Tahun
1968 adalah tahun pertama saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II,
Kuala Kangsar, Perak. Sebelum ini saya bersekolah di sebuah sekolah rendah di
Pantai Remis. Mungkin ada yang tidak tahu di mana Pantai Remis. Pekan ini
terletak di antara pekan Beruas dan pekan Ayer Tawar di Perak.
Depan sekolah |
Sekolah
saya ini adalah sebuah bangunan 2 tingkat. Bangunan ini ada banyak pintu tanpa
tingkap. Setiap kelas ada 3 pintu di setiap sisi, jumlah pintunya ada 6. Bila
waktu berangin atau hujan kami akan merasa sangat sejuk.
Meja
murid disusun dalam bentuk U, kawasan tengahnya disusun meja menghadap ke papan
hitam. Bentuk U mudah disusun kerana murid-murid yang duduk meja berkenaan
senang masuk ke meja mereka kerana ia membelakangkan pintu. Masuk melalui pintu
yang banyak itu. Susunan itu dibuat mungkin supaya kelas kami boleh memuatkan
lebih ramai murid.
Saya
masuk ke sekolah ini mulai darjah 2 tahun 1968. Saya ingat lagi yang saya
ditempatkan di meja yang membelakangkan pintu.
Hari itu
menjadi hari yang saya sangat ingati sehingga sekarang. Pagi itu guru perempuan
yang masuk kelas kami. Guru ini rasanya sudah berumur mungkin 50an. Seorang
guru yang baik. Sifat keibu-ibuan. Dia umpama emak kami. Nama guru ini kalau
saya tidak lupa adalah cikgu Aishah.
Kelas tanpa tingkap |
Hari
itu cikgu masuk ke kelas kami. Kami cukup gembira. Maklumlah cikgu baik.
Semasa
itu cikgu sedang mengagihkan buku-buku Latihan. Sambil itu kami pelajar lelaki
yang nakal dan tidak boleh duduk diam, bermain kejar-kejar dan bertolakan. Berlarianlah
kami dalam kelas.
“Hei
jangan berlari, duduk” tegur cikgu.
Kami
ini jenis degil, cikgu pun tak boleh kawal kami.
Sambil
berlarian kami bertolakan sesama sendiri. Biasalah, terlanggar meja, terlanggar
kawan-kawan. Pada masa itu saya berlari di depan papan hitam. Seorang kawan
menolak saya, lalu saya terlanggar papan hitam.
Duummm....
Semua
orang terkejut, agaknya satu sekolah boleh dengar. Papan hitam jatuh dan
tersandar ke dinding, tidaklah tumbang ke lantai.
Biasalah
budak-budak nakal, masing-masing menyalahkan kawan-kawan.
“Kau
tolak aku pasal apa?”
“Mana
ada, aku tidak tolak, kau yang langgar papan hitam itu.”
“Haahaa
... kena marah,”ada yang menambah, menghangatkan suasana.
Baru kami
tahu hendak duduk diam dan balik kemeja masing-masing. Masing-masing menunggu
untuk kena marah, terutama saya, kerana saya yang langgar papan hitam sehingga
jatuh. Akibat ditolak oleh seorang kawan.
Seingat
saya cikgu Aishah tidak memarahi kami dan tidak juga tidak ada sesiapa yang
datang memarahi kami. Saya masih ingat samar-samar, seorang guru lelaki datang
ke meja saya melalui pintu di belakang meja saya.
“Dekat
mana cedera?” tanyanya sambil memegang bahu saya dengan lembut. Tidak ada bunyi
marah dalam suaranya.
“Ini”
kata saya sambil menunjukkan ibu jari saya. Sebenarnya tidak ada apa-apa kecederaan,
tapi lebih disebabkan takut dan rasa bersalah.
Beliau
memegang jari saya dan tidak berkata apa-apa.
Sehingga
akhir kelas hari itu tiada sesiapa yang kena marah. Saya rasa mungkin sebab
kami berumur 8 tahun, jadi tidak berguna untuk menunjukkan kemarahan pada kami.