Tuesday, February 8, 2022

AMANAH DALAM PEKERJAAN

Ada sebuah kisah, di katakan kisah ini adalah kisah bapa Abdullah bin Mubarak, banyak diceritakan dalam buku-buku motivasi tetapi tidak menyatakan siapakah manusia ini. Abdullah bin Mubarak adalah seorang ulama yang amat terkenal.

Pakar-pakar motivasi ramai menggunakan kisah ini dalam program-program motivasi mereka. Mungkin sebab mereka hanya hendak mengambil pengajaran dari kisah ini maka mereka tidak mengambil tahu benarkah kisah ini. Mereka tidak mengambil tahu siapakah manusia yang hebat ini, benarkah manusia seperti ini boleh wujud.

Saya ceritakan kisah ini mengikut versi saya. Saya pun ingin memetik pengajarannya. Kisah ini adalah tentang seorang penjaga kebun buah delima milik seorang kaya. Namanya Mubarak. Suatu hari orang kaya tersebut datang ke kebun untuk merasa buah delima di kebunnya.

“Mubarak, tolong petik buah yang manis, saya hendak memakannya.”

“Baik tuan,” sahut Mubarak dan berjalan menuju ke satu pohon.

Beliau memetik beberapa biji buah delima, membelah sebiji dan meletakkan dalam sebiji pinggan. Beliau meletak pinggan itu di hadapan tuannya.

Tuannya mengambil beberapa biji isi delima, meletak dalam tapak tangan dan memakannya. Mukanya berkerut.

“Mubarak, masam ......... pergi ambil yang lain,” perintah tuannya.

Dengan setia Mubarak pun pergi ke pokok yang lain dan memetik buahnya. Beliau membelah sebiji buah delima dan meletaknya dalam pinggan yang kemudiannya meletakkan di hadapan tuannya.

Tuannya mengambil beberapa biji isi delima dan memakannya. Mukanya sekali lagi berkerut.

Tuannya membentak,”Mubarak, tak faham ke, saya suruh petik buah yang manis, kenapa diberi yang masam. Pergi ambil lagi, kali ini saya mahu yang manis.”

Mubarak pun bergerak menuju kepada pokok yang lain pula. Memetik buah yang masak. Menyediakannya dan menyerahkan kepada tuannya.

Tuannya mengambil beberapa biji isi buah delima dan memakannya.

Tuannya berdiri dan sambil menuding jarinya ke arah Mubarak, “Saya melantik awak sebagai pekerja untuk menjaga kebun ini, betul?”

“Betul tuan.”

“Kenapa awak tidak memberi saya buah yang manis, tiga kali awak memetik, semuanya rasa masam, sia-sia sahaja saya memberi awak pekerjaan ini.”

Mubarak diam, sambil menundukkan kepalanya.

“Kenapa diam, jawap!”

Sambil mengangkat kepalanya, “tuan, maafkan saya. Boleh saya bertanya?”

“Ya, boleh,” jawap tuannya. Nampaknya marah tuannya sudah berkurang.

“Tuan masih ingat lagikah kata-kata tuan kepada saya apabila melantik saya menjadi penjaga kebun tuan?”

“Ya, saya beri tugas untuk menjaga kebun saya supaya pokok-pokok ini terus dapat menghasilkan buahnya”

“Tuan hanya mengamanahkan saya untuk menjaga pokok-pokok di kebun tuan, tetapi tuan tidak memberi kebenaran untuk saya memakan buah-buahan yang ada di dalam kebun tuan.”

“Apa! ...... kamu tidak pernah memakan buah-buah yang ada dalam kebun ini?”

“Tidak tuan, ....... saya takut makan makanan yang haram bagi saya.”

Tuannya terus memeluknya, “sesungguhnya kamulah pekerja yang benar-benar amanah, saya tidak pernah sangka saya akan berjumpa pekerja seperti kamu. Kebanyakan pekerja saya sebelum ini semuanya biasa memakan buah-buahan dalam kebun saya. Sebenarnya saya tidaklah kisah sekiranya sedikit sahaja yang dimakan.”

Kisah ini nampaknya macam terlalu ideal. Mana mungkin ada pekerja sebegini. Ini manusia beramanah luarbiasa. Saya pun fikir, mungkinkah ada manusia sehebat ini amanahnya.

Ini pula sebuah kisah benar, berlaku masa kini yang saya baca dalam sebuah buku bertajuk Ustazah Basikal. Kisah pengembaran suami isteri berbasikal dari Kuala Lumpur ke Arab saudi. Semasa mereka di India mereka berjumpa dengan Tok Siak masjid namanya Shaukat Ali. Beliau telah membawa mereka ke rumahnya untuk makan malam. Lauk kari diambil dari rumah kakaknya, makanan lain disediakan oleh isterinya.

Sambil memerhatikan mereka makan, Shaukat Ali menyuruh mereka memakan habis makanan tersebut. Mereka berdua memang lapar dan memikirkan tuan rumah mungkin sudah makan, maka mereka makan sampai kenyang. Semasa mereka berhenti makan, tinggal sedikit lagi lauk kari.

Isteri Shaukat mengambil lauk kari lebihan itu dan menyediakan pinggan yang berisi capati. Isterinya meletakkan pinggan itu di hadapan suaminya. Shaukat Ali memakan baki lauk kari bersama capati. Selepas Shaukat selesai makan, isteri beliau memanggil anak-anaknya untuk makan. Akhir sekali barulah isteri beliau makan baki makanan. Rupa-rupanya mereka sekeluarga belum. Mereka mendahulukan tetamu.

Ini adalah kisah benar yang berlaku pada abad ini. Kisah ini pernah berlaku dahulu di kalangan sahabat Rasulullah saw sehingga diabadikan di dalam Quran.

Saya petik langsung hadisnya yang menjadi asbabun nuzul ayat Quran berkenaan.

“Ya’qub bin Ibrahim bin Katsir ................... bahwa Abu Hurairah berkata, “Seseorang datang kepada rasulullah saw lalu berkata, “Whai Rasulullah, aku mengalami kesulitan.” Beliau lalu mengutus seseorang kepada para istri beliau (untuk meminta makanan mereka), namun ternyata para istri beliau tidak memiliki apa-apa. Maka Rasulullah saw bersabda, “Siapa yang mahu menjamunya malam ini, (aku doakan) semoga Allah merahmatinya.” kemudian berdirilah seorang laki-laki Anshar, dia berkata, “Aku, wahai Rasulullah.” Laki-laki itu pun pergi menemui keluarganya, dia berkata kepada istrinya, “Ini adalah tamu Rasulullah saw, jangan engkau simpan makanan sedikit pun (hidangkan semua untuknya).” Sang istri pun berkata, “Demi Allah, aku tidak punya apa-apa, yang ada cuma makanan untuk anak-anak kita.” Laki-laki itu berkata, “ Jika anak-anak meminta makan malam, maka tidurkanlah mereka. Lalu kemarilah dan matikanlah lampu. Malam ini kita biarkan perut-perut kita lapar.” Lalu sang istri pun melakukannya. Keesokan harinya, laki-laki itu menemui Rasulullah saw, beliau pun berkata, “Sungguh, Allah merasa kagum atau tertawa dengan apa yang diperbuat si fulan dan si fulanah.” Lalu Allah swt menurunkan ayat, “Mereka mengutamakan (Muhajirin) daripada dirinya sendiri, meskipun mereka juga memerlukan.”

Kisah ini menjadi asbabun nuzul surah al-Hasyr ayat 9. Sahabat yang diceritakan adalah Abu Thalhah al-Anshari dan istrinya Ummu Sulaim.

Ini adalah kisah daripada dua zaman dan tempat yang berlainan. Sikap Shaukat Ali adalah sama dengan sikap Abu Thalhah. Mengutamakan orang lain. Manusia-manusia seperti ini boleh dididik sebenarnya. Islam mendidik mereka menjadi berintegriti.

Kembali kepada kisah Mubarak, pekerja seperti ini boleh dididik sebenarnya. Adalah tidak mustahil untuk kita memiliki pekerja sebegini. Kebanyakan kisah-kisah ini adalah dari dunia Islam. Islam berperanan membentuk jati diri insan.

Kenapa pada masa kini tidak kita temui pekerja yang amanah sehingga tahap ini. Sedangkan kursus-kursus yang dijalankan oleh organisasi adalah untuk membentuk sikap pekerja yang amanah dalam pekerjaan. Berapa ramai yang dapat dibentuk melalui program-program ini. Adakah program ini dapat melahirkan pekerja seperti kisah di atas.

Manusia seperti ini hanya lahir dalam dunia Islam. Islam membentuk jati diri mereka. Menghairankan apabila ramai tidak percaya Islam dapat membentuk pekerja yang berintegriti. Mereka-mereka ini orang yang mengaku berugama Islam. Mereka berpegang, Islam tidak ada kena mengena dengan soal dunia.

Walaupun kita menyusun program membentuk pekerja berintegriti menggunakan acuan Islam, mereka masih beranggapan apabila berkait dengan Islam ia hanyalah ugama. Walaupun ceramah ugama yang kita susun berkaitan dengan pembentukkan pekerja berintegriti, mereka masih melihatnya sebagai perkara ugama yang tidak ada kena mengena dengan pekerjaan.

Mereka tidak menyokong sangat program ugama dalam pengurusan sumber manusia, kerana mereka tetap melihat ia sebagai program ugama. Sampai sekarang organisasi sibuk bercakap soal integriti tapi tidak pernah berjaya membentuk pekerja berintegriti. 

Sunday, January 23, 2022

TUMBANGNYA SEBUAH PAPAN HITAM

Tahun 1968 adalah tahun pertama saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II, Kuala Kangsar, Perak. Sebelum ini saya bersekolah di sebuah sekolah rendah di Pantai Remis. Mungkin ada yang tidak tahu di mana Pantai Remis. Pekan ini terletak di antara pekan Beruas dan pekan Ayer Tawar di Perak.

Depan sekolah
Apak (ayah) saya bekerja sebagai anggota Polis yang bekerja di Balai Polis Pantai Remis, tahun 1968 Apak saya ditukarkan ke Balai Polis Kuala Kangsar. Saya pun ikut bertukar sekolah.

Sekolah saya ini adalah sebuah bangunan 2 tingkat. Bangunan ini ada banyak pintu tanpa tingkap. Setiap kelas ada 3 pintu di setiap sisi, jumlah pintunya ada 6. Bila waktu berangin atau hujan kami akan merasa sangat sejuk.

Meja murid disusun dalam bentuk U, kawasan tengahnya disusun meja menghadap ke papan hitam. Bentuk U mudah disusun kerana murid-murid yang duduk meja berkenaan senang masuk ke meja mereka kerana ia membelakangkan pintu. Masuk melalui pintu yang banyak itu. Susunan itu dibuat mungkin supaya kelas kami boleh memuatkan lebih ramai murid.

Saya masuk ke sekolah ini mulai darjah 2 tahun 1968. Saya ingat lagi yang saya ditempatkan di meja yang membelakangkan pintu.

Hari itu menjadi hari yang saya sangat ingati sehingga sekarang. Pagi itu guru perempuan yang masuk kelas kami. Guru ini rasanya sudah berumur mungkin 50an. Seorang guru yang baik. Sifat keibu-ibuan. Dia umpama emak kami. Nama guru ini kalau saya tidak lupa adalah cikgu Aishah.

Kelas tanpa tingkap

Hari itu cikgu masuk ke kelas kami. Kami cukup gembira. Maklumlah cikgu baik.

Semasa itu cikgu sedang mengagihkan buku-buku Latihan. Sambil itu kami pelajar lelaki yang nakal dan tidak boleh duduk diam, bermain kejar-kejar dan bertolakan. Berlarianlah kami dalam kelas.

“Hei jangan berlari, duduk” tegur cikgu.

Kami ini jenis degil, cikgu pun tak boleh kawal kami.  

Sambil berlarian kami bertolakan sesama sendiri. Biasalah, terlanggar meja, terlanggar kawan-kawan. Pada masa itu saya berlari di depan papan hitam. Seorang kawan menolak saya, lalu saya terlanggar papan hitam.

Duummm....

Semua orang terkejut, agaknya satu sekolah boleh dengar. Papan hitam jatuh dan tersandar ke dinding, tidaklah tumbang ke lantai.

Biasalah budak-budak nakal, masing-masing menyalahkan kawan-kawan.

“Kau tolak aku pasal apa?”

“Mana ada, aku tidak tolak, kau yang langgar papan hitam itu.”

“Haahaa ... kena marah,”ada yang menambah, menghangatkan suasana.

Baru kami tahu hendak duduk diam dan balik kemeja masing-masing. Masing-masing menunggu untuk kena marah, terutama saya, kerana saya yang langgar papan hitam sehingga jatuh. Akibat ditolak oleh seorang kawan.

Seingat saya cikgu Aishah tidak memarahi kami dan tidak juga tidak ada sesiapa yang datang memarahi kami. Saya masih ingat samar-samar, seorang guru lelaki datang ke meja saya melalui pintu di belakang meja saya.

“Dekat mana cedera?” tanyanya sambil memegang bahu saya dengan lembut. Tidak ada bunyi marah dalam suaranya.

“Ini” kata saya sambil menunjukkan ibu jari saya. Sebenarnya tidak ada apa-apa kecederaan, tapi lebih disebabkan takut dan rasa bersalah.

Beliau memegang jari saya dan tidak berkata apa-apa.

Sehingga akhir kelas hari itu tiada sesiapa yang kena marah. Saya rasa mungkin sebab kami berumur 8 tahun, jadi tidak berguna untuk menunjukkan kemarahan pada kami.

 

 

 

Thursday, January 20, 2022

Bolehkah Medan Selera Meningkatkan Bilangan Pelanggan

Isteri saya berasal dari Segamat. Apabila balik ke Segamat dari Kajang kami biasanya melalui Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) atau Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS). Sama ada melalui PLUS atau LEKAS, biasanya kami akan berhenti di sebuah medan selera di Kota, Negeri Sembilan.

Lapan puluh peratus gerai-gerai dalam medan selera itu dibuka, sebahagian lagi saya tidak tahu di buka waktu bila. Kami biasa sampai di medan selera waktu makan tengahari.

Kami melalui jalan ini sejak zaman kami berkahwin sehinggalah sudah bercucu. Sebelum ini tidak ada medan selera dan barisan kedai. Pada masa itu hanya ada gerai kayu yang semua penjajanya menjual lemang. Setiap hari mereka menjual lemang.

Mungkin atas dasar membangunkan kawasan itu supaya menjadi lebih tarikan pengunjung, pihak berkuasa tempatan telah membina deretan kedai di belakang gerai lemang. Apabila baris kedai disiapkan, penjaja lemang tidak dibenarkan untuk membuka gerai di tempat lama. Mungkin kerajaan berharap mereka akan menyewa kedai baru. Nampaknya mereka tidak mampu menyewa kedai kerana lama-kelamaan tidak ada lagi penjual lemang di kawasan itu. Kawasan itu sudah tidak meriah lagi dan tidak lagi boleh dikaitkan dengan tempat membeli lemang.

Penjaja lemang masih lagi ada tetapi bukan di kawasan lamanya. Jika kita teringin hendak membeli lemang, melalui jalan lama dari Seremban kita akan berjumpa beberapa gerai menjual lemang sebelum sampai ke kawasan penjaja lama. Kalau melalui PLUS dan keluar dari tol kita boleh melihat beberapa gerai penjaja lemang dari bulatan selepas tol, menghalakan ke arah Masjid Taboh Naning atau juga dikenali sebagai Masjid Dato' Dol Said.

Kerajaan membina juga medan selera sebaris dengan barisan kedai. Saya suka singgah di medan selera ini, sama ada untuk makan tengahari atau hanya membeli lauk pauk untuk dibawa balik ke Segamat.  Mereka menjual lauk pauk masakan Negeri Sembilan. Masakannya adalah masak lemak kuning berbagai-bagai lauk pauk dan berbagai-bagai sayur-sayuran. Saya memang suka masak lemak kuning. Memang sangat sedap masakannya. Saya memang tidak melepaskan peluang untuk singgah di medan selera ini setiap kali melaluinya.

Apabila singgah di medan selera ini, memang saya akan mengguna bilik air di sini. Ada sesuatu yang saya perhatikan dalam perjalanan ke bilik air, di satu sudut saya ada melihat kumpulan botol yang telah digunakan terletak di situ.

Baru-baru ini pada bulan Disember 2021 saya singgah untuk mengguna bilik air, saya masih lagi melihat botol-botol tersebut. Seolah-olah tidak ada sesiapa yang sedar adanya botol-botol yang tidak digunakan dan bertahun-tahun berada di sudut itu.

Persoalannya bukanlah botol-botol yang tersadai di sudut itu sudah bertahun-tahun, tetapi mengapa tidak ada peniaga-peniaga yang berniaga di medan selera itu yang merasakan kawasan botol itu perlu dibuangkan supaya nampak lebih menyenangkan mata memandangnya.

Bagaimana pula bilik airnya, tidak dinafikan bersih, tetapi masih tidak mencukupi kerana peralatan dalamnya seperti singki dan paip air tidak begitu dijaga.

Manakala kawasan makan medan selera saya pernah melihat pekerja menyapu dan mop lantai.  

Apabila singgah di medan selera saya selalu membandingkan dengan medan selera lain, terutama medan selera di lebuhraya. Semua pengguna lebuhraya tahu betapa bersihnya medan selera di lebuhraya. Sentiasa ada pekerja pembersihan samada di bilik air dan kawasan makan.

Kebersihan sesebuah medan selera akan menarik lagi ramai pelanggan. Bukankah sesuatu perniagaan itu fungsinya untuk menarik lebih ramai pelanggan supaya perniagaan mereka lebih maju.

Saya tertanya-tanya tidakkah peniaga-peniaga di medan selera ini, ingin supaya tempat mereka bersih umpama medan selera lebuhraya. Keselesaan bukan sahaja dirasai oleh pelanggan tetapi peniaga dan pekerja-pekerjanya juga.

Biasanya medan selera sebegini adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan, tetapi saya tidak pernah melihat ada pekerja yang datang mencuci secara berkala. Mungkin ada, tetapi semasa saya singgah, saya tidak melihat mereka.

Bagaimana kalau tiada tindakan dari pihak berkuasa. Apakah mereka hanya akan berdiam diri dan berserah sahaja, tidakkah mereka ingin berbuat sesuatu. Mereka sendiri akan dapat manafaat juga.

Kita kalau berharap sangat kepada pihak lain, dan mereka tidak mengambil apa-apa tindakan, akhirnya kita juga yang rugi. Adalah lebih baik mereka mengambil tindakan lain sementara menunggu pihak berkuasa bertindak.

Mereka boleh menubuhkan jawatankuasa untuk menjaga kebersihan medan selera. Masing-masing gerai boleh memberi sumbangan. Carilah orang kampung berdekatan yang tidak ada pekerjaan, upah mereka sebagai pekerja kebersihan, sekurang-kurangnya boleh membantu orang kampung di sekitar.

Pengurusannya boleh mengambil contoh pengurusan kediaman strata, mereka ada undang-undang untuk mengadakan badan pengurusan strata, yang bertanggungjawab menguruskan kediaman mereka dari segi kebersihan dan sebagainya. Sumbangan kewangan wajib diberikan oleh pemilik kediaman strata berdasarkan keluasan kediaman masing-masing. Badan pengurusan ini dianggotai oleh pemilik strata dan entiti pengurusan yang dilantik oleh penduduk melalui badan pengurusan mereka.

Pihak berkuasa boleh membantu dengan menyumbang amaun tertentu untuk badan pengurusan yang terbentuk atau boleh sahaja mengurangkan kadar sewa gerai. Pihak berkuasa boleh membuat pemantauan pengurusan medan selera.

Medan selera banyak juga dikunjungi oleh pelancung luar negara, kebersihan akan memberi imej yang baik atau tidak baik.

Saya cuba membuka laman sesawang Majlis Daerah, saya dapati pihak berkuasa tiada perkhidmatan penyelenggaraan harian. Mereka hanya ada perkhidmatan penyelenggaraan ikut keperluan atau hanya pembaikan besar-besaran. Maka ini lebih menunjukkan bahawa peniaga di medan selera mestilah bergerak sendiri supaya pelanggan mereka bertambah.

Tidak teringin ke?

 

   

Friday, January 14, 2022

Petik Di Tepi Tengah Menyala

 Hujung tahun 1967 keluarga saya berpindah dari Pantai Remis ke Kuala Kangsar mengikut Apak (ayah) kami yang menjadi anggota Polis. Masih saya ingat keterujaan saya apabila sampai di Berek Polis berhampiran bandar Kuala Kangsar. Masa itu saya berumur 7 tahun. Waktu kami sampai hari hampir malam, saya tidak tahu kenapa, kerana jarak Pantai Remis ke Kuala Kangsar bukanlah jauh. Barang-barang belum diturunkan, kami masuk untuk melihat rumah baru kami.

Pemetik lampu elektrik
Ruang dalam rumah kelihatan gelap kerana di luar sudah semakin gelap. Tiba-tiba ruang dalam rumah terang benderang. Saya tidak pernah melihat suasana terang benderang begini. Rupanya Apak saya memetik satu benda hitam di dinding. Saya teruja apabila memetik satu benda hitam di dinding yang berwarna hitam, tiba-tiba lampu menyala di siling. Itulah pertama kali saya melihat lampu elektrik.

Semasa di Pantai Remis kami tidak duduk di Berek Polis. Saya tidak pasti ada atau tidak Berek Polis di Pantai Remis. Apak saya hanya menyewa sebuah rumah kampung. Rumah sewa kami tidak ada yang di namakan lampu elektrik. Saya tidak pernah tahu adanya lampu elektrik.

Pelita kaca
Apabila malam kami menggunakan pelita kaca beberapa buah. Pelita kaca ini terdiri bekas kaca untuk mengisi minyak, bentuk berlekuk sikit seperti botol berbentuk. Penutup bekas minyak sama macam penutup botol tetapi ditengah tutup terdapat lubang untuk sumbu yang merupakan tali guni. Sumbu di mana api menyala ditutup dengan penutup kaca yang terbuka atas dan bawahnya. Belakang pelita dilekat sekeping zin yang ada gambar, dilekatkan pada lingkaran besi yang memegang pada botol pelita.


Kami juga ada jenis pelita minyak tanah yang lain. Pelita ini seperti pelita kaca juga. Ada bekas isi minyak di bawah yang dibuat dari zin yang penutupnya ada sumbu. Ada juga satu pemegang bekas minyak dan ditengah-tengahnya ada penutup kaca.

Pelita kaca

Kami memerlukan pelita kaca yang banyak, sebab rumah sewa kami besar juga. Abang kakak saya perlu melakukan kerja sekolah. Emak saya memasak pun memerlukan lampu juga. Lampu diperlukan untuk ke perigi.

Ada satu lagi jenis lampu yang kami gunakan. Lampu ini boleh menerangi kawasan yang luas dalam rumah kami berbanding pelita kaca. Lampu gasoline ini ada cara untuk memasangnya. Setiap senja saya akan duduk dekat Apak saya, kerana masa ini Apak akan menyediakan lampu gasoline. Bentuk lampu gasoline besar. Ada bekas minyak berbentuk cerek, terdapat dua lubang yang bertutup di tepi bekas. Satu lubang untuk mengisi minyak dan satu lagi untuk mengepam. Saya suka tengok Apak saya mengepam lampu gasoline kerana beberapa saat  kemudian lampu akan menyala tanpa mengguna api. Lampunya berbentuk mentol lampu elektrik.

Lampu Gasoline

Sehingga sekarang saya tidak tahu bagaimana lampu ini berfungsi. Selepas kami berpindah ke Kuala Kangsar, saya tidak pernah melihat lampu ini.

Bayangkan seorang budak berumur 7 tahun yang selama ini hanya mengenali pelita kaca dan lampu gasoline, tiba-tiba melihat lampu yang begitu terang benderang tanpa menggunakan api. Hendak terang benderang, petik sahaja suatu benda hitam di dinding. Tidak perlu bersusah payah mengisi minyak dan menggunakan gores api.

Lampu telah membawa perubahan pada kehidupan budak berumur 7 tahun. Tahun 1968 saya masuk ke darjah 2 Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II. Saya merasai suasana membuat kerja sekolah berdekatan pelita kaca, dan dibawah lampu elektrik. Memang sangat berbeza.

 

 

Sunday, January 9, 2022

Berapa Ramai Guru al Quran Kita Siri 2

Selepas tamat belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya mendapat pekerjaan di Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN). Saya tinggal bersama dengan rakan-rakan sepejabat di sebuah rumah sewa belakang masjid Segambut. Rakan-rakan saya memang suka mengaji. Rahman suka menghadiri kuliah dan beliau juga menguruskan kuliah agama di pejabat. Bahar suka belajar mengaji Quran, beliau sanggup pergi belajar mengaji Quran walaupun jauh dan lewat malam. Beliau belajar sehingga boleh mengajar. Bahar sentiasa menekankan perlunya kita membaca Quran dengan betul  supaya tidak dilaknat oleh Quran.

Akhirnya mereka mendapat seorang ustaz untuk mengajar kami membaca Quran di rumah kami. Kami mengumpul rakan-rakan yang berminat belajar membaca Quran. Ustaz Nur Amin, berasal dari Indonesia. Beliau mengajar waktu malam kerana waktu siang kami semua bekerja.

Kami belajar membaca Quran secara individu dan mempelajari tajwid dari asas. Pertama kali saya belajar membaca Quran dengan tajwid. Pelajaran Quran saya sebelum ini hanya  menekankan kepada membaca dengan betul berdasarkan teguran dari guru mengaji. Saya tidak mengetahui sebelum ini apa yang dinamakan tajwid. Saya belajar dengan ustaz Amin dari penghujung tahun 1983 sehingga saya bertukar ke cawangan JHDN Ipoh pada awal tahun 1985.

Saya masih berpeluang belajar membaca Quran di Ipoh. Cawangan Ipoh ini kebetulan salah seorang senior adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Izzuddin, sebuah sekolah agama yang terkenal di negeri Perak. Beliau juga adalah Yang di Pertua Persatuan Kebajikan Islam JHDN Ipoh. Beliau sanggup mengendalikan kelas membaca Quran untuk staf. Kebanyakan yang hadir hanyalah pegawai baru termasuk saya. Maka bergurulah pula saya dengan rakan sekerja senior Tuan Haji Yaakob.

Semasa di Ipoh saya ada menghadiri usrah mingguan pada waktu malam. Salah seorang rakan usrah, berasal dari Terengganu dan beliau fasih membaca Quran. Beliau menegur tentang bacaan Quran kami dan bersedia untuk mengajar kami membaca Quran dengan cara yang betul. Setiap minggu waktu malam kami akan ke rumahnya untuk belajar membaca Quran. Saya menghadiri kedua-dua kelas ini sehingga penghujung tahun 1986. Disember 1986 saya telah ditukarkan pula ke JHDN cawangan Teluk Intan. Sayangnya saya sudah tidak ingat nama guru Quran yang terakhir. Seingat saya namanya Ismail.

Walaupun sudah berpindah ke Teluk Intan, hati sentiasa rasa rindu untuk membaca Quran di depan guru. Saya dan rakan-rakan berusaha juga mencari guru mengaji Quran. Akhirnya kami bertemu dengan Tok Siak Masjid Jamek bandar Teluk Intan yang sudi mengajar kami membaca Quran. Kami belajar membaca Quran di rumahnya waktu malam seminggu sekali. Kelas ini berterusan saya hadir sehinggalah saya berpindah ke Bangi, Selangor kerana menyambung pelajaran di UKM Bangi pada tahun 1995. Setiap kali selesai mengaji kami dijamu makan. Ada masanya kami bawa makanan. Sayangnya saya sudah tidak ingat nama guru Quran ini.