Taj Mahal adalah bangunan yang menjadi idaman semua orang terutama orang Islam untuk menjejakkan kaki ke sana. Pada tahun 2012, saya berpeluang mengikuti rombongan lawatan kerja Pengarah saya ke India.
Lawatan ini memberi
saya peluang untuk menjejakkan kaki ke Taj Mahal. Saya hairan melihat reaksi
pegawai-pegawai India apabila diberitahu kami hendak melawat Taj Mahal. Mereka
tidak bereaksi, seolah-olah ianya bukan kebanggaan mereka apabila kita
melawatnya. Sedangkan Taj Mahal adalah tersenarai dalam bangunan Tapak Warisan Dunia
UNESCO yang mesti dipelihara.
Akhirnya saya
benar-benar berpeluang menjejakkan kaki ke Taj Mahal. Taj Mahal ini sebenarnya adalah
sebuah kompleks bangunan dengan keluasan 17 hektar, yang terdiri dari beberapa
bangunan, iaitu masjid, makam, dan rumah tamu. Bangunan utama berada di tengah
kompleks dan berwarna putih yang diapit empat menara, ini adalah bangunan
makam. Ia adalah makam Mumtaz Mahal isteri kesayangan Shah Jehan. Kiri dan
kanan bangunan makam adalah masjid dan rumah tamu yang berwarna merah. Saya
berkesempatan solat dalam masjid ini. Solat jumaat di fahamkan ada juga
didirikan dalam masjid ini, tetapi hanya warga tempatan sahaja yang dibenarkan
solat. Pintu masuk ke kompleks juga merupakan bangunan berwarna merah. Kesemua
bangunan selain makam adalah diperbuat dari batu merah. Kita perlu berjalan
melalui taman yang besar untuk ke bangunan makam dari pintu masuk.
Kami dikehendaki
memakai sarung kaki plastik disebelah luar kasut kami sebelum memasuki bangunan
putih. Ini adalah untuk memelihara bangunan Taj Mahal daripada unsur-unsur yang
dapat merosakkannya dalam jangka masa panjang.
Lawatan kami diiringi
pemandu pelancong yang menerangkan kepada kami keistimewaan bangunan Taj Mahal
dengan seni binanya. Binaannya yang simetri mengagumkan kerana ia dibina dalam
zaman yang di anggap primitif dibandingkan dengan zaman kini. Pembinaan
sebegini memerlukan teknologi yang hanya ada di zaman kini.
Kerja tangan mozeknya
juga mengagumkan. Kami juga dibawa untuk melihat bagaimana ukiran pada mozek
dibuat. Tukang mahir ini sebenarnya adalah keturunan tukang mahir yang membuat ukiran
mozek Taj Mahal pada zaman itu.
Kehebatan bangunan
Taj Mahal dari segi binaannya boleh kita dapatkan maklumatnya di https://whc.unesco.org/en/list/252/.
Saya sememangnya
mengagumi senibina Taj Mahal keseluruhannya. Saya amat berbangga kerana ia
senibina dari dunia Islam. Ada sesuatu yang menyebabkan saya tidak berapa
kagum, bangunan itu hanya sebuah makam. Malah bangunan makam lebih cantik dari
masjid. Menyusuri sejarah rupa-rupanya Raja-Raja Islam keturunan Moghul di
India memang suka membina bangunan yang menjadi makam mereka.
Betapa mahalnya untuk hanya membina sebuah maqam.
No comments:
Post a Comment