Sunday, January 9, 2022

Berapa Ramai Guru al Quran Kita Siri 2

Selepas tamat belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya mendapat pekerjaan di Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN). Saya tinggal bersama dengan rakan-rakan sepejabat di sebuah rumah sewa belakang masjid Segambut. Rakan-rakan saya memang suka mengaji. Rahman suka menghadiri kuliah dan beliau juga menguruskan kuliah agama di pejabat. Bahar suka belajar mengaji Quran, beliau sanggup pergi belajar mengaji Quran walaupun jauh dan lewat malam. Beliau belajar sehingga boleh mengajar. Bahar sentiasa menekankan perlunya kita membaca Quran dengan betul  supaya tidak dilaknat oleh Quran.

Akhirnya mereka mendapat seorang ustaz untuk mengajar kami membaca Quran di rumah kami. Kami mengumpul rakan-rakan yang berminat belajar membaca Quran. Ustaz Nur Amin, berasal dari Indonesia. Beliau mengajar waktu malam kerana waktu siang kami semua bekerja.

Kami belajar membaca Quran secara individu dan mempelajari tajwid dari asas. Pertama kali saya belajar membaca Quran dengan tajwid. Pelajaran Quran saya sebelum ini hanya  menekankan kepada membaca dengan betul berdasarkan teguran dari guru mengaji. Saya tidak mengetahui sebelum ini apa yang dinamakan tajwid. Saya belajar dengan ustaz Amin dari penghujung tahun 1983 sehingga saya bertukar ke cawangan JHDN Ipoh pada awal tahun 1985.

Saya masih berpeluang belajar membaca Quran di Ipoh. Cawangan Ipoh ini kebetulan salah seorang senior adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Izzuddin, sebuah sekolah agama yang terkenal di negeri Perak. Beliau juga adalah Yang di Pertua Persatuan Kebajikan Islam JHDN Ipoh. Beliau sanggup mengendalikan kelas membaca Quran untuk staf. Kebanyakan yang hadir hanyalah pegawai baru termasuk saya. Maka bergurulah pula saya dengan rakan sekerja senior Tuan Haji Yaakob.

Semasa di Ipoh saya ada menghadiri usrah mingguan pada waktu malam. Salah seorang rakan usrah, berasal dari Terengganu dan beliau fasih membaca Quran. Beliau menegur tentang bacaan Quran kami dan bersedia untuk mengajar kami membaca Quran dengan cara yang betul. Setiap minggu waktu malam kami akan ke rumahnya untuk belajar membaca Quran. Saya menghadiri kedua-dua kelas ini sehingga penghujung tahun 1986. Disember 1986 saya telah ditukarkan pula ke JHDN cawangan Teluk Intan. Sayangnya saya sudah tidak ingat nama guru Quran yang terakhir. Seingat saya namanya Ismail.

Walaupun sudah berpindah ke Teluk Intan, hati sentiasa rasa rindu untuk membaca Quran di depan guru. Saya dan rakan-rakan berusaha juga mencari guru mengaji Quran. Akhirnya kami bertemu dengan Tok Siak Masjid Jamek bandar Teluk Intan yang sudi mengajar kami membaca Quran. Kami belajar membaca Quran di rumahnya waktu malam seminggu sekali. Kelas ini berterusan saya hadir sehinggalah saya berpindah ke Bangi, Selangor kerana menyambung pelajaran di UKM Bangi pada tahun 1995. Setiap kali selesai mengaji kami dijamu makan. Ada masanya kami bawa makanan. Sayangnya saya sudah tidak ingat nama guru Quran ini. 

No comments:

Post a Comment