Sunday, January 9, 2022

Travelog Mengenal Islam

Saya memang suka membeli buku termasuk buku travelog. Saya tidak berpeluang untuk pergi mengembara jadi dengan membacanya saya dapat merasai perjalanan ketempat-tempat yang penulis pergi. Biasanya gaya penulisan penulis ada yang menarik perhatian ada yang tidak begitu menarik sehingga kita tidak membacanya atau kalau membaca biasanya hanya separuh jalan sahaja. Banyak buku travelog yang saya baca tidak begitu memberi kenikmatan membacanya. 

Sehinggalah saya bertemu satu buku travelog. Buku travelog ini ditulis dalam 2 jilid,  ketebalannya menyebabkan mungkin ramai yang rasa tak akan dapat menghabiskan bacaan. Jilid 1 setebal 712 muka surat manakala jilid 2 setebal 1018 muka surat. Buku travelog ini menjadi menarik kerana kembara penulis adalah perjalanan ke Mekah melangkaui 14 negara dengan berbasikal bersama isteri. Menariknya kisah perjalanan kembara penulis menyebabkan saya merasa rugi tidak kongsikan dengan orang lain.

Walaupun buku kisah pengembaraan hanya tentang perjalanan suami isteri merentas 14 negara dengan destinasinya Mekah. Buku ini menceritakan manusia sebenar berhadapan dengan kasih sayang Tuhannya. Bagaimana pertolongan Allah sentiasa datang ketika mereka memerlukan. Malah semasa mereka tidak tahu bahawa mereka memerlukan pertolongan Allah maka pertolongan Allah tetap datang.

Cara penulisannya santai. Penulisnya menulis apa yang berlaku tanpa banyak ulasan. Penulis pandai memilih cerita yang memberi impak. Saya percaya penulis dan isteri berhadapan  cerita yang menarik setiap hari.

Ada cerita yang mengundang air mata, bukan kerana kisah sedih yang berlaku pada penulis tetapi kisah-kisah  kasih sayang Allah.

Banyak kisah yang mengkagumkan ini berlaku di India dan Pakistan. Seorang pakcik yang rumahnya tak ada bilik, sanggup membenarkan penulis dan isterinya tidur di rumahnya, sedangkan dia tidur diluar dengan isterinya hanya beratapkan langit.

Selepas solat tarawih berlaku pula perbincangan hangat antara pakcik itu dengaan seseorang yang juga mengajak penulis dan isteri tidur di rumahnya. Pakcik itu tidak mahu melepaskan tetamunya. Benar-benar nilai Islam hidup dalam kehidupan mereka, berebut untuk menerima tetamu, walaupun mereka bukanlah orang senang dan tidak ada apa-apa kepentingan pun.

Menyentuh hati bila membaca pertemuan penulis dengan tok siak masjid bernama Shaukat Ali. Beliau mengajak penulis dan isteri makan di rumahnya. Sebelum itu mereka singgah di sebuah rumah, mengambil lauk dan membawa kerumahnya. Isterinya menyediakan nasi dan capati serta lauk kari ayam yang dibawa dari rumah kakak iparnya. Mereka mempelawa penulis dan isteri makan. Mereka tidak makan bersama dengan penulis dan isteri, malah mereka menyuruh penulis dan isterinya habiskan makanan tersebut. Baki makanan barulah dimakan oleh Shaukat Ali, selepas itu anak lelakinya, akhir sekali baru isterinya. Bayangkan terkejutnya penulis dan isteri. Mereka menyangka tuan rumah sudah makan kerana mereka menyuruh penulis dan isteri habiskan semua makanan.

Bagaimana terkejutnya penulis apabila seorang pak cik berbangsa Pakistan boleh bertanya dengan selambanya, berapa duit penulis perlukan. Memang terkejutlah. Akhirnya dia tolong bayarkan sewa hotel untuk mereka dan esoknya memberi mereka sampul yang berisi duit.

Sikap menghormati tetamu dapat kita baca kisahnya dalam sirah para sahabat. Kita mungkin merasakan bahawa kita tidak dapat berjumpa peribadi seperti para sahabat pada masa sekarang. Pengembaraan penulis dan isteri menunjukkan bahawa peribadi sebagaimana para sahabat Rasulullah saw sememangnya wujud pada zaman ini. Kita tidak nampak mereka ini hebat tetapi hakikatnya dalam hati mereka penuh iman. Terasa benar betapa rendahnya jiwa kita, yang merasa serba cukup kononnya.

Lebih menarik lagi adalah peristiwa isteri penulis diserang penyakit AMS semasa berkayuh ke tanah tinggi. Ketika sakit mereka dipertemukan dengan seorang doktor di tempat yang tidak ada orang. Kebanyakan pengunjung tanah tinggi itu telah pun turun ke bawah dan juga kerana kawasan itu kurang pengunjung kerana sudah sampai musim sejuk.

Doktor tersebut adalah seorang tentera yang sengaja berjalan untuk mengambil angin bersama seorang tentera lain. Mereka adalah tentera yang bertugas menjaga kem yang jaraknya 3 km dari tempat tersebut. Isteri penulis dirawat dikem tersebut.

Apabila isteri penulis tidak sembuh, mereka turun kekaki bukit tempat hotel mereka menginap sebelum ini. Mereka berjumpa dengan 7 doktor pakar yang sedang makan tengahari di hotel tempat mereka tinggal. Hospital mereka  jaraknya ke hotel itu 10 km. Mereka membantu membawa isteri penulis ke hospital.

Buku ini membantu kita memahami bahawa Allah sentiasa mendengar doa kita. Mungkin bagi setengah orang ini hanya kebetulan sahaja. Siapa yang menjadikan kebetulan ini, bukankah Allah Yang Maha Kuasa.

Ada yang menarik untuk diketahui keadaan dalam negara Afghanistan dan Iran. Selama ini kita hanya mengetahui dengan membaca apa yang tertulis dalam media massa. Kita dapat menyelami sendiri keadaan dalam negara tersebut dari rakyat mereka melalui pengalaman penulis dengan rakyat kedua negara. Penulis hanya menulis apa yang dialami tanpa memberi komen peribadi.

Sekiranya kita mahu mengetahui perkara yang jujur, bacalah buku Ustazah Basikal Jilid 1 dan 2.

 

 

 

Wednesday, January 5, 2022

Berapa Ramai Guru al Quran Kita Siri 1

Quran adalah sumber rujukan bagi orang Islam. Quran adalah wahyu yang diturunkan oleh Alllah swt kepada Rasulullah saw melalui malaikat Jibril. Itu sebab buku ini tidak ada nama penulis kerana ia benar-benar daripada Allah swt kepada Nabi Muhammad saw. Kita tidak akan dapati nama penulis al Quran. Kalau membaca sejarah Islam, hanya ada nama-nama pengumpul al Quran. Quran diturunkan dalam bahasa Arab.

Membacanya dengan kaedah yang betul mendapat pahala. Maka kita perlu mempelajarinya supaya mampu membaca dengan betul. Walau pun Quran diturun dalam bahasa Arab, orang Arab juga perlu belajar membacanya dengan kaedah yang betul kerana ia berbeza dengan bahasa Arab sehari-hari. Membacanya dengan betul walaupun tidak memahami maknanya masih mendapat pahala. Pahala diberi kepada setiap huruf. Orang Islam mestilah belajar membaca Quran dengan betul supaya tidak dilaknat oleh Quran.

Orang Islam telah dikenalkan dengan al Quran mula mengenal huruf. Saya mula belajar membaca Quran sejak berumur 8 tahun iaitu semasa saya dalam darjah 2 sekolah rendah. Saya belajar dengan 2 orang guru Quran. Mereka adalah pasangan suami isteri. Mereka ini tinggal di rumah pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR). Suami bekerja sebagai buruh JKR. Kebanyakan dari masa belajar, kami diajar oleh isteri. Suaminya kadang-kadang sahaja mengajar. Semua takut belajar dengan suaminya kerana suaranya kuat. Nampak macam garang, walaupun sebenarnya tidak.

Ramai yang datang belajar dengan pasangan suami isteri ini. Kadang-kadang rumahnya penuh sehingga ada pelajar yang terpaksa menunggu di luar rumah. Apabila seorang pelajar selesai mengaji, akan ada ruang kosong untuk pelajar yang menunggu di luar masuk.

Kami selalu berebut untuk menjadi orang pertama sampai supaya mendapat tempat duduk pertama. Orang pertama yang akan belajar mengaji dengan guru, akan menjadi orang pertama boleh balik awal. Pelajar pertama sampai akan terus mengambil tempat di hadapan guru mengaji. Walaupun pertama sampai, biasanya pelajar perlu menunggu sehingga guru habis melakukan tugasan rumahnya. Pelajar kedua dan seterusnya akan duduk tempat berikutnya. Selalunya kami dari berek polis  akan kalah dengan pelajar dari balai bomba dan yang tinggal di rumah JKR.

Saya mula belajar ketika berumur 8 tahun kerana kami mengikut ayah kami berpindah dari Balai Polis Pantai Remis ke Balai Polis Kuala Kangsar. Saya belajar dengan guru ini dari Muqaddam sehingga boleh membaca al Quran. Selalunya kami akan berusaha untuk dapat membaca Quran dengan segera. Terutama apabila pelajar perempuan telah dapat membaca al Quran lebih awal daripada kami pelajar lelaki. Menjadi motivasi kepada kami untuk berusaha agar dapat membaca Quran.

Perjalanan ke kelas mengaji memerlukan saya berjalan menyusur jalan besar Kuala Kangsar - Taiping. Ibu bapa tidak risau kami berjalan berseorangan kerana zaman 60an mana ada banyak kereta di atas jalan raya. Kami perlu melalui Berek Bomba untuk ke rumah JKR. Berek polis terletak bersebelahan Berek Bomba, rumah JKR terletak bersebelahan Berek Bomba.

Masa di sekolah rendah, saya pergi belajar mengaji di waktu petang kerana sekolah rendah saya hanya ada sesi pagi sahaja. Semasa di sekolah menengah sewaktu tingkatan 1 saya belajar mengaji waktu pagi. Masa tingkatan 2 dan 3 saya belajar mengaji di waktu petang kerana kelas sekolah menengah saya sesi pagi.

Semasa tingkatan 3 saya sudah boleh membaca Quran, lebih dari separuh Quran saya belajar dengan guru. Tahun 1975, tahun saya menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Saya belum habis membaca Quran seluruhnya dengan guru. Saya meminta kebenaran dengan mak saya untuk berhenti mengaji Quran dan menumpukan perhatian kepada peperiksaan SRP. Mak saya membenarkan, mungkin sebab saya sudah boleh membaca Quran. Saya tidak ingat sama ada saya ada memberitahu guru mengaji yang saya hendak berhenti mengaji Quran. Rasanya saya terus tidak datang mengaji apabila mendapat kebenaran dari mak saya.

Selepas itu, saya lama tidak membaca Quran. Semasa belajar Matrikulasi UKM di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah tahun 1978, saya ada membawa Quran terjemahan. Seorang kawan bertanya, bila melihat Quran tersebut dalam almari saya,”selalu baca ke?” Saya jawap, “kalau ada masa.” Terkedu beliau mendengar jawapan saya.

Friday, December 24, 2021

Kebun Pesara

Persaraan adalah masa yang amat ditunggu-tunggu oleh pekerja-pekerja. Mungkin tidak semua, ada yang mahu bekerja sehingga mati. Masing-masing telah berangan-angan apa yang akan dilakukan apabila bersara, itu pun kalau umur panjang. Ada yang ingin melancong kepelbagai tempat yang teringin sangat hendak pergi.

Ada ramai juga pekerja berangan-angan untuk memiliki sebidang tanah yang boleh di kerjakan sebagai kebun selepas bersara. Aku ada juga berangan untuk memiliki kebun, tapi tidaklah terlalu ghairah untuk memilikinya. Sekarang aku memiliki sebidang tanah untuk berkebun secara tidak sengaja. Aku katakan tidak sengaja kerana tanah ini aku beli untuk membina rumah. Aku memiliki 2 lot tanah, dengan harapan akan dapat digunakan untuk membina rumah dan kebun kecil.

Akhirnya rumah yang saya angan-angankan tidak jadi dibina. Saya juga tidak bercadang untuk menjual semula tanah tersebut, kerana saya masih juga berangan-angan untuk membina rumah atasnya. Mungkin juga salah seorang dari anak saya akan menggunakannya untuk membina rumah mereka.

Asalnya saya ingin membiarkan sahaja tanah saya tanpa membuat apa-apa. Memikirkan pembeli lain mungkin akan membina rumah, hati saya tidak selesa membiarkan tanah saya dipenuhi dengan semak samun. Ini akan menimbulkan ketidak selesaan pada jiran-jiran.

Selepas memagar dan menambak tanah.
Apa yang saya buat pertamanya adalah untuk memagarkan tanah dan saya tambah dengan menambak tanah untuk menghapuskan semak samun. Kebetulan selepas memagar, keluar Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) dari kerajaan untuk membendung wabak penyakit Covid19.

Selepas kelonggaran PKPD, saya berpeluang melihat kebun saya. Semak samun memenuhi kebun, lebih menyesakkan tumbuh juga pokok-pokok berduri yang sebahagiannya setinggi saya. Saya memijaknya kerana nampak macam mudah sahaja untuk mematahkannya. Rupanya batang pokok berduri itu terlalu liat, saya perlu membongkar sehingga ke akarnya. Saya merancang datang kemudian dengan peralatan kebun yang sesuai.

Ini rupa semak samun selepas PKPD

Ini lagi semak samun

Hari pertama turun ke kebun bersama isteri dan anak-anak, kami cuba membersihkan semak samun yang semakin banyak tumbuh di dalam kebun kami. Saya cuba untuk mencabut pokok-pokok berduri, tenaga saya tidak mampu untuk mencabutnya walaupun menggunakan peralatan. Sedikit sahaja yang dapat saya cabut, itu pun dalam keadaan yang amat meletihkan. Faktor umur yang mencapai 60 tahun tidaklah memberi kelebihan pada saya. 

Hari kedua saya masih lagi cuba untuk membersihkan kebun, tetapi kali ini hanya bersama isteri saya sahaja. Saya hanya mampu membuang sedikit sahaja pokok berduri. Terlampau mengerahkan tenaga untuk membuang pokok berduri membuatkan saya rasa keletihan dan lemah.

Memikirkan apa yang berlaku, saya perlu menilai semula cara saya berkebun. Saya mesti mencari orang yang boleh membersihkan kebun ketahap saya dan isteri boleh terus menanam. Akhirnya kebun saya bersih dengan sedikit upah. Kami bolehlah terus menanam dengan tanaman impian kami.


Selepas upah orang lain membersihkan tanah.

Seronoknya bila sudah mula menanam.

Biras saya caranya lebih agresif, beliau panggil orang menambak tanah, selesai masalah semak samun. Kemudian beliau beli pokok-pokok yang hendak ditanam. Beliau mengupah pula orang lain untuk menanam pokok-pokok yang dibeli.  

Saya mendengar cerita seorang pesara yang kawannya juga pesara. Kawannya itu selepas bersara terus membeli peralatan untuk berkebun. Beliau dengan ghairah dan bersemangat setiap hari turun ke kebun. Setiap kali apabila dihubungi, isterinya mengatakan beliau berada di kebun. Beberapa bulan kemudian dia tiba-tiba berhenti ke kebun.

Saya pernah berbual dengan seorang anak peneroka FELDA Seberang Perak. Saya kenal orang-orang yang bekerja di sawah padi sebab saudara mara saya ramai yang sumber pendapatan mereka dari sawah padi. Mereka ramai yang berkulit gelap. Pemuda ini nampaknya macam bukan orang bersawah kerana putihnya kulit.

“Betul ke kamu bekerja di sawah padi,” tanya saya padanya.

“Betul bang, tapi kerja kami banyak guna mesin, dari membajak tanah sehinggalah menuai. Tak kena panas bang, ha  ha  ha.”

Pertama kali saya dengar, orang ada kebun tidak perlu bekerja macam orang berkebun. Seorang pesara boleh berkebun tapi hendaklah cara baru. Seorang pesara hanya perlu tengok tanaman mengeluarkan hasil dan menikmati hasil. Semua kerja upah sahaja pada perkebun sebenar. Ha...ha...ha

Pesara yang mahu berkebun untuk mengisi alam persaraannya hendaklah menukar cara berkebun. Mereka biasa memegang pen semasa bekerja, apabila bersara hendak memegang cangkul pula. Memang sesuatu yang baru bagi mereka. Mereka tidak boleh berkebun sebagaimana seorang pekebun yang memang berkebun sejak dari muda.

Pesara tidak boleh melakukan semua kerja yang dilakukan oleh seorang perkebun biasa. Membersihkan kebun, menyangkul untuk mengembur tanah, menanam dan sebagainya. Pesara hendaklah melakukan kerja kebun yang mereka benar-benar mampu lakukan bukan mereka rasa boleh lakukan.

Saya tidak mampu untuk membersihkan kebun, tetapi boleh menyediakan tapak untuk menanam. Saya boleh merumput sikit-sikit. Menjaga tanaman agar tidak di kelilingi semak samun. Kesilapan saya pada awalnya adalah hendak melakukan semuanya sebagai seorang perkebun. Mujur saya cepat belajar.

Nikmat sebenar dalam berkebun adalah apabila kebun kita itu mendatangkan hasil yang dapat dinikmati. Umpama kata biras saya, kita hanya menanam tananam yang dapat kita dapat nikmati masa hidup.

Sudah tidak kenal mana satu tanah saya.
Musibah banjir yang diturunkan Allah swt baru-baru ini kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada rakyat Selangor, terkena juga kebun saya. Semuga Allah swt beri kita kesabaran dan kekuatan untuk mengharunginya.

Sunday, December 5, 2021

Taj Mahal Yang Mahal

Taj Mahal adalah bangunan yang menjadi idaman semua orang terutama orang Islam untuk menjejakkan kaki ke sana. Pada tahun 2012, saya berpeluang mengikuti rombongan lawatan kerja Pengarah saya ke India.

Lawatan ini memberi saya peluang untuk menjejakkan kaki ke Taj Mahal. Saya hairan melihat reaksi pegawai-pegawai India apabila diberitahu kami hendak melawat Taj Mahal. Mereka tidak bereaksi, seolah-olah ianya bukan kebanggaan mereka apabila kita melawatnya. Sedangkan Taj Mahal adalah tersenarai dalam bangunan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang mesti dipelihara.

Akhirnya saya benar-benar berpeluang menjejakkan kaki ke Taj Mahal. Taj Mahal ini sebenarnya adalah sebuah kompleks bangunan dengan keluasan 17 hektar, yang terdiri dari beberapa bangunan, iaitu masjid, makam, dan rumah tamu. Bangunan utama berada di tengah kompleks dan berwarna putih yang diapit empat menara, ini adalah bangunan makam. Ia adalah makam Mumtaz Mahal isteri kesayangan Shah Jehan. Kiri dan kanan bangunan makam adalah masjid dan rumah tamu yang berwarna merah. Saya berkesempatan solat dalam masjid ini. Solat jumaat di fahamkan ada juga didirikan dalam masjid ini, tetapi hanya warga tempatan sahaja yang dibenarkan solat. Pintu masuk ke kompleks juga merupakan bangunan berwarna merah. Kesemua bangunan selain makam adalah diperbuat dari batu merah. Kita perlu berjalan melalui taman yang besar untuk ke bangunan makam dari pintu masuk.

Kami dikehendaki memakai sarung kaki plastik disebelah luar kasut kami sebelum memasuki bangunan putih. Ini adalah untuk memelihara bangunan Taj Mahal daripada unsur-unsur yang dapat merosakkannya dalam jangka masa panjang.

Lawatan kami diiringi pemandu pelancong yang menerangkan kepada kami keistimewaan bangunan Taj Mahal dengan seni binanya. Binaannya yang simetri mengagumkan kerana ia dibina dalam zaman yang di anggap primitif dibandingkan dengan zaman kini. Pembinaan sebegini memerlukan teknologi yang hanya ada di zaman kini.

Kerja tangan mozeknya juga mengagumkan. Kami juga dibawa untuk melihat bagaimana ukiran pada mozek dibuat. Tukang mahir ini sebenarnya adalah keturunan tukang mahir yang membuat ukiran mozek Taj Mahal pada zaman itu.

Kehebatan bangunan Taj Mahal dari segi binaannya boleh kita dapatkan maklumatnya di https://whc.unesco.org/en/list/252/.

Saya sememangnya mengagumi senibina Taj Mahal keseluruhannya. Saya amat berbangga kerana ia senibina dari dunia Islam. Ada sesuatu yang menyebabkan saya tidak berapa kagum, bangunan itu hanya sebuah makam. Malah bangunan makam lebih cantik dari masjid. Menyusuri sejarah rupa-rupanya Raja-Raja Islam keturunan Moghul di India memang suka membina bangunan yang menjadi makam mereka.

Taj Mahal dibina dengan menggunakan 20,000 orang pekerja yang terdiri daripada tukang batu, tukang emas, dan pengukir yang termasyhur dari seluruh dunia. Dengan bumbung, kubah dan menara yang diperbuat daripada marmar putih, serta seni mozek yang indah maka Taj Mahal diiktiraf sebagai satu daripada Tujuh Benda Ajaib di dunia. Sebanyak 43 jenis batu permata, termasuknya berlian, jed, kristal, topaz dan nilam telah digunakan. Pembinaan Taj Mahal menelan masa selama 22 tahun. 

Betapa mahalnya untuk hanya membina sebuah maqam.

 

 

Friday, December 3, 2021

Gambar Kelas Sekolah Rendah

Kelas darjah 4
Sek Ren Keb Sultan Idris II, Kuala Kangsar
 Media sosial seperti FaceBook, Whatsapp dan pelbagai media sosial lain adalah amat memberi manafaat kepada kita semua. Walaupun ada buruknya tetapi ada juga kebaikannya.

Media ini mempertemukan kita dengan ramai kawan-kawan sekolah. Kawan-kawan universiti mungkin mudah ditemui, kerana kita terus berhubung selepas konvokesyen. Begitu juga kawan-kawan sekolah menengah, kerana sebahagiannya memang kita sentiasa berhubung, rangkaian perhubungan menemukan kita dengan kawan-kawan yang lain.

Lebih mengagumkan apabila media sosial mempertemukan kita dengan rakan-rakan di sekolah rendah. Bayangkan ramai daripada kawan-kawan sekolah rendah tidak kita ingati, kecuali beberapa orang yang bersama kita sehingga ke sekolah menengah.

Mereka menjumpai kita dalam media sosial. Mereka masih mengenali kita. Betapa hebatnya mereka yang masih mengenali kita setelah 40 tahun lebih.

Kita cukup bimbang dengan soalan maut, “Kenal tak saya? Saya dulu......”. Aduh. Kita tidak terfikir pun ada yang mengingati kita, kerana kita pun tidak mengingati rakan-rakan sekolah rendah. Kita memang jenis pendiam masa zaman sekolah rendah, diberi soalan maut, memang maut sungguh.

Kejadian ini mengingatkan saya semasa bertugas di Ipoh, ada pegawai-pegawai baru masuk melapurkan diri di cawangan Ipoh. Setahun saya bersama mereka, kemudian saya bertukar ke Teluk Intan.

Selepas 8 tahun saya bertemu semula salah seorang daripada mereka Bandar Baru Bangi. Saya tanya, “ingat lagi saya ke, kita sama-sama di Ipoh?”

“Betul ke kau kerja di Ipoh dulu?” jawapan maut. Saya ingat dia, tapi dia tak ingat saya.

Kemudian saya bertemu seorang lagi pegawai baru masa di Ipoh. Kali ini soalan maut kepada saya, “Eh.... kau tak ingat ke aku, kita sama-sama di Ipoh?” Saya hanya senyum aje tak tahu nak jawap apa.

Ini semua rakan-rakan yang jarak masa tidak terlalu lama. Maksudnya ingatan kita masih kuat kerana tempoh masa yang pendek, tetapi masih juga ada yang tidak dapat kita ingati.

“Ada gambar masa kita sekolah tak?”, itulah jawapan yang dapat saya berikan kepada rakan sekolah rendah yang baru ditemui dalam media sosial.

Apa yang paling seronok bertemu kawan lama adalah mendapat gambar kelas semasa sekolah rendah. Saya tidak tahu kenapa saya tidak ada menyimpan gambar kelas semasa sekolah rendah. Biasanya sekolah ada mengambil gambar kelas setiap tahun, tapi saya tidak ada menyimpan langsung gambar kelas semasa sekolah rendah. Media sosial memberi kita kenangan gambar kelas sekolah rendah. Yang hairannya satu tahun aje yang ada. Oklah tu.