Gulai tempoyak adalah
makanan kegemaran saya, tidak kiralah dimasak dengan jenis ikan apa, tetapi
yang paling sedap adalah gulaitempoyak ikan keli. Gulai ini sungguh sedap
sehingga saya sentiasa hendak mengulanginya dan tidak pernah rasa jemu
memakannya. Ada masanya kuah gulai tempoyak saya hirup begitu saja. Pantang bagi
saya bertemu dengan gulai tempoyak, memang tidak akan melepaskan peluang memakannya.
Sekarang ini bila
kita memperkatakan tentang gulai tempoyak, maka kita akan teringat Temerloh
yang terkenal dengan gulai tempoyak ikan patin. Saya mengenali gulai tempoyak
ini sejak saya kecil. Saya di lahirkan dan dibesarkan di Perak dalam daerah
Parit dan Kuala Kangsar. Rumah saya apabila musim durian memang selalu ada menyimpan
tempoyak yang digunakan untuk membuat gulai tempoyak. Apak saya suka makan
gulai tempoyak. Mungkin ada yang tidak biasa atau tidak tahu, gulai tempoyak
ini dinamakan gulai tempoyak kerana masakannya selalu dicampurkan dengan tempoyak
yang terhasil dari isi durian yang diperam. Lagi masam lagi sedap. Tambahan
pula apabila digabungkan dengan pelbagai bahan lagi, maka menambahkan lagi keenakannya.
Campuran semua bahan istimewa ini membuat makanan ini
semakin sedap. Itulah harapan saya, tulisan saya yang akan dipelbagaikan
seperti kisah dulu-dulu dan kisah kehidupan sehari-hari dapat saya sampaikan
dengan cara yang akan membuat para pembaca enak membacanya sebagaimana enaknya
menikmati gulai tempoyak.
Bagaimana pula
pembaca yang tidak makan gulai tempoyak dan tidak minat pun dan tidak selera
pun. Cuba bayangkan makanan kegemaran masing-masing, seperti masak pedas.
Itulah bayangannya.
Kenapa saya namakan
blog saya “gulaitempoyak”? Selain dari nama yang menarik perhatian, ia mudah
diingati oleh saya dan juga peminat blog. Memudahkan pencariannya.
Saya akan berusaha
menghasilkan tulisan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh pembaca. Harapan saya pembaca sentiasa merasa nikmat membaca tulisan saya. Sentiasa ketagih menantinya.
Saya ucapkan selamat berkenalan
dan menikmati apa yang akan dihidangkan oleh blog, sebagaimana menikmati
makanan kegemaran kita.
No comments:
Post a Comment