaui jaring besi.
Semua murid kemudian memandang
kehadapan kelas kerana cikgu sedang bercakap.
Saya memandang ke tingkap
di mana kakak saya berada, saya tidak melihat kakak saya di situ. Apa lagi,
saya pun meraung sambil berlari keluar. Cikgu pun terus mengejar saya,
menangkap dan menutup pintu kelas. Saya di hantar ke kerusi saya. Cikgu
berjalan ke depan kelas, saya dengan segera berlari ke pintu dan cuba menarik
selak pintu, sambil meraung-raung. Cikgu memujuk saya dan membawa saya ke
kerusi saya. Memang cikgu mempunyai kemahiran untuk berhadapan dengan pelajar mempunyai
kerenah serupa saya, akhirnya diamlah saya.
Hampir tengahari kakak saya menunggu saya untuk pulang. Kami
berjalan kaki balik rumah. Hari-hari berikut saya pergi ke tadika seperti
biasa, kadangkala dihantar oleh kakak saya dengan berjalan kaki dan diambil
oleh abang saya dengan berbasikal. Kenangan belajar di tadika tidak banyak yang
saya ingati. Apa yang saya tahu kami banyak belajar menggunakan bahasa
Inggeris. Kelebihannya apabila saya memasuki darjah satu, semasa kelas bahasa
Inggeris saya akan termasuk golongan yang pandai berbahasa Inggeris.
Saya pernah bertanya
kepada emak saya, kenapa saya seorang sahaja yang dihantar belajar ke tadika
daripada seramai 9 orang adik beradik saya. Emak saya berkata “Kamu menung
sahaja apabila yang lain pergi sekolah, kasihan tengok kamu. Apak kamu masukkan
kamu ke tadika.”
No comments:
Post a Comment