Quran
adalah sumber rujukan bagi orang Islam. Quran adalah wahyu yang diturunkan oleh
Alllah swt kepada Rasulullah saw melalui malaikat Jibril. Itu sebab buku ini
tidak ada nama penulis kerana ia benar-benar daripada Allah swt kepada Nabi
Muhammad saw. Kita tidak akan dapati nama penulis al Quran. Kalau membaca
sejarah Islam, hanya ada nama-nama pengumpul al Quran. Quran diturunkan dalam
bahasa Arab.
Membacanya
dengan kaedah yang betul mendapat pahala. Maka kita perlu mempelajarinya supaya
mampu membaca dengan betul. Walau pun Quran diturun dalam bahasa Arab, orang
Arab juga perlu belajar membacanya dengan kaedah yang betul kerana ia berbeza
dengan bahasa Arab sehari-hari. Membacanya dengan betul walaupun tidak memahami
maknanya masih mendapat pahala. Pahala diberi kepada setiap huruf. Orang Islam
mestilah belajar membaca Quran dengan betul supaya tidak dilaknat oleh Quran.
Orang
Islam telah dikenalkan dengan al Quran mula mengenal huruf. Saya mula belajar
membaca Quran sejak berumur 8 tahun iaitu semasa saya dalam darjah 2 sekolah
rendah. Saya belajar dengan 2 orang guru Quran. Mereka adalah pasangan suami
isteri. Mereka ini tinggal di rumah pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR). Suami
bekerja sebagai buruh JKR. Kebanyakan dari masa belajar, kami diajar oleh isteri.
Suaminya kadang-kadang sahaja mengajar. Semua takut belajar dengan suaminya
kerana suaranya kuat. Nampak macam garang, walaupun sebenarnya tidak.
Ramai
yang datang belajar dengan pasangan suami isteri ini. Kadang-kadang rumahnya
penuh sehingga ada pelajar yang terpaksa menunggu di luar rumah. Apabila
seorang pelajar selesai mengaji, akan ada ruang kosong untuk pelajar yang
menunggu di luar masuk.
Kami
selalu berebut untuk menjadi orang pertama sampai supaya mendapat tempat duduk
pertama. Orang pertama yang akan belajar mengaji dengan guru, akan menjadi
orang pertama boleh balik awal. Pelajar pertama sampai akan terus mengambil
tempat di hadapan guru mengaji. Walaupun pertama sampai, biasanya pelajar perlu
menunggu sehingga guru habis melakukan tugasan rumahnya. Pelajar kedua dan
seterusnya akan duduk tempat berikutnya. Selalunya kami dari berek polis akan kalah dengan pelajar dari balai bomba
dan yang tinggal di rumah JKR.
Saya
mula belajar ketika berumur 8 tahun kerana kami mengikut ayah kami berpindah
dari Balai Polis Pantai Remis ke Balai Polis Kuala Kangsar. Saya belajar dengan
guru ini dari Muqaddam sehingga boleh membaca al Quran. Selalunya kami akan
berusaha untuk dapat membaca Quran dengan segera. Terutama apabila pelajar
perempuan telah dapat membaca al Quran lebih awal daripada kami pelajar lelaki.
Menjadi motivasi kepada kami untuk berusaha agar dapat membaca Quran.
Perjalanan
ke kelas mengaji memerlukan saya berjalan menyusur jalan besar Kuala Kangsar -
Taiping. Ibu bapa tidak risau kami berjalan berseorangan kerana zaman 60an mana
ada banyak kereta di atas jalan raya. Kami perlu melalui Berek Bomba untuk ke rumah
JKR. Berek polis terletak bersebelahan Berek Bomba, rumah JKR terletak
bersebelahan Berek Bomba.
Masa
di sekolah rendah, saya pergi belajar mengaji di waktu petang kerana sekolah
rendah saya hanya ada sesi pagi sahaja. Semasa di sekolah menengah sewaktu
tingkatan 1 saya belajar mengaji waktu pagi. Masa tingkatan 2 dan 3 saya
belajar mengaji di waktu petang kerana kelas sekolah menengah saya sesi pagi.
Semasa
tingkatan 3 saya sudah boleh membaca Quran, lebih dari separuh Quran saya
belajar dengan guru. Tahun 1975, tahun saya menghadapi peperiksaan Sijil Rendah
Pelajaran (SRP). Saya belum habis membaca Quran seluruhnya dengan guru. Saya
meminta kebenaran dengan mak saya untuk berhenti mengaji Quran dan menumpukan
perhatian kepada peperiksaan SRP. Mak saya membenarkan, mungkin sebab saya
sudah boleh membaca Quran. Saya tidak ingat sama ada saya ada memberitahu guru mengaji
yang saya hendak berhenti mengaji Quran. Rasanya saya terus tidak datang
mengaji apabila mendapat kebenaran dari mak saya.
Selepas
itu, saya lama tidak membaca Quran. Semasa belajar Matrikulasi UKM di Sekolah
Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah tahun 1978, saya ada membawa Quran
terjemahan. Seorang kawan bertanya, bila melihat Quran tersebut dalam almari
saya,”selalu baca ke?” Saya jawap, “kalau ada masa.” Terkedu beliau mendengar
jawapan saya.
No comments:
Post a Comment